30 Julai 2011
Kaitan SSPN Dan PTPTN
Masyarakat umum khususnya ibu bapa diharap tidak keliru antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Ahli Lembaga Pengarah PTPTN Datuk Tajul Urus Md Zain berkata kekeliruan antara dua perkara itu menyebabkan masih ramai di kalangan ibu bapa tidak membuat tabungan di bawah skim SSPN untuk masa depan anak mereka.
Katanya PTPTN ialah satu badan yang mengeluarkan pinjaman pendidikan manakala SSPN ialah satu badan yang membuat tabungan bagi melayakkan mereka membuat pinjaman pengajian.
"Memang SSPN sebelum ini kurang mendapat sambutan. Namun, perkara ini (SSPN) hanya mendapat perhatian semula apabila kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa mulai tahun 2012, pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun SSPN terlebih dahulu.
"Maknanya, hanya menerusi syarat tersebut sahaja yang membolehkan ibu bapa dan juga anak membuat permohonan pinjaman PTPTN selepas ini," katanya.
"Skim ini boleh disertai oleh semua warganegara tidak mengira kaum dalam kadar minimum RM20 dengan tujuan melayakkan anak-anak mereka untuk mendapatkan pinjaman PTPTN," katanya.
Katanya ibu bapa atau pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mengisi borang akaun SSPN di beberapa buah bank terpilih yang menjadi ejen kutipan.
Antara ejen berkenaan adalah Maybank, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat), Agro Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB Group Bhd (CIMB) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
"Pembukaan akaun SSPN digalakkan kepada semua peringkat umur, ibu bapa juga boleh terus membuka akaun untuk anak mereka yang baru sahaja dilahirkan. Di samping itu, ibu bapa yang menyimpan dalam akaun SSPN untuk manfaat anak diberi pelepasan cukai sehingga maksimum RM3,000 setahun," katanya.
Sumber: BERNAMA
Info PTPTN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997. PTPTN mula beroperasi pada 1 November 1997 di Bangunan Wisma Chase Perdana, Off Jalan Semantan, Damansara Heights, Kuala Lumpur.
FUNGSI PTPTN:
1. Menguruskan pembiayaan untuk tujuan pendidikan tinggi dan seterusnya memungut bayaran balik pinjaman;
2. Menyediakan skim simpanan dan mengurus deposit untuk tujuan pendidikan tinggi;
SKIM SIMPANAN PENDIDIKAN NASIONAL (SSPN)
Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) adalah merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi.
Mulai 1 Januari 2012, para pelajar yang ingin memohon pembiayaan pendidikan PTPTN adalah DIWAJIBKAN untuk mempunyai akaun SSPN dengan simpanan minimum sebanyak RM20.00
Orang ramai digalakkan membuat pembukaan akaun SSPN di kaunter Maybank bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan pembukaan akaun. Semakan baki akaun SSPN pada keesokan hari boleh dilakukan di laman web PTPTN bagi pembukaan akaun di Maybank SAHAJA.
Maklumat Am SSPN
Selain menjanjikan pulangan dividen tahunan, SSPN turut menyediakan insentif kewangan khas dalam bentuk Geran Sepadan atau Matching Grant khusus kepada pendeposit yang berpendapatan rendah tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Di samping itu, manfaat perlindungan insurans dan bayaran pampasan/khairat kematian disediakan secara percuma kepada semua pendeposit yang layak tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Syarat Penyertaan Terbuka kepada semua warganegara Malaysia.
Ciri-Ciri Keistimewaan SSPN
1. Pelepasan cukai ke atas simpanan bersih tahun semasa sehingga RM3,000 setahun. Ibu bapa dan ibu bapa angkat/penjaga yang sah dari segi undang-undang yang menyimpan dalam akaun SSPN untuk manfaat anak diberi pelepasan sehingga maksimum RM3,000 setahun tertakluk kepada jumlah simpanan bersih tahun semasa;
2. Perlindungan insurans secara percuma ke atas pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas. Perlindungan insurans berupa manfaat dan/atau khairat kematian hanya layak untuk pendeposit yang berumur 18 hingga 65 tahun. Sementara penerima manfaat yang berumur 1 hari hingga 28 tahun hanya layak mendapat khairat kematian jika berlaku kematian keatasnya. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.
3. Pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak. Keluarga yang berpendapatan bulanan (gaji pokok) tidak melebihi RM2,000 sebulan layak dipertimbangkan pemberian Geran Sepadan apabila anak diterima dan mendaftar masuk ke IPT yang diiktiraf oleh Kerajaan.
4. Simpanan serendah RM20 pada bila-bila masa dan dijamin oleh Kerajaan;
5. Kadar dividen yang kompetetif dan dikecualikan daripada cukai pendapatan;
6. Kemudahan menyimpan di lebih 1,500 ejen PTPTN; dan
7. Kemudahan simpanan melalui potongan gaji.
Sumber Maklumat PTPTN
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan