29 Julai 2011
Khidmat Polis Marin Tamat
Mulai Ahad 31 Julai 2011, perkhidmatan polis marin yang sudah wujud lebih 63 tahun akan dihentikan dan tugasannya diambil alih Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).
Keputusan menamatkan perkhidmatan polis marin yang ditubuhkan pada 1 September 1947 dibuat Kabinet, baru-baru ini.
Akta Polis 1967 dan beberapa akta lain yang berkuat kuasa masih mengekalkan kuasa polis di seluruh negara, termasuk perairan wilayah negara, sehingga 12 batu nautika dari pantai.
Sepanjang perkhidmatannya, anggota polis marin mengharungi era pasca Perang Dunia Kedua, Darurat pada 1948 hingga 1960, Konfrontasi Indonesia, pemberontakan Komunis di Sarawak pada 1960-an, kejatuhan Indo China dan pelariannya, pelarian Filipina dan masalah rompakan di laut Sabah.
Polis marin juga bertanggungjawab membanteras kemasukan pendatang asing ke Sabah dan Semenanjung selain memerangi kes penyeludupan.
Mulai 1 September 2011, polis marin hanya dikehendaki melaksanakan tugas penguatkuasaan di semua sungai termasuk kuala sungai, tasik, pulau dan keseluruhan kawasan darat pantai negara serta kawasan pelabuhan.
Komander Pasukan Gerakan Polis Marin, Datuk Isa Munir, berkata PDRM sudah menghentikan semua tugas rondaan dan operasi penguatkuasaan di laut sejak awal tahun 2011 kerana tugas berkenaan diambil alih APMM.
Sebagai contoh pada 25 Julai 2011 apabila sebuah jongkong nelayan dengan empat orang dirompak di laut Tawau, Sabah, polis marin tidak lagi bertindak seperti dulu. Namun, PDRM masih menjalankan semua tugas penyiasatan dan kawalan keselamatan di laut yang diserahkan kepada APMM hanyalah penguatkuasaan.
Dalam kejadian itu, seorang ditembak dan dihantar ke hospital Tawau, dua selamat sementara seorang lagi masih hilang. Semua mangsa diarah terjun ke laut.
Difahamkan, polis tidak menjalankan operasi dan rondaan di laut disebabkan arahan Kabinet yang mengehadkan perkhidmatan mereka di sungai, tasik, pulau dan pelabuhan saja, selain semua aset polis marin diserah kepada APMM.
Bagi pegawai dan anggota polis marin tindakan mengehadkan tugas mereka amat menyedihkan kerana sudah tidak dapat lagi menjalankan tugas selama ini.
“Jika bulan puasa lalu, ada anggota terpaksa turun ke darat mencari juadah berbuka, namun pada Ramadan ini, ia tinggal kenangan.
“Tiada lagi anggota bertugas di laut yang berbuka dan bersolat maghrib serta bertarawih di atas kapal seperti sebelum ini,” kata seorang anggota.
Sumber: BHarian
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan