29 Ogos 2011

Kereta Eropah Vs Kereta Asia

Benarkah Rakyat Malaysia 'Fobia' Kereta Jenama Eropah?

Balik kampung terasa meriah jika berkereta baru ......


(Gempaklah kalau beraya dengan kereta ini.....)

Oleh kerana rata-rata rakyat Malaysia memandu kereta jenama Jepun, Korea dan Malaysia, maka jika anda pemilik kereta buatan Eropah, ia banyak menimbulkan pertanyaan daripada rakan taulan.

Puncanya mudah iaitu stigma jenama Eropah yang dikatakan lebih mahal, susah mendapat alat ganti dan penyelenggaraan juga mahal berbanding kereta tempatan dan jenama Asia lain yang sama kuasa kudanya.

Lagipun, kata banyak orang, kereta jenama Eropah tidak boleh dibaiki oleh bengkel di bawah pokok kerana sistemnya berbeza.


Syarikat Pengeluar Kereta Pilihan Rakyat Malaysia.

Proton Persona


Jadi tidak hairanlah jika fakta majalah automotif, Motortrader.com.my, menunjukkan Proton adalah jenama yang menguasai 29 peratus pasaran negara ini dengan 85,223 unit kereta terjual antara Januari dan Jun.

Tempat kedua pula ialah Perodua dengan jualan sebanyak 79,467 unit (27.7 peratus), diikuti Toyota, Honda, Nissan, Mitsubishi, Hyundai-Inokom, Naza dan Suzuki.

Toyota Camry


Penjualan kereta Eropah paling tinggi ialah Peugeot dari Perancis, yang menduduki tangga ke-11 dengan penjualan sebanyak 3,040 unit atau sebanyak 1.1 peratus perkongsian pasaran.

Jenama terkenal dari Jerman, Mercedes Benz pula hanya menduduki tangga ke-14, di belakang Mazda dan Isuzu, kedua-duanya dari Jepun.

Antara jenama Eropah lain yang terkenal di negara ini sejak zaman berzaman ialah Citroen dan Renault dari Perancis, Porsche, Volkswagen, BMW, Audi (Jerman), Alfa Romeo dan Fiat (Itali) dan Volvo (Sweden).

Pada tahun 1970-an sehingga 1980-an, Peugeot 404 popular di Lembah Klang kerana menjadi pilihan pemandu teksi manakala model 204 pula digelar 'kereta cikgu' atau guru besar kerana ramai pendidik menggemarinya.

Peugeot 308 GT


Riduan Mohamed, 40, yang mengusahakan bengkel membaiki dan mengecat kereta di Kampung Melayu Subang dekat sini sejak 15 tahun lepas, berkata memang ramai rakyat Malaysia beranggapan bahawa kereta Eropah mahal dan susah untuk mendapatkan alat ganti.

"Satu lagi isu ialah di mana mereka mahu membaiki kereta Eropah selepas tempoh jaminan tamat kerana kalau ke pusat servis berdaftar, cajnya mahal. Ini yang menyebabkan mereka berfikir dua kali untuk membelinya," katanya.

Namun masih ada yang menggunakan kereta jenama Eropah kerana ia jelas berbeza dengan kereta Jepun daripada segi kuasa, kata Riduan yang kebanyakan pelanggannya adalah pemilik kereta Peugeot dan Citroen.

Riduan, yang pernah menjadi 'trouble-shooter' di MBf-Peugeot selama tiga tahun pada 1980-an, berkata dari sudut teknologi pula, kereta buatan Jepun dan Korea lebih cepat berevolusi tetapi tidak bagi kereta buatan Eropah.

"Sebabnya mereka masih guna teknologi lama tetapi teknologi itu masih baik untuk digunakan dalam tempoh yang lama. Bagi kereta buatan Jepun, perubahan teknologi boleh jadi akibat aduan pemilik yang tidak puas hati dan mahukan sistem yang lebih baik," katanya.

Menurutnya bakal pembeli juga bimbang harga jualan semula akan jatuh teruk, berbanding kereta buatan Jepun, yang turut mengakibatkan stigma terhadap jenama Eropah berkenaan.

Riduan, yang memulakan perniagaan dengan modal kira-kira RM50,000, berkata pemilik kereta Eropah juga memilih berdasarkan sudut keselamatan kerana percaya ketahanan yang lebih baik berbanding kereta buatan negara lain.

Katanya soal alat ganti yang mahal selalunya dapat diatasi dengan membelinya dari kedai-kedai kereta terpakai yang lebih dikenali sebagai 'kedai potong' atau 'halfcut' selain daripada pemilik kereta, baik dari Eropah atau Asia.

"Tak semua alat ganti kereta buatan Jepun murah dan tak semua alat ganti kereta Eropah mahal. Begitu juga sebaliknya," katanya.

Seorang pemilik kereta pelbagai guna (MPV) Peugeot 806, Azmi Abdullah, 39, berkata tiga sebab kenapa beliau memilih kenderaannya itu iaitu faktor keselamatan, kawalan di jalan raya dan juga selalunya mereka yang memiliki kereta berkenaan tidak akan menjualnya dalam tempoh yang singkat.

"Saya selalu gunakan pendekatan 'alah membeli menang memakai' dalam soal ini. Dalam soal penjimatan minyak, ialah, takkan sebuah kereta yang mempunyai CC yang besar sama dengan kereta CC yang rendah," katanya.

Apa pun jenama kereta anda, pastikan ia telah diselenggara sebelum balik kampung, pemanduan anda sentiasa berhemah, bersabar dan mematuhi undang-undang serta merancang perjalanan anda dan keluarga dengan baik.

Selamat Balik Kampung.

Oleh Ahmad Shukran Shaharudin
Sumber: BERNAMA

4 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

Salam;
tiap2 kereta yang dikeluarkan oleh negara pengeluar sememangnya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing2.

Ungu Violet berkata...

pehhh...ternganga org kmpung kalau blik kmpung nek keta tuh...:)

selamat hari raya..:)

Ahmad Kamil berkata...

salam..apeb minta chevrolet camaro kaler putih stripe hitam..hihih

Ahmad Kamil berkata...

salam..apeb minta chevrolet camaro kaler putih stripe hitam..hihih