10 Ogos 2011

Pelajar Malaysia Di London Cedera Diserang Perusuh

Asyraf Haziq dalam perjalanan berbuka puasa disamun sekumpulan perusuh.


Keterangan Gambar:
Pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, 20, patah gigi dan cedera rahang selepas dipukul dan disamun sekumpulan perusuh di London, Isnin 8 Ogos 2011. Gambar dirakam di Hospital Royal London.
Turutan gambar di kanan dipetik dari YouTube menunjukkan:
1. Asyraf terduduk selepas dipukul perusuh.
2. Ketika Asyraf masih dalam keadaan kesakitan selepas diserang, seorang perusuh pura-pura cuba membantu Asyraf, manakala rakanya menyelongkar beg mangsa.
3. Lelaki itu merampas dompet dan telefon bimbit Asyraf yang disimpan dalam begnya.
(Skrol ke bawah untuk video Youtube).


LONDON: Seorang pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli cedera diserang dan disamun sekumpulan belia lelaki yang terbabit dalam rusuhan di sini petang kelmarin (Isnin, 8 Ogos 2011).

Ketika kejadian, Asyraf, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan MARA di Kolej Kaplan sedang menunggang basikal dengan rakannya untuk berbuka puasa di rumah rakan mereka. Beliau yang patah gigi dan bengkak pipinya dihantar ke Hospital Royal London untuk dibedah.


Kejadian berkenaan dirakam oleh orang awam dan video klip rakaman itu muncul dalam YouTube yang kemudian disiarkan oleh siaran berita Sky TV.



Rakaman itu menunjukkan Asyraf terduduk selepas diserang dengan mulutnya berdarah. Tidak lama selepas itu, sekumpulan pemuda datang membantunya sambil beberapa daripada mereka membuka beg yang dibawanya dan mencuri dompet serta telefon bimbitnya. Seorang pemuda kemudian dilihat meninggalkan tempat kejadian menunggang basikalnya.

Pengarah Mara di United Kingdom (UK), Dr Noorzaini Mohd Noor, berkata ibu bapa Asyraf sudah dimaklumkan kejadian itu dan pihaknya serta Jabatan Pelajar Malaysia di London sedang berusaha memindahkan pelajar yang tinggal di tempat dikenal pasti sebagai berbahaya diancam perusuh.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK, Datuk Zakaria Sulong, berkata setakat ini tidak ada pelajar atau rakyat Malaysia lain terbabit dalam rusuhan dan sudah menasihatkan mereka menjauhi tempat yang dianggap berbahaya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Rusuhan dan kejadian menjarah di United Kingdom tercetus pada Sabtu (6 Ogos 2011) di Tottenham di utara London susulan tunjuk perasaan aman berhubung kematian Mark Duggan, seorang penduduk tempatan berkulit hitam berusia 29 tahun, selepas ditembak mati oleh polis dua hari sebelum itu. Insiden ganas itu kemudiannya merebak di kawasan lain di London dan bandar lain. (Rujuk: Bernama)

Rusuhan turut berlaku di Bayswater yang menempatkan Malaysia Hall, tetapi hanya kejadian kecil berbanding di tempat lain.

Semalam, rusuhan menyaksikan kumpulan pemuda yang membakar dan mencuri, merebak ke bandar lain termasuk Birmingham, Liverpool. Bristol dan Manchester.

Sumber: BHarian

Kemaskini 11 Ogos 2011.

Sementara itu, nasib malang yang menimpa penuntut Malaysia Mohd Asyraf Haziq Rosli, 20, terus mendapat simpati rakyat Britain sejak klip video beliau diserang disiarkan di media utama dan di internet.

"Menyebabkan Hospital Royal London di White Chapel di mana Mohd Asyraf Haziq dirawat, dibanjiri wartawan daripada saluran berita tempatan dan antarabangsa untuk melaporkan perkembangan terkini beliau," katanya.

Anifah juga berkata pelajar tahun pertama bidang perakaunan yang menuntut di di Kaplan Financial College, selamat menjalani pembedahan lebih tiga jam pada 1 petang (9 malam waktu Malaysia) Rabu untuk memasukkan plat logam di dalam rahangnya.
(Rujuk: Bernama)

2 comments:

Kiko Berdendang berkata...

sabar jela asraf. adat orang blaja... baca la surah pendinding diri jugak

Firdaus berkata...

lagi dahsyat dr bersih 2.0 :/