09 Ogos 2011

Penyakit Tibi Mudah Merebak



PENYAKIT batuk kering atau Tuberkulosis (Tibi) kembali lagi menyerang. Sesiapa sahaja jangan mengambil mudah kerana Tibi yang dikategorikan sebagai penyakit berjangkit cukup mudah merebak melalui batuk, bersin, ketawa ataupun menyanyi.

Orang dewasa juga lebih mudah menyebarkan Tibi berbanding kanak-kanak maka oleh itu tutuplah mulut apabila batuk.

Kenyataannya penyakit Tibi pada suatu ketika dahulu pernah menjadi pembunuh utama kepada penduduk di negara ini (ketika itu Tanah Melayu - Malaya) di antara tahun 1945 hingga 1957.




Berikutan itu program Kawalan Tibi Kebangsaan ditubuhkan pada tahun 1961 di mana kesemua pesakit dirujuk kepada Pusat Tibi Negara di Jalan Pahang, Kuala Lumpur yang kini dikenali Institut Perubatan Respiratori (IPR).

Program ini telah berjaya mengurangkan kes tibi pada tahap yang dianggap terkawal sehingga negara ini telah dikategorikan beban penyakit tibi sederhana.

Bagaimanapun, sejak tahun 1994 kes-kes baru tibi meningkat dari setahun ke setahun di mana pada tahun 2010 sahaja angkanya mencecah 19,337 berbanding tahun 2009 cuma 18,102 kes.

''Angka ini jelas menunjukkan Tibi kembali lagi ke Malaysia di mana semua rakyat perlu peka supaya tidak menjadi salah seorang mangsanya,'' kata Pakar Perunding Penyakit Tibi IPR, Dr. Ashari Yunus yang ditemui di pejabatnya di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, Tibi berkembang semula di negara ini memandangkan jumlah pembawa kuman HIV, diabetes, kanser dan buah pinggang semakin meningkat.

Begitu juga dengan golongan orang tua, pesakit yang mengambil steroid dalam tempoh yang lama, penagih alkohol secara berlebihan dan juga penagih dadah.

''Golongan ini adalah yang berisiko tinggi terhadap Tibi kerana sistem imunisasi badan yang lemah akan mengaktifkan kuman Tibi yang sedia ada di dalam badan manusia,'' katanya.

Bagaimanapun kata Dr. Ashari, pendatang asing cuma menjadi penyumbang kecil sahaja dalam penularan Tibi di negara ini.

Tambahnya, suntikan pelalian BCG untuk kanak-kanak di negara ini cuma dapat melindungi badan mereka dari penyakit ini sehingga usia 14 tahun sahaja.

Dr. Ashari memberitahu, Tibi memang dikenali penyakit pembawa maut tetapi sesiapa pun tidak perlu bimbang kerana ada ubat penyembuhnya.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada individu untuk segera ke hospital jika mendapati telah dijangkiti dengan kuman Tibi iaitu tubercle bacilli.

''Kuman ini hanya merebak melalui udara dan biasanya akan menjangkiti paru-paru serta organ yang lain seperti selaput otak, tulang, buah pinggang dan kulit,'' kata Dr. Ashari.

Jelasnya, seseorang itu hanya boleh disahkan menghidap Tibi melalui pemeriksaan kahak dan menjalani pemeriksaan x-ray.

Sehubungan itu, katanya, jika mempunyai tanda-tanda batuk berpanjangan lebih dua minggu, batuk berdarah, demam dan berpeluh waktu petang atau malam, maka segeralah ke hospital.

Simptom lain termasuk hilang selera makan atau turun berat badan mendadak, sakit dada semasa batuk atau bernafas secara dalam, mudah letih dan lemah.

Katanya, tidak cukup dengan itu pesakit harus memastikan menerima rawatan mengikut arahan doktor dan memakan ubat yang dinasihatkan selama enam bulan.

''Pesakit ini juga harus memastikan setiap kali bersin menggunakan sapu tangan bagi mengelak kuman ini terbang di udara dan merebak kepada orang lain pula,'' katanya.

Apa yang dikesalkan, kata Dr. Asraf, apabila ada kes pesakit yang 'melarikan' diri sebaik sahaja mendapati dirinya telah pulih selepas menerima rawatan pada peringkat awal.

Beliau berkata, sekalipun pesakit merasakan dirinya pulih tetapi selagi tidak lengkap mengambil ubat dalam tempoh enam bulan maka itu tidak bermakna dia bebas sepenuhnya daripada Tibi.

''Ini kerana prinsip DOTS (Pengawasan Rawatan Jangka Pendek Secara Terus) yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk merawat pesakit Tibi harus diikuti,'' katanya.

Katanya, pesakit perlu mengambil ubat yang ditetapkan selama enam bulan.

"Dua bulan pertama pesakit perlu setiap hari ke hospital kerana perlu makan ubat setiap hari dos yang ditetapkan dengan pemantauan pihak hospital,'' kata Dr. Ashari.

Malah katanya, empat bulan lagi pesakit perlu dirawat setiap dua minggu dan memakan ubat yang disyorkan setiap hari sehingga cukup tempoh selama enam bulan.

''Masalah sekarang ini, seseorang itu sudah tahu dirinya mempunyai tanda-tanda ini tetapi masih melewatkan pemeriksaan untuk menerima rawatan,'' kata beliau.

Katanya, disebabkan penyakit ini dikategorikan berjangkit maka ia akan cepat merebak kepada orang-orang di sekitarnya dengan lebih cepat.

Selain itu, katanya ada yang baru dua bulan menjalani rawatan tetapi selepas itu tidak lagi mengambil ubat yang disyorkan di mana akan mendapat kembali penyakit tersebut.

''Pesakit akan bebas sepenuhnya daripada Tibi setelah lengkap mengambil ubat dalam tempoh selama enam bulan,'' kata Dr. Ashari.

Oleh SHOLINA OSMAN
Sumber: Utusan

0 comments: