Keluarga pesakit harus perlu pelajari bantuan pernafasan andai masalah berulang.
KHAMIS ini (29 September 2011) adalah Hari Jantung Sedunia dan sudah banyak diperkatakan mengenai cara mengelak serangan jantung. Namun aspek yang kurang dititikberatkan atau sering terlepas pandang adalah kehidupan selepas individu itu bergelar pesakit kardiovaskular yang juga pembunuh nombor satu dunia.
Hakikatnya, selain ubat-ubatan dan rawatan, fasa pasca rawatan sakit jantung itu dan mengenal pasti dan menerima peristiwa yang mengubah diri individu itu akan membantu atau setidak-tidaknya mempercepatkan lagi usaha ke arah pemulihan.
Bagi memastikan anda dapat terus menikmati kehidupan yang sihat dan bermakna bersama keluarga dan rakan-rakan, ada beberapa langkah serta pengorbanan termasuk mengubah cara hidup. Sebenarnya tempoh diperlukan bagi penghidap sebelum menyambung semula kehidupan aktif dan kembali bekerja, bergantung kepada langkah-langkah yang diambil bagi mengekalkan gaya hidup baru dan bukan hanya setakat mengubah program diet dan meningkatkan aktiviti fizikal.
Keputusan kaji selidik menunjukkan bahawa semakin banyak nyawa hilang sejak kebelakangan ini selepas pesakit keluar hospital tanpa menyedari mereka perlu memberi lebih perhatian kepada pengurusan sindrom koronari akut (acute coronary syndrome, ACS), iaitu terma induk kepada mereka yang mengalami serangan jantung atau ancaman sakit jantung akibat pengurangan aliran darah ke otot jantung.
Mereka yang pernah mengalami ACS perlu sedar bahawa penyakit ini adalah kronik dan bersifat progresif, tetapi masih boleh diuruskan. Langkah yang perlu diambil adalah mencegah daripada serangan jantung yang lain dan mengurangkan risiko jangka sederhana dan jangka panjang. Anda boleh melakukan langkah-langkah ini jika anda memahami penyakit ini dan menyedari risiko yang ada.
Menghadapi realiti hidup baru ini serta keadaan sebenar kesihatan adalah salah satu cabaran yang ditempuhi. Cabaran lain pula adalah menguatkan diri untuk melalui terapi pencegahan serta menjadikannya satu amalan.
Perasaan atau berasakan diri tersisih dan keseorangan adalah reaksi semula jadi menghadapi situasi baru ini. Oleh itu amat penting bagi ahli keluarga atau penjaga memahami aspek seperti cara penjagaan, penilaian dan rawatan sewajarnya yang diperlukan pesakit bagi mengurangkan risiko kejadian seterusnya. Sebaik pesakit mengakui dan memahami bahawa kerjasama jangka panjang di seluruh rantaian sistem bantuan perlu wujud, tanggungjawab bersama menguruskan kehidupan selepas serangan jantung akan menjadi semakin mudah. Apa yang penting adalah pesakit perlu menyedari bahawa kunci ke arah kehidupan yang produktif selepas serangan jantung sebahagian besarnya ditentukan oleh mereka sendiri.
Kitaran rawatan
Walaupun doktor sentiasa bersedia menawarkan nasihat profesional mengenai ujian dan ubat yang perlu diambil, pesakit juga harus menyedari tanda amaran dan simptom serangan jantung seterusnya.
Sudah tentu pengalaman yang dilalui mengganggu sesetengah pesakit apabila mereka meninggalkan persekitaran hospital selepas serangan jantung. Di sinilah sokongan pihak keluarga menjadi penting dalam membantu pesakit mengubah gaya hidup dan menjalani program pemulihan kardium seperti yang dicadangkan atau dinasihati oleh ahli terapi dan doktor.
Ahli keluarga pesakit boleh mempelajari teknik asas bantuan pernafasan (CPR). Memberi bantuan kepada seseorang yang mengalami serangan jantung pada minit-minit pertama boleh menentukan sama ada mereka akan hidup atau mati. Pesakit dan penjaga juga harus tahu angka penting yang diawasi berkaitan kesihatan jantung - paras kolesterol (HDL dan LDL); glukosa darah dan tekanan darah. Menguruskan faktor risiko ini dengan baik dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya darah beku.
Dalam usaha merawat pesakit ACS, bergantung keadaan penyakit, doktor boleh memberi ubat atau mencadangkan prosedur invasif. Antara prosedur invasif adalah intervensi koronari perkutaneus (percutaneous coronary intervention(PCI), yang mana arteri tersumbat dibuka menggunakan alat khas dikenali ‘sten.’ PCI juga dikenali sebagai angioplasti. Satu lagi prosedur invasif adalah graf pintas arteri koronari yang mana arteri berkenaan (selalunya tersumbat) pada jantung dipintas menggunakan vena untuk membolehkan darah mengalir ke jantung.
Selain pakar bedah kardiotoraks, peranan intervensi serta bantuan diberikan pakar kardiologi membantu pesakit menangani tempoh pemulihan yang panjang selepas pembedahan, parut serta sakit juga adalah faktor penting dalam pengurusan penyakit jantung pesakit.
Dari segi ubat-ubatan pula, kewujudan anti platelet di pasaran yang mencegah platelet dalam darah daripada melekat dan menjadikan darah beku. Ubat-ubat ini diberikan sebagai tambahan atau pengganti ubat-ubat lain digunakan bagi mencegah serangan jantung, strok dan pembentukan darah beku atau diberikan sebaik saja berlaku serangan jantung untuk mengurangkan risiko serangan jantung seterusnya. Jika diambil atas nasihat doktor dan disertakan dengan perubahan amalan gaya hidup, sesetengah antiplatelet mampu meningkatkan kadar kejayaan secara berkesan untuk pesakit ACS.
Bagi kehidupan di luar hospital, pesakit yang pernah melalui ACS mampu menangani penyakit kronik ini dengan lebih baik hasil rawatan yang dipertingkatkan, daripada pembedahan dan terapi intervensi kepada ubat-ubatan pencairan darah dan antiplatelet.
Penjagaan secara menyeluruh oleh doktor, pemberi ubat, ahli terapi serta sokongan padu daripada ahli keluarga, sahabat, rakan kerja dan penjaga dari komuniti turut membantu menyumbang ke arah pendekatan rawatan yang lebih cekap dan mutu kehidupan yang lebih baik buat pesakit.
Sumber: BHarian
1 comments:
Salam;
bukan itu saja setiap individu atau ahli keluaga yang menghidapi masalah jantung harus tahu membuat teknik bantun awal untuk pesakit jantung ni.bantual awal yang saya maksudkan ialah "CPR".
Catat Ulasan