Membongkar Enigma Sebalik Kapal Karam Di Perairan Negara
Foto: Unwanted
Perairan negara merupakan antara laluan maritim terpenting di dunia dan digunakan pedagang sejak awal kurun Masihi lagi, mungkin lebih awal daripada itu.
Laluan ini dianggap tali penghubung kepada tamadun manusia sejagat, bagaimanapun ia juga merakam banyak kisah tragis kapal-kapal saudagar yang tenggelam akibat cuaca buruk, kebocoran atau serangan.
Kapal karam itu antaranya dari China, Tanah Arab dan negara nusantara, menimbulkan suatu enigma bersama 1001 kisah mengenai kehidupan masa lalu.
"Kapal karam bagaikan kapsul masa menceritakan struktur perdagangan, komoditi serta komuniti pedagang itu sendiri pada masa dahulu," kata Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Ibrahim Ismail.
Ibrahim berkata kemunculan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang maju pada kurun ke-15 dan ke-16 menyebabkan pedagang daripada pelbagai latarbelakang berpusu-pusu datang ke Melaka.
"Tidak hairanlah beribu-ribu kapal merentasi lautan Asia Tenggara dan karam sebelum sampai ke destinasinya. Antara destinasi utama kapal itu Melaka kerana itu kita lihat perairan negara kaya dengan khazanah kapal karam," katanya.
Beliau berkata usaha mencari serta mengenalpasti lokasi kapal karam di perairan negara telah dilakukan sejak tahun 1980-an oleh pelbagai pihak.
RISDAM DAN DIANA PENCETUS SEGALANYA
Model Risdam
Penemuan kapal karam Risdam pada 24 April 1984 oleh seorang rakyat Singapura di perairan Mersing, Johor merupakan antara pencetus minat ekskavasi kapal karam di negara ini.
Risdam dipercayai karam pada 1 Jan 1727 kerana mengalami kebocoran dan merupakan kapal milik Syarikat India Timur Belanda (VOC) berukuran 46m panjang, 15m lebar dan setinggi 12m.
"Arkeologi maritim dilakukan oleh Jawatankuasa Menyelidik dan Menyelamat Harta-harta Karun/Purba Johor dengan kerjasama penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia sendiri," katanya.
Beliau berkata dua operasi arkeologi dijalankan pada 1984 yang menemui pelbagai artifak, antaranya tempayan, jongkong timah, gading gajah, kayu balak dan kompas.
Model Diana, Kapal Milik British East India Company
Satu lagi kapal karam bernama Diana turut menjadi pencetus minat ekskavasi kapal karam di negara ini apabila pada 21 Disember 1993, Malaysian Historical Salvors (MHS) menemui kapal itu di perairan Selat Melaka.
Kerajaan telah menawarkan kepada MHS untuk melakukan aktiviti ekskavasi maritim Diana yang tertanam dalam lumpur di kedalaman 34m.
"Seramik adalah kargo terbanyak ditemui kira-kira 11 tan antaranya pinggan, mangkuk, set teh dan bekas penyimpan sayur serta buah-buahan. Kira-kira 24,000 unit barangan daripada jenis tembikar China biru-putih ditemui," katanya.
Ibrahim berkata turut ditemui herba seperti teh hijau, halia, ginseng dan rhubab selain kapur barus dan butiran kaca.
MARITIM JABATAN MUZIUM
Jabatan Muzium Malaysia mula melakukan ekskavasi maritim dengan sendiri terhadap kapal karam di sekitar perairan negara pada tahun 1995 bermula dengan kapal perang Belanda bernama Nassau.
"Nassau karam sekitar 5km dari pantai Port Dickson, Negeri Sembilan. Ia dipercayai karam pada 16 Ogos 1606 disebabkan pertempuran antara Belanda dan Portugis dikenali sebagai peperangan Cape Rachado," katanya.
Ibrahim berkata ekskavasi terhadap kapal itu dijalankan antara Ogos dan Disember 1995 dengan kerjasama syarikat Transea Sdn Bhd, Mensun Bound dan Universiti Oxford.
Katanya peralatan seperti 'magnometer' dan 'sidescansonar' digunakan untuk mengesan kira-kira 5,000 artifak pada kapal karam itu antaranya senapang besi-gangsa, sauh besi, peluru dan seramik.
Pada tahun yang sama juga sebuah lagi kapal karam bernama Nanyang, yang dipercayai karam pada 1380, ditemui di perairan Pulau Pemanggil, Mersing, Johor dan berada 54m di dasar laut.
"Apa yang menarik mengenai kapal ini ialah teknik pembuatannya mempunyai asal-usul China dan Asia Tenggara. Kapal ini kecil sepanjang 18m dengan tiang layar 5m panjang," katanya.
Beliau berkata kapal itu dicantum menggunakan tanggam kayu seperti pembuatan kapal di Terengganu. Bagaimanapun usaha ekskavasi penuh belum dijalankan dan jabatan itu hanya melakukan penyelidikkan di permukaan tapak kapal karam itu.
"Sebanyak 400 seramik dikeluarkan untuk diselidik, kebanyakkanya mengandungi corak Sisatchanalai. Antara seramik yang ditemui kendi tangkai bulat, pinggan besar, mangkuk kecil, tembikar tanah dan tempayan besar," katanya.
Sisatchanalai merupakan sebuah kawasan di Thailand yang pada lewat kurun ke-14 merupakan sebuah kawasan penghasilan seramik terkemuka di Asia Tenggara.
KAPAL DIRAJA DARI CHINA
Satu lagi kapal yang ditemui pada 1995 ialah Royal Nanhai dipercayai sebuah kapal diraja dari China yang karam pada 1460 dan ditemui di perairan antarabangsa kira-kira 40 batu nautika dari timur Semenanjung Malaysia pada kedalaman 46m.
Proses ekskavasi kapal berukuran 28m panjang serta 8m lebar ini siap pada Mei 1998 dan hasil ekskavasi mendapati kapal ini karam apabila menjalankan tugas khas membawa barangan diraja.
"Lima mangkuk seramik China berwarna biru dan putih ditemui pada ruang rahsia berdekatan bahagian tulang belakang kapal dengan mangkuk ini dipercayai berasal daripada pemerintahan Jingtaij Tienshun antara tahun 1450 dan 1464," katanya.
Ibrahim berkata selain mangkuk itu turut ditemui kotak laker berwarna hitam, pemegang pedang daripada gading gajah dan chop menteri daripada gangsa di mana pemegangnya berbentuk gajah.
Selain Royal Nanhai, sebuah lagi kapal bernama Xuande yang ditemui pada 1996 kira-kira 60 batu nautika dari pantai Terengganu turut dipercayai menjalankan tugas khas membawa barangan diraja China.
"Enam biji barangan seramik yang dijumpai pada kapal karam itu mempunyai tanda Maharaja Xuande memerintah antara 1425 dan 1436. Turut ditemui barangan seramik dipercayai dihasilkan pada kurun ke-16," katanya.
Turut ditemui dua meriam gangsa berciri Portugis mungkin dibuat di Asia Tenggara, 170 keping seramik China biru-putih dan 130 barangan seramik 'underglazed' corak Sisatchanalai dan Sukhotai (satu lagi jenis corak dibuat di satu kawasan di Thailand bernama Sukhotai).
Beliau berkata kapal yang dipercayai karam pada 1540 itu tidak meninggalkan struktur rangka kerana dipercayai kerana diperbuat daripada kayu lembut.
Satu lagi kapal China ditemui pada 1996 ialah Longquan dipercayai karam sekitar tahun 1400 dan kapal itu ditemui pada kedalaman laut 63m kira-kira 23 batu nautika dari pantai Terengganu.
"Kapal ini dipercayai dari China pada zaman Dinasti Ming antara 1368 dan 1644. Dengan saiz 30m panjang kapal ini dipercayai kapal karam terbesar ditemui di Laut China Selatan," katanya.
Ibrahim berkata 40 peratus seramik yang ditemui di kapal ini dipercayai berasal dari China, 20 peratus dipercayai dari Sisatchanalai dan 20 peratus seramik 'underglazed' dari Sukhotai, selebihnya seramik jenis lain.
"Jumlah penemuan seramik sukhotai di luar jangkaan kerana ahli arkeologi berpendapat Sukhotai hanyalah pengeksport seramik kecil-kecilan berbanding Sisatchanalai. Ini turut membuktikan Sukhotai antara pengeksport seramik utama Asia Tenggara," katanya
Nota Kaki:
Rencana ini merupakan siri pertama daripada dua siri rencana mengenai
usaha yang dijalankan pelbagai pihak antaranya Jabatan Muzium Malaysia
bagi meneroka rahsia dan khazanah 13 buah kapal yang karam di perairan
negara.
Oleh Fadzli Ramli
Sumber: BERNAMA
1 comments:
Salam;
Perairan negara kita bukan saja kaya dengan minyak malah kaya dengan khazanah2 dari kapal dulukala yang karam.
Catat Ulasan