02 September 2011

PPSPPA Tingkat Mutu Pengurusan Sisa Pepejal

Penswastaan pastikan perkhidmatan kutipan sampah, pembersihan awam lebih efisien.


TANGGAL 1 September 2011 menandakan bermulanya penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang akan membawa suatu transformasi kepada pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) merupakan agensi ditubuhkan untuk memberikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang efisien, bersepadu di samping memberikan kepuasan yang lebih baik kepada pengguna.



Penubuhannya melalui Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pembersihan Awam (Akta 673) dan melalui Akta 672 memberi kuasa eksekutif kepada PPSPPA untuk mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan. (Rujuk: Utusan )



PENSWASTAAN Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mulai 1 September 2011 sebenarnya memberi lebih banyak impak positif kepada orang ramai walaupun mereka tidak dikenakan sebarang bayaran.

Antara lain, kualiti khidmat kutipan sampah dan pembersihan awam dipertingkatkan dengan lebih efisien. Orang ramai juga diberi jaminan berpuas hati dengan khidmat syarikat konsesi yang dilantik kerajaan.

Sebaliknya, jika orang ramai mendapati kualiti khidmat syarikat tidak memuaskan mereka boleh membuat aduan terus kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan tindakan dikenakan kepada syarikat dalam bentuk penalti dan menolak mata KPI syarikat konsesi iaitu E-Idaman Sdn Bhd bagi negeri Perlis dan Kedah, Alam Flora Sdn Bhd bagi negeri Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan syarikat konsesi SWM Sdn Bhd bagi negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Dr Nadzri Yahaya, berkata biarpun syarikat konsesi terpaksa menukar lori sampah lebih moden dan canggih serta mengedarkan tong sampah baru kepada rumah di atas tanah, orang ramai tidak perlu bimbang kerana tidak akan dikenakan apa-apa bayaran.

Penukaran lori sampah dan juga pengedaran tong sampah yang baru akan diadakan secara berperingkat bermula 1 September 2011.

Pada September 1995, Jemaah Menteri bersetuju supaya Pengurusan Sisa Pepejal seluruh negara di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diswastakan.

Katanya, penswastaan dipersetujui dibahagikan mengikut zon iaitu Zon Utara, Zon Selatan, Zon Tengah, Zon Sarawak dan Zon Sabah. Bagaimanapun cadangan penswastaan berjalan hanya di Semenanjung (kecuali di Selangor, Perak dan Pulau Pinang) tetapi tidak di Sabah dan Sarawak disebabkan perbezaan perundangan.

“Keputusan penswastaan kerana kerajaan mendapati PBT kekurangan faktor kewangan, kepakaran dan sumber manusia untuk memberi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang berkualiti.

“Apabila Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) diluluskan Parlimen dan diwartakan pada 2007, ia memberi kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyelaras sepenuhnya pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh Semenanjung, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan,” ujarnya.

Dr Nadzri menambah, tujuan pengambilalihan ini adalah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kutipan sampah di Semenanjung. Penswastaan ini sekali gus akan membawa transformasi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera.

Di bawah penswastaan penuh kelak, kutipan masih dibuat tiga kali seminggu di mana sisa organik seperti sisa makanan dan sisa pepejal lain yang tidak boleh dikitar semula dikutip dua kali seminggu, manakala satu kutipan dikhususkan untuk mengutip sisa pukal, sisa kebun dan sisa boleh dikitar semula.

Menurutnya, kerajaan mewujudkan Key Performance Indeks (KPI) kepada syarikat konsesi dan ia dimasukkan ke dalam Perjanjian Konsesi bagi memastikan penswastaan ini membuahkan hasil seperti dikehendaki dari segi kualiti pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang tinggi.

Katanya, KPI terbahagi kepada KPI primer dan sekunder, mengikut betapa seriusnya kesalahan.

“Contohnya, titisan air leachate dari lori kompaktor dianggap kesalahan berat dan termasuk di bawah KPI primer menyebabkan syarikat konsesi didenda dan penolakan markah,” tegasnya.

Bagi melancarkan proses pemantauan, kerajaan juga mewujudkan agensi PPSPPA yang akan memantau , mengawal selia dan menguatkuasaan undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan KPI penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini dijalankan secara berperingkat mengikut kawasan yang dipersetujui syarikat konsesi dan kerajaan.

Katanya, pada tahun kedua, sebanyak 30 peratus kawasan PBT akan mempunyai tong sampah dan lori baru dan KPI baru akan berkuat kuasa di kawasan berkenaan, manakala pada tahun ketiga sejumlah 75 peratus kawasan PBT akan dikuatkuasakan dengan KPI baru dan tahun keempat KPI baru akan dikenakan di semua PBT.

Kerajaan juga di dalam Perjanjian Konsesi memperuntukkan mengenai kewujudan satu ‘call centre’ untuk menerima dan mengurus aduan dan pertanyaan berkaitan perkhidmatan kutipan dan perkhidmatan pembersihan awam.

Call Centre beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.
“Call Centre atau Sistem Aduan diwujudkan dan diintegrasikan dengan ketiga-tiga syarikat konsesi menggunakan talian bebas tol 1-800-88-7472,” tambahnya.

(Sumber: BHarian ).

Perbadanan membangunkan sistem E-Aduan untuk menguruskan aduan awam yang lebih berkesan. Sistem ini merupakan pengintegrasian antara tiga syarikat konsesi iaitu Alam Flora Sdn. Bhd., Environment Idaman Sdn. Bhd. dan SWM Sdn. Bhd. dengan Perbadanan. (Rujuk: Utusan )

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Artikel berikut ini adalah penjelasan lanjut oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, DATUK ZAINI MD. NOR.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPPA, DATUK ZAINI MD. NOR berkata, pihaknya akan berperanan sebagai pihak berwajib yang berkuasa melaksanakan dasar dan strategi dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam secara bersepadu dan efektif serta penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan persekitaran bersih dan sihat.

Sejarah Awal Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam

Selama ini, PBT di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan badan yang bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal. Terdapat 149 pihak berkuasa tempatan di Malaysia dengan pelbagai tahap keupayaan dalam menyediakan perkhidmatan perbandaran kepada orang awam.

Daripada peruntukan yang diterima setiap tahun, PBT membelanjakan antara 40 sehingga 70 peratus untuk menguruskan sisa pepejal perbandaran bergantung kepada keluasan kawasannya.

Pada 6 September 1995, Kabinet bersetuju menswastakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kepada syarikat konsesi Alam Flora Sdn. Bhd., Environment Idaman Sdn. Bhd., dan SWM Sdn. Bhd. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penswastaan ini dilakukan dan antara faktor utama adalah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan membantu PBT.

Sebelum penswastaan dilakukan sepenuhnya, proses interim dilaksanakan di zon tengah dan selatan pada 1998 manakala bagi zon utara pula, proses interim dilakukan pada 2009.

Pembangunan dan pelaksanaan sistem pengurusan sisa pepejal perlu melibatkan gabungan teknologi yang bersesuaian dan undang-undang tempatan.

Akhirnya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam telah diwujudkan dan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang akan berkuat kuasa pada 1 September 2011. Penguatkuasaan Akta 672 sekali gus akan membawa suatu transformasi kepada pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara demi menjadikan Malaysia sebuah negara bersih, indah dan sejahtera.

Objektif Penubuhan Perbadanan.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan secara rasminya pada 1 Jun 2008. Perbadanan diwujudkan melalui Akta 673 bagi mengendalikan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Apabila kita membicarakan tentang sisa, lazimnya ia berkaitan sampah. Sistem pelupusan sampah perlu mempunyai perancangan strategik di seluruh negara. Pengurusan sampah bukan sekadar melupuskan, bahkan ia perlu melalui sistem integrasi bermula dari aktiviti kutipan, pindahan sehingga ia dilupuskan.

Peranan Perbadanan adalah merancang dan melaksanakan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam negara ini secara menyeluruh bagi memberikan perkhidmatan yang seimbang dan terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kita lihat sebelum ini, bahawa PBT adalah pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan sisa pepejal dan ini mengakibatkan tahap perkhidmatan yang tidak seragam di seluruh negara.

Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan dengan mewujudkan Perbadanan bagi mengawal selia, menguruskan sisa pepejal dari ia dikutip, diangkat sehingga ia dilupuskan dengan tahap perkhidmatan yang lebih seragam dan bersepadu.

Kaedah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Oleh Perbadanan.
Sejumlah 24,000 tan sampah dihasilkan sehari di Malaysia dan jumlah ini dijangka akan meningkat kepada 30,000 tan pada 2020. Setiap sampah yang dihasilkan ini perlu diuruskan secara efisien oleh syarikat konsesi di mana pihak konsesi perlu mematuhi setiap petunjuk prestasi utama (KPI) kutipan dan pembersihan awam yang ditetapkan.

Kutipan sampah di rumah-rumah pula akan dipastikan mengikut jadual ditetapkan dan mereka perlu menghantar jadual operasi setiap bulan kepada Perbadanan bagi tujuan pemantauan oleh anggota penguatkuasa Perbadanan.

Perbadanan menetapkan sejumlah 24 KPI bagi kutipan dan 51 KPI bagi pembersihan awam yang perlu dipatuhi oleh syarikat konsesi iaitu SWM Environment Sdn. Bhd., Alam Flora Sdn. Bhd. dan Environment Idaman Sdn. Bhd.

Mendidik masyarakat untuk mengitar semula.

Kita yakin bahawa tahap kesedaran masyarakat terhadap amalan kitar semula adalah agak tinggi, namun amalannya masih lagi rendah.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Perbadanan, didapati bahawa 80 peratus masyarakat Malaysia sedar akan kepentingan kitar semula, namun hanya 60 peratus yang mengamalkannya.

Melalui amalan kitar semula, kita dapat melanjutkan tempoh jangka hayat tapak pelupusan sedia ada di samping memulihara alam sekitar.

Sekiranya bahan buangan dapat dikitar semula sebanyak 50 peratus, maka jumlah yang sama juga akan dapat dijimatkan bagi pengurusan di tapak pelupusan.

Salah satu tujuan utama Perbadanan diwujudkan adalah meningkatkan amalan kitar semula masyarakat Malaysia. Hasil penemuan kajian mendapati bahawa kebanyakan tong sampah kitar semula yang disediakan diletakkan di kawasan yang agak terpencil dan tidak membantu masyarakat mengamalkan budaya kitar semula.

Hari ini kita mendapati bahawa semua sampah yang diangkat tidak diasingkan dan terus dibuang.

Setahun selepas akta dilaksanakan, Perbadanan akan melaksanakan kutipan sehari dalam seminggu untuk sampah dan barangan yang boleh dikitar semula di rumah. Bagaimanapun, hanya 30 peratus daripada kawasan PBT akan terlibat dengan pelaksanaan ini.

Hasilnya, pengguna akan mengasingkan sendiri sisa di rumah dan amalan kitar semula dan pengasingan sisa dapat dijadikan budaya masyarakat Malaysia.

Menyeragamkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Akta 672 meletakkan tanggungjawab kepada Perbadanan untuk mengambil alih pengurusan perkhidmatan daripada PBT di Semenanjung Malaysia yang merangkumi kepentingan kira-kira empat juta kediaman kecuali di Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang menangguhkan pelaksanaannya buat masa ini.

Dari sudut ini, kita mendapati bahawa Kerajaan Persekutuan bertujuan membantu kerajaan negeri dan PBT bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Sekiranya kita melihat mutu perkhidmatan sedia ada, kita mendapati penggunaan lori sampah agak uzur, berbahaya dan tidak sempurna.

Maka dengan penguatkuasaan akta ini pada 1 September 2011, Perbadanan akan memastikan bahawa mutu perkhidmatan dapat dipertingkatkan secara berperingkat melalui KPI yang seragam dan perlu dipatuhi oleh syarikat konsesi dalam melaksanakan kerja-kerja kutipan dan pembersihan awam.

Setiap syarikat konsesi ini akan menggantikan lori kompaktor dan tong sampah sedia ada dengan yang baru secara berperingkat manakala kompaktor yang digunakan pula akan dilengkapi dengan sistem pengangkut sampah atau bin lifter dan mempunyai sistem tangki kawalan air resapan sampah atau leachate yang mampu mengawal masalah tumpahan air resapan sampah.

Perbadanan mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Kita sebenarnya melihat bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih tanggungjawab untuk menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam melalui penubuhan Perbadanan dan penguatkuasaan Akta 672.

Di samping itu, PBT juga akan terus membantu Perbadanan dari semasa ke semasa bagi memastikan jika terdapat sebarang halangan yang dihadapi oleh Perbadanan yang memerlukan tindakan dalam bidang kuasa PBT.

PBT juga boleh menumpukan perhatian yang lebih kepada aktiviti perancangan dan pembangunan, pemberian lesen perniagaan, kutipan hasil pintu dan penguatkuasaan.

Melalui pendekatan ini, PBT mempunyai lebih banyak masa untuk memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka yang lain.

Aktiviti penguatkuasaan Perbadanan.
Perbadanan memainkan peranan yang amat penting dalam menguatkuasakan Akta 672. Perbadanan kini mempunyai 504 anggota penguatkuasa yang terlatih bagi menjalankan aktiviti pemantauan dan kawal selia serta penguatkuasaan.

Penguatkuasa Perbadanan akan mengurus dan mengawal selia kualiti perkhidmatan yang dibekalkan oleh syarikat konsesi serta menyiasat setiap aduan yang diterima.

Selain itu, Perbadanan akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta 672.

Buat masa ini, tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan kepada pengguna dan semua kos lebihan perkhidmatan ditanggung oleh PBT dan Kerajaan Persekutuan.

Apa yang penting di sini adalah pengguna dapat menikmati perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang lebih baik dan teratur di samping dapat menjaga alam sekitar.

Kesan daripada pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam
Tong sampah bersaiz 120 liter akan dibekalkan secara percuma dan berperingkat kepada pemilik premis oleh syarikat konsesi untuk penambahbaikan sistem kutipan sisa pepejal di negara ini.

Selain membekalkan tong sampah, kita akan memastikan agar syarikat konsesi mematuhi KPI seperti jadual dan frekuensi kutipan, menghantar sisa ke lokasi pelupusan ditetapkan, tidak berlakunya keciciran kutipan, memastikan sisa di dalam atau luar tong dikutip, memastikan tiada tumpahan leachate dan menggunakan lori kompaktor yang mempunyai kelengkapan bin-lift.

Sekiranya syarikat konsesi ini tidak mematuhi KPI yang telah ditetapkan, maka denda dan penolakan mata demerit akan dikenakan dan akhirnya boleh membawa kepada pembatalan Perjanjian Konsesi.

Sumber: Utusan

0 comments: