Pada hari ini 11 September 2011, genaplah 10 tahun terjadinya tragedi serangan ke atas bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.
WTC tinggal kenangan.
World Trade Center
World Trade Center (Pusat Dagangan Dunia) New York merupakan sebuah kompleks yang terdiri daripada tujuh buah bangunan termasuk menara berkembar pencakar langit setinggi 110 tingkat di bandar raya New York, Amerika Syarikat.
Pembinaan Menara Kembar WTC bermula pada 5 Ogos, 1966. Keluli mula digunakan dalam pembinaannya pada Ogos 1968. Arkitek bangunan ini ialah Minoru Yamasaki, seorang rakyat Amerika berketurunan Jepun yang terkenal dengan bangunan modennya yang artistik.
Pada tahun Disember 1970, beberapa penyewa telah berpindah ke Menara Satu atau World Trade Center One (WTC1). Apabila WTC1 siap dibina sepenuhnya pada tahun 1972, ia telah dinobatkan sebagai bangunan tertinggi didunia dengan ketinggian 1,368 kaki (417 m).
Selama beberapa dekad, bangunan ini telah menjadi mercutanda AS terutamanya bandar raya New York. Malah, sewaktu pembukaannya ia telah mengambilalih tempat Bangunan Empire State sebagai bangunan tertinggi di dunia.
Tetapi setahun kemudiannya ia telah ditewaskan oleh Sears Towers di Chicago. Manakala World Trade Center Two (WTC2) telah dimasukki pada Januari 1972. WTC2 pula telah menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia dengan ketinggian 1,360 kaki. Menara berkembar ini dibuka secara rasminya pada 4 April, 1973.
Sebagai salah satu mercutanda Amerika Syarikat, WTC sering menjadi sasaran pengganas. Pada 26 Februari, 1993 jam 12:17 tengah hari, sebuah trak Ryder yang sarat dengan bahan peledak telah diletupkan digaraj aras bawah Menara Utara. Serangan ini telah mengorbankan enam orang dan mencederakan lebih seribu orang. Bagaimanapun serangan nekad pengganas pada 2001 telah menghancurkan bangunan tersebut sama sekali.
Sumber: Wikipedia
Sedekad Tragedi 11 September 2001
Tragedi 11 September 2001 serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York menyebabkan kedua-dua bangunan berkembar yang menjadi kebanggaan rakyat negara Uncle Sam itu runtuh menyembah bumi.
Malah, dunia langsung tidak menyangka negara sekuat AS bakal berdepan dengan tragedi yang mencatat sejarah hitam dalam kalendar antarabangsa.
Rempuhan pesawat Boeing 767 American Airlines Flight 11 di Menara Utara WTC pada pukul 8.46 pagi waktu tempatan dan pesawat United Airlines Flight 175 di Menara Selatan WTC pada pukul 9.03 pagi itu dikatakan didalangi oleh sekumpulan pengganas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian Al-Qaeda.
ASAP dan debu panas memenuhi ruang angkasa bandar raya New York sejurus serangan berlaku.
Kejadian yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa itu menyebabkan AS bertekad melancarkan perang menangani keganasan secara besar-besaran dan menuduh Osama bin Laden sebagai ketua pengganas yang bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut.
Malah, kerajaan AS di bawah pimpinan Presiden George W. Bush ketika itu menjadikan insiden 11 September 2001 sebagai alasan kuat untuk mengebom Afghanistan dalam usaha mereka memburu Osama dan pengikutnya hingga membunuh ramai orang awam termasuk wanita serta kanak-kanak yang tidak berdosa. Situasi itu juga menyebabkan umat Islam di AS diselubungi kebimbangan terutamanya pada tanggal 11 September itu sendiri.
“Meskipun masa berlalu begitu pantas, saya sentiasa berasa susah hati apabila munculnya tarikh keramat itu. Pada tarikh 11 September, apabila saya keluar rumah sambil memakai tudung, masyarakat akan memandang serong dan menyalahkan saya kerana kejadian yang berlaku,” kata Nancy Rokayak dari Charlotte, North Carolina sewaktu ulang tahun kelapan tragedi serangan itu.
Wanita kelahiran AS yang memeluk Islam dan mempunyai empat cahaya mata dengan suaminya yang berasal dari Mesir itu akan memastikan dia memakai pin bendera AS pada setiap 11 September dan mengakui berasa lebih selamat berada di rumahnya pada waktu berkenaan.
PARA petugas keselamatan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa kejadian runtuhan WTC.
Tapak Ground Zero
Dalam pada itu, tapak WTC yang dikenali sebagai Ground Zero kini sedang rancak dibangunkan semula sejak tahun 2008. Menurut pemilik tapak itu, memorial WTC akan dibuka secara rasmi kepada umum pada tarikh 11 September 2011 sempena ulang tahun ke-10 tragedi serangan pengganas ke atas bangunan tersebut.
Proses pembinaan semula Ground Zero yang akan dijadikan hab pengangkutan kereta api itu menelan belanja sebanyak AS$3.2 bilion (RM11.09 bilion). Ia dijangka siap menjelang tahun 2014.
Selain itu, pembinaan sebuah masjid dan pusat Islam yang diilhamkan pemimpin Cordoba Initiative, Feisal Abdul Rauf di sebelah tapak WTC turut mengundang kontroversi dan provokasi daripada pelbagai pihak.
Bagi yang menentang, mereka merasakan rancangan membina masjid itu dianggap sebagai ‘monumen kejayaan Islam’ dalam membunuh lebih 3,000 mangsa yang berada di bawah runtuhan tersebut.
GAMBAR lakaran artis bagi projek pembangunan semula di tapak WTC atau Ground Zero.
Sebaliknya kumpulan penyokong pula menuduh Barat sengaja tidak mahu memahami kesucian Islam dan hanya melihat agama syumul itu sebagai pengganas seperti Al-Qaeda, Taliban dan Parti Baath di Iraq sebelum kejatuhan Saddam Hussein.
Sumber: Kosmo
Saksikan video imbasan tragedi 11 September 2001
1 comments:
Salam;
Bagi org yang takut dengan islam..mereka sering menunding jari kearah al-Qaeda walau apa saja keganasaan yang berlaku didunia ini..meskipun ianya dilakukan org lain..
Catat Ulasan