11 September 2011
Subjek Sejarah Di Sekolah Kurang Tepat
Subjek Sejarah yang diajar di sekolah-sekolah dilihat kurang tepat kerana tidak mempunyai latar belakang perjuangan kemerdekaan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata subjek itu tidak begitu tepat kerana salah satunya cerita mengenai peranan Tunku Abdul Rahman yang memperjuangkan kemerdekaan negara tidak banyak disebut dalam silibus subjek berkenaan.
"Ramai daripada generasi muda tidak begitu faham dengan sejarah dan asal-usul negara kerana ada percubaan untuk mengubah sejarah daripada fakta kepada khayalan," katanya.
Beliau berkata kerana itulah kerajaan perlu menumpukan apa sebenarnya berlaku supaya tulisan tentang sejarah negara tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik semasa.
"Bukan mengkaji semula sejarah tetapi perlu balik kepada benda yang benar. Sejarah sudah berlaku dan kita tidak boleh ubah sejarah," katanya mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Jumaat.
Mohamed Khaled berkata sukatan pelajaran subjek sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam buku terbarunya 'Historical fact and fiction'.
Dr Mahathir berkata sekarang ini generasi muda menganggap bahawa perjuangan untuk kemerdekaan itu perkara biasa kerana mereka dilahirkan dalam sebuah negara yang sudah merdeka dan makmur.
"Jadi mereka (generasi muda) menganggap bahawa dalam mana-mana negara pun akan berlaku demikian, tapi kalau kita buat lawatan ke negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan semasa kita mencapai kemerdekaan, kita akan dapati bahawa mereka tak dapat bangunkan negara mereka seperti Malaysia," katanya.
Sumber: BERNAMA
P/S: Usaha menjadikan Novel Interlok dibeberapa buah negeri sebagai novel bacaan KOMSAS patut diberi pujian. Novel ini mengisahkan suatu kisah bersejarah yang disampaikan dalam bentuk penceritaan bagaimana rakyat Malaysia yang berbilang kaum bekerja-sama dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.
Dalam Novel ini juga dikisahkan, dan para pembaca pastinya dapat memahami dan menghayati kenapa kita tidak mengiktiraf pihak berhaluan kiri sebagai pejuang kemerdekaan.
Penggunaan novel ini sebagai bahan KOMSAS diharap dapat menarik minat pelajar dan generasi muda Malaysia untuk mengetahui dan memahami seterusnya menghayati perjalanan perjuangan kemerdekaan di Tanah Melayu.
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
Salam;
fakta sejarah dulu sebelum merdeka kebanyakan daripada pengkaji british..jadi kita risau fakta sejarah yang kita belajar selama ini tidak tepat....sememangnya langkah kaji semula patut disokong.
Catat Ulasan