04 Oktober 2011
Aku Sudah Semakin Tua
Pagi-pagi lagi, sebaik sahaja sampai ke pejabat, beberapa orang rakan sejawat mengucapkannya. Masuk ke kelas, semua budak beramai-ramai secara serentak dengan suara yang sumbang dan pitching lari, menyanyikan lagunya.
Selepas sehari hari hari sambutannya, masih lagi ada yang mengucapkannya. Sesetengah budak-budak apabila bertembung dengan aku terus menyanyikan lagu yang telah aku dengar semalam, walaupun sesetengah daripada mereka semalam telah mengucapkannya dan dah menyanyikan lagunya. (Dia orang ni pulak yang lebih-lebih). Rakan-rakan sejawat yang tidak sempat bertemu aku semalam, mengucapkannya hari ini.
Itulah dia ucapan 'Selamat Hari Lahir', 'Selamat Hari Ulang Tahun', "Selamat Hari Jadi', 'Happy Birthday', 'Happy Belated Birthday' dan lagu 'Happy Birthday To You' atau lagu 'Allah selamatkan kamu'. Ucapan-ucapan tersebut ditambah lagi dengan beberapa ucapan sampingan yang semuanya sedap-sedap didengar. Antaranya 'Moga panjang umur', 'Moga dimurahkan rezeki'. Cuma ucapan yang aku tak pernah dapat ialah 'Moga lebih kuat beramal dan beribadat' atau 'Moga menjadi seorang lelaki yang soleh'.
Sebenarnya aku tak berapa kisah tengah hari lahir aku. Kalau orang tak ingat pun tak mengapa. Sebab kadang kala aku sendiri pun tak teringat tentang tibanya hari lahir aku tu.
Inilah hasil daripada perkembangan teknologi masa kini. Kita tidak lagi perlu menghebahkan tentang sesetengah maklumat diri kita. Dengan kesediaan kita untuk mengisi maklumat diri dalam aplikasi jaringan sosial, bermakna maklumat tentang diri kita akan dikongsi dengan semua orang. Aplikasi di Facebook sebagai contoh akan menghebahkan maklumat tarikh lahir seseorang kepada kesemua rakan facebook dengan begitu berkesan sekali beberapa hari sebelum tiba waktunya.
Aku memang dah lama tak tengok Facebook aku tu yang dah lama bersawang tu. Tapi bersempena sambutan hari ulang tahun kelahiranku aku cuba gagahkan diriku untuk membukanya dan melihatnya melihatnya. Itupun dah terlewat satu hari.
Ramai juga rakan-rakan facebook (yang kebanyakannya memang aku kenal kerana mereka adalah saudara-maraku, wali-walakku, rakan sejawatku dan bekas budak-budak yang pernah berada di tempatku bekerja) mengambil kesempatan memberikan ucapan di situ. Aku hitung jumlahnya hampir 70 ucapan kesemuanya. Nak aku reply semua ucapan tersebut, rasanya tak terlarat. Maka aku pun mengambil kesempatan untuk menulis entri ini..
Terima kasih aku ucapkan kepada mereka yang masih ingat kepada aku dan tentang hari lahir aku yang memang semenjak kecil lagi tak pernah ada apa-apa sambutan istimewa yang berkaitan dengannya.
Cuma bila anak-anak dah besar dan telah mengerti tentang sambutan tersebut, pagi-pagi lagi telah mereka telah bertanya,
“Hari ini kan Hari Jadi abah, kita sekeluarga makan malam kat mana?” kata Angah selepas mengucapkan selamat hari lahir padaku.
Maka aku pun bawa mereka semua ke sesuatu tempat yang agak istimewa untuk kami semua makan malam bagi menggembirakan hati mereka semua.
Dalam satu perbualan tak langsung dengan rakan sejawatku yang bernama ‘Kak Ani’ atau Datin Ani ketika aku sedang memilih lauk untuk makan tengah hari ……
“Din hari ini baru berusia 2 hari,”’ kata Kak Ani.
“Muda sangatlah Kak Ani kalau 2 hari,” kata ku.
“Memang la muda lagi. Semalam baru lahirnya,” kata Kak Ani.
"Oh!! Baru lahir semalam ya! Happy belated birthday," sampuk yang lain-lain yang turut berada di situ.
“Kak Ani, Masa kecik-kecik dulu memang sukalah kalau ada orang yang mengucapkan Selamat Hari Jadi pada saya. Tapi sekarang saya tak seronoknya. Saya lebih banyak merasa takut. Kerana ia menggambarkan betapa saya sudah semakin tua dan jangka hayat saya semakin pendek,” kataku lagi.
Kak Ani mengiakan sahaja kata-kataku itu. Dah aku pun lantas terus berlalu mencari tempat duduk untuk mengisi perutku yang tengah rancak berkeroncong.
Inilah hikmat tentang adanya kesudian insan-insan tertentu mengucapkan Selamat Hari Lahir. Ucapan tersebut membawa kepada hasrat hatiku untuk memuhasabah diri.
“Aku sudah semakin tua, baki jangka hayatku sudah semakin singkat. Bagaimana dengan amalan ku? Adakah amalanku mencukupi? Adakah amalanku diterima? Apa yang perlu aku lakukan untuk membuat penambah-baikan terhadap amalanku sebagai bekalan di akhirat kelak …..,” itulah antara persoalan daripada pelbagai persoalan lain yang bermain-main dalam fikiranku dalam memuhasabah diriku tentang peranan dan fungsi ku sebagai hamba Allah di muka bumi ini.
Moga amalan aku hari ini lebih baik daripada hari semalam, dan amalan aku hari esok lebih baik daripada hari ini dan begitulah seterusnya.
Ya Allah, hidupkanlah aku dalam iman dan matikanlah aku dalam iman. Dan masukkanlah aku ke dalam syurgamu dengan iman.
Labels:
Masam Manis Payau
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan