Nuff Atas

06 Oktober 2011

Martabatkan Pendidikan Vokasional

Ringkasan INFO:

1. Transformasi Pendidikan Vokasional dilaksanakan mulai tahun 2013.
2. Pendidikan Asas Vokasional (PAV) akan diperkenalkan kepada pelajar peringkat Menengah Rendah.
3. Pelajar mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada tahap satu semasa berada di tingkatan dua dan SKM tahap dua semasa berada di tingkatan tiga.
4. Kolej Vokasional (KV) akan diikuti oleh pelajar lepasan tingkatan tiga selama empat tahun sehingga peringkat diploma iaitu SKM tahap empat.



APABILA transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan mulai tahun 2013 maka aliran ini tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua. Ketika ini umum beranggapan ia sebagai tempat pelajar yang tidak berminat belajar dalam aliran akademik. Pelajar aliran ini juga dikira kurang berpeluang untuk ke menara gading jika dibandingkan dengan sebahagian rakan-rakan mereka daripada aliran akademik yang akan memasuki kelas matrikulasi atau tingkatan enam selepas menamatkan peperiksaan SPM.

Pengumuman sistem baru pendidikan vokasional oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah melonjakkan kedudukan aliran tersebut dalam sistem pendidikan negara. Transformasi ini telah menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga.


Apa yang menarik pelajar mula didedahkan asas mata pelajaran vokasional dan boleh memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun iaitu semasa berada di tingkatan satu.

Sesungguhnya peluasan aliran vokasional dalam sistem pendidikan telah diamalkan di kebanyakan negara dan bilangan pelajarnya sangat ramai kerana ia dianggap selari dengan kemajuan teknologi dan tuntutan ekonomi sesebuah negara.

Transformasi pendidikan vokasional yang bermula pada tahun 2013 nanti memberi penekanan kepada amalan industri atau amali teknikal dan akan mengurangkan komposisi akademik. Apa yang menariknya Pendidikan Asas Vokasional (PAV) akan diperkenalkan kepada pelajar mulai tingkatan satu.

Mereka juga dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada tahap satu iaitu semasa berada di tingkatan dua dan SKM tahap dua semasa berada di tingkatan tiga. Sementara itu pelajar yang mengikuti aliran vokasional ini selepas tingkatan tiga akan diberi peluang mengikuti pendidikan selama empat tahun sehingga peringkat diploma iaitu SKM tahap empat.

Kurikulumnya merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk pensijilan yang diiktiraf oleh pihak industri.

Sudah sampai masanya diperkenalkan bidang bertahap tinggi seperti aviation, maritime, oil and gas, ICT, kejuruteraan, perakaunan, pengajian perniagaan dan lain-lain dalam aliran ini.

Dengan kata lain usaha memartabatkan pendidikan vokasional perlu dilaksanakan supaya berlaku perubahan landskap di mana aliran ini akan menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dan ibu bapa seperti kebiasaan amalan di negara-negara maju.

Ketika ini dalam sistem pendidikan kita hanya 10 peratus (%) daripada jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional. Bilangan ini dikira kecil jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea Selatan 28%, Thailand 41%, Indonesia 51%, Jerman 59%, Australia 62% dan Belanda 68%. Sementara itu di kalangan negara OECD yang berjumlah 44 negara puratanya ialah sebanyak 44%.

Seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri bilangan pelajar vokasional akan ditingkatkan kepada 20% pada tahun 2013. Jumlah ini boleh dicapai sekiranya pihak swasta diberi peluang dan dilibatkan sama bagi menyediakan kemudahan pendidikan tersebut.

Mengapakah perlu dilakukan transformasi pendidikan vokasional ini? Perubahan ini diperlukan tidak lain tidak bukan untuk menyediakan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan negara untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Dengan mengikuti bidang kemahiran dan teknikal serta didedahkan dengan latihan amali sejak dibangku sekolah akan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam pekerjaan. Pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini.

Dilaporkan juga hampir 80% daripada tenaga kerja yang memasuki pasaran pekerjaan adalah mereka yang hanya mempunyai kelulusan SPM. Kelayakan akademik tanpa kemahiran teknikal ini akan memberi kesan kepada kualiti pekerjaan dan pendapatan bulanan. Pendapatan permulaan sekitar RM600 hingga RM800 sebulan.

Sekiranya mereka mempunyai kelulusan diploma pendapatan permulaan boleh meningkat di antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan. Peningkatan pendapatan ini adalah selaras dengan Program Transformasi Kerajaan yang menyasarkan pendapatan tinggi di kalangan pekerja dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.

Memartabatkan aliran pendidikan ini juga ada kaitan dengan usaha membantu kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan. Peningkatan pertambahan penduduk dan jumlah pelajar yang meninggalkan bangku sekolah lebih daripada setengah juta orang setiap tahun menyukarkan pihak kerajaan dan swasta menyediakan pekerjaan.

Transformasi pendidikan vokasional ini sudah tentu akan menarik minat lebih ramai pelajar cemerlang memasuki aliran ini. Sekiranya pendidikan ini dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang baik dan pendapatan yang tinggi kepada pelajar maka sudah tentu ibu bapa turut menggalakkan anak-anak mereka mengambil peluang untuk mengikuti aliran ini.

Diharapkan dengan memartabatkan pendidikan vokasional ini akan mempercepatkan lagi usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang berkebolehan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi menjadikan Malaysia negara maju dalam tahun 2020.

PENULIS adalah bekas
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Sumber: Utusan 19/09/2011

Kurikulum Vokasional Ikut Spesifikasi Luar Negara

Kurikulum baru pendidikan vokasional yang akan dikuatkuasakan pada 2013 mempunyai spesifikasi dan standard yang diiktiraf oleh pelbagai agensi dalam dan luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, kurikulum itu bersifat modular, berasaskan kecekapan, mengutamakan aspek amali dan anjal.

Selain itu, jelasnya, kurikulum yang akan dikenali sebagai Kurikulum Kolej Vokasional (KKV) itu merangkumi elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, kemahiran insaniah dan kemahiran teknologi yang digabung jalin dengan keperluan industri serta badan profesional.

Menurut beliau, KKV adalah kurikulum pendidikan khusus untuk pelajar yang mengikuti pendidikan dan latihan vokasional peringkat menengah atas dalam persekitaran pembelajaran berorientasikan pekerjaan yang menekankan kepada keperluan industri sejajar dengan perkembangan pembangunan negara.

Katanya, ia dibangunkan berteraskan kecekapan yang dihurai dalam bentuk standard kandungan (content standards), standard pembelajaran (learning standards) dan kriteria pencapaian (performance criteria).

Menjelaskan lebih lanjut katanya, standard kandungan adalah pernyataan spesifik yang pelajar patut ketahui dan boleh lakukan dalam satu tempoh pengajian merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

"Standard pembelajaran pula satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Kriteria pencapaian pula adalah pernyataan yang mengkhususkan kepada perkara yang perlu ditaksir dan tahap pencapaian yang diperlukan," katanya.

Jelasnya, struktur KKV mengandungi dua komponen iaitu akademik dan vokasional dengan komponen akademik meliputi pengajian Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, bahasa-bahasa perniagaan antarabangsa seperti Mandarin dan Perancis, Sejarah Malaysia, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

"Penumpuan jam kredit komponen akademik pada tahap sijil adalah 30 peratus dan penumpuan jam kredit komponen akademik pada tahap diploma adalah 20 peratus. Jam kredit komponen vokasional memberikan penumpuan jam kredit 70 peratus pada tahap sijil dan 80 peratus pada tahap diploma.

"Konsep KKV juga memberi fokus kepada Production Based Education (PBE), Competency Based Education (CBE) dan On-Job Training (OJT) untuk membolehkan lulusan vokasional mendapat permintaan dalam pasaran kerja," katanya.

Malah, tegas beliau, penekanan juga diberikan kepada konsep School Enterprise (SE) untuk menyediakan pelajar menjadi usahawan sekiranya mereka ingin bekerja sendiri.

Beliau memberitahu, pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam KKV dijalankan mengikut sistem Semester Anjal yang membenarkan seseorang murid menamatkan pengajian Tahap 4 (Diploma Kolej Vokasional) dalam tempoh sama ada tiga tahun setengah atau empat tahun berasaskan saringan.

Menyentuh tentang peperiksaan katanya, Pentaksiran Berasaskan Standard Kompetensi Vokasional (PBSKV) adalah kaedah untuk mengukur pelbagai kecekapan sebagaimana yang ditetapkan oleh kurikulum itu.

Sumber: Utusan pada 10/09/2011

3 comments:

Niena Pengembara Ilahi berkata...

hmmm... masa zman sy skolah dlu, ada sorg sahabat ni mmg lemah dlm pelajjaran, tpi bab amali dia mmg terer,skang ni dh jadik kontraktor..sape tau

i am S!L4H.. berkata...

kemahiran itu penting.

heee

tnZackJ berkata...

kemahiran itu penting, terutama macam saya ni buruh kasar..