Nuff Atas

06 Oktober 2011

Out Station!! Isshhkkk... Macamana ni!!!



“Saya mintak awak hadir satu seminar menggantikan saya esok. PAR akan berikan surat jemputan tersebut nanti. Butiran seminar ada pada surat tersebut” kata Boss melalui satu panggilan interkom pada suatu petang.

Selepas beberapa ketika PAR yang dimaksudkan hadir bersama surat jemputan.

Aku baca butirannya. Serta merta fikiran aku berserabut. Lama jugak aku termenung sambil berfikir.

Awal pagi sangat pendaftarannya. 7.00 pagi. Program bermula 8.00 pagi. Bermakna aku kena sampai ke Kuantan selewat-lewatnya 7.50 pagi. Temerloh ke Kuantan mengambil masa dalam anggaran 2 jam dengan mengambil kira ‘traffic’ jam waktu pagi. Aku kena bertolak lebih kurang jam 5.15 pagi supaya dapat berhenti di mana-mana Masjid bersolat subuh. Kena bangun pagi jam 4.30 pagi. Supaya ada masa nak mengurus anak-nak ke sekolah dan ke rumah pengasuh.

Tapi pagi sangat tu. Pagar sekolah tak buka lagi jam 5.00 pagi. Kalau tinggalkan budak-budak tu di luar pagar sekolah sementara menunggu jam 7.30 pagi ..... Isshhhkkk...

Kalau nak mintak pengasuh anak aku tolong hantar, mana dia ada kenderaan. Sekolah anak aku tu sejauh 10 KM daripada rumah. Dia pulak kena jaga anak aku yang kecik-kecik. Tapi boleh juga suruh anak-anak aku agar ponteng sekolah sehari.

Tapi nak hantar anak-anak aku yang ramai tu ke rumah pengasuh awal-awal pagi sebelum ayam berkokok tu melampau sangat. Dah lah mengganggu waktu tidur dia. Pulak tu nanti pastinya terpaksa dia bersilat untuk menguruskan anak-anaknya ke sekolah, melayan anak aku yang kuat menangis pulak lagi. Isshhhkkk.... Sungguh kejam aku kalau begitu.

Seminar dijangka tamat pada pukul 5.00 petang. Bermakna paling awal aku sampai ke rumah adalah adalah jam 8.00 malam setelah mengambil kira waktu minum dan berehat serta waktu solat. Aku berlaku kejam lagi kerana membiarkan anak-anak aku berada di rumah pengasuh melebihi 12 jam. Pastinya yang bongsu akan menangis sehingga kering air mata. Manakala si pengasuh pula akan terus bersilat sehingga habis segala bunga-bunga dan buah-buah silat.

Atau mungkin lebih teruk lagi si pengasuh tersebut akan jatuh pengsan kerana tak cukup rehat. Manakala anak aku pengsan kelaparan kerana si pengasuh tidak sempat memasak akibat melayan terus-terusan bersilat melayan anak-anak aku.

Aku tekad pergi mengadap Boss untuk berbincang tentang hal ini.

”Saya bukan tak mahu pergi tanpa sebab. Tapi setelah saya berfikir dalam pelbagai aspek, saya mengambil keputusan untuk memohon agar tugas ini diserahkan kepada orang lain,” mukaddimah dari saya sebaik menemui Boss.

Lalu aku pun bercerita secara panjang lebar tentang isteri aku yang sedang bekerja ’out station’ juga di Kuantan selama beberapa hari bermula semalam, hari ini, esok dan lusa.

Boss menerima alasan aku. Dia minta aku urus sendiri penyelesaian masalah ini dengan menemui beberapa orang pegawai yang lain untuk mencari pengganti. Aku mulakan dengan menemui beberapa orang pegawai paling kanan yang paling sesuai menggantikan Boss.

”Saya tak boleh tinggalkan pejabat kerana saya ada banyak tugasan untuk dibuat. Lebih-lebih lagi saya terpaksa juga mengambil alih tugas 2 orang pegawai yang sedang berkursus dan cuti sakit,” alasan menolak daripada pegawai yang pertama kutemui.

Pada aku pegawai pertama ini paling layak. Dia tidak perlu memikirkan sesiapa yang akan ditinggalkan di rumahnya. Manakala tugas yang dikatakan olehnya tidaklah terlalu mendesak keperluannya.

”Saya memikirkan bahawa saya kena hadir ke satu kursus pada minggu hadapan. Hari tulat nanti saya ada pula majlis konvokesyen anak saya yang saya perlu juga hadir. Tentu saya akan merasa amat penat nanti,” kata pegawai yang kedua yang aku temui.

”Barangkali kita boleh minta Encik Badrol pergi," katanya sambil berfikir sejenak.

"Baiklah. Biar saya uruskan hal ini. Saya kan berjumpa dengannya untuk berbincang dan memujuknya,” sambungnya sambil menawarkan bantuan.

Saya lihat dari jauh pegawai tersebut berbincang dengan Encik Badrol. Lama juga saya lihat mereka berbincang. Bimbang juga kalau Encik Badrol menolak. Siapa pula yang akan dicarinya sebagai mangsa yang seterusnya.

Akhirnya….

“Terima kasih Encik Badrol kerana sedia untuk membantu saya,” kata ku sambil menghulurkan salam sebagai tanda berterima kasih.

Aku pun menarik nafas lega. Alhamdulillah....

Keesokan harinya...

"Kenapa Boss ada di pejabat sepanjang hari?" tanyaku di dalam hati

"Agaknya mesyuarat yang dikatakan olehnya semalam telah dibatalkan di saat-saat akhir,' jawabku di dalam hati tanpa prejudis. "Walau apapun yang berlaku, Boss sentiasa benar dan betul," hatiku terus berkata-kata.

Di hari lusanya...
"Kebanyakan yang hadir adalah Boss termasuk aku," Kata Encik Badrol.
"OK lah tu En Badrol, merasa lah kau jadi 'Boss'," hatiku yang agak nakal berkata-kata sinis.

1 comments:

Pen MErah berkata...

mesti x sanggup nak pegi. muahahahahaaaa