07 Oktober 2011
Steve Jobs Ikon Teknologi Era Baru
TANGGAL 5 Oktober menjadi tarikh kepada kelahiran sebuah lagi gajet terbaru kebanggaan Apple apabila telefon pintar iPhone 4S dilancarkan di ibu pejabat firma Apple, Amerika Syarikat (AS).
Namun, ironinya tarikh itu akan diingati bukan sahaja oleh warga Apple bahkan seantereo dunia, apabila ia adalah hari terakhir buat pengasas syarikat gergasi itu Steve Jobs. Lelaki berusia 56 tahun itu yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, menghembus nafas terakhir ekoran sakit kanser pankreas yang dihadapinya. Jobs yang menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga tercinta mengalami masalah kesihatan yang semakin merosot sejak bulan Februari tahun ini.
Dia bukan saja mengalami keguguran rambut yang melampau kesan daripada rawatan kemoterapi malah, berat badannya dikatakan merosot dari 79.37 kilogram (kg) kepada 59kg. Sebelum ini, Jobs juga pernah menjalani pembedahan hati pada dua tahun lalu selain membuang tumor pada tahun 2003.
“Dunia telah kehilangan insan yang sarat dengan visi dan kreativiti,” luah Presiden AS, Barack Obama dalam kenyataan penghormatan buat mendiang Jobs.
Impian menjadi sami
RANGKAIAN kedai Apple Inc. di seluruh dunia dipenuhi foto dan jambangan bunga daripada orang ramai sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Jobs.
Jobs yang dilahirkan di San Francisco, AS, merupakan anak kepada pasangan Joanne Simpson dan Abdulfattah John Jandali berketurunan Arab Syria. Bagaimanapun dia tidak membesar bersama ibu bapa kandungnya, sebaliknya dibesarkan oleh keluarga angkat, Paul dan Clara Jobs di Silicon Valley, AS. Ia sebuah kawasan yang dikelilingi ladang aprikot.
Pencinta seluar jean jenama Levi’s itu pernah menuntut di Sekolah Menengah Cupertino di California, AS dan bersekolah di Sekolah Tinggi Homestead H.S di bandar yang sama. Kemudian, Jobs melanjutkan pengajian di Reed College, Portland, Oregon.
Namun, tempoh pengajiannya di kolej seni liberal berkenaan bertahan selama satu semester sahaja kerana Jobs mengambil keputusan mengembara ke India bagi mendalami ilmu agama Zen Buddhism bersama rakannya, Daniel Kottke.
Pada waktu itu, usia Jobs baru saja mencecah 19 tahun. Dalam memastikan proses kerohanian itu berjalan dengan sempurna, Jobs sanggup mengikuti amalan ritual keagamaan tersebut seperti mempraktikkan diet ketat dengan berpuasa dan menikmati makan buah saja.
“Secara tidak langsung, minat mendalam terhadap agama ini telah mendorong saya untuk menjadi sami di biara Jepun berbanding melibatkan diri dalam dunia komputer.
“Tetapi, guru saya, Kobun Chino telah menyedarkan saya bahawa anutan ini masih boleh diteruskan walaupun pada masa yang sama saya mengusahakan bisnes komputer,” jelas Jobs yang kembali ke Silicon Valley pada tahun 1974 dengan membawa agama Buddha.
Penglibatan dunia komputer
JOBS (kiri) dan Wozniak (kanan) sewaktu memperkenalkan salah satu produk ciptaan mereka pada tahun 1984.
Menyusuri penglibatan Jobs dalam dunia komputer dan gajet, segala-galanya berpunca selepas perkenalannya bersama Stephen Wozniak atau Woz yang pintar dalam hal berkaitan komputer dan elektronik.
Persahabatan yang terjalin itu telah membawa Jobs menyertai Kelab Homebrew Computer pada tahun 1975 bersama Woz. Sepanjang melibatkan diri dalam kelab berkenaan, Jobs mendapati industri komputer mempunyai potensi terbaik untuk jangka masa panjang. Hasil perbincangan yang dilakukan maka mereka berdua sepakat melancarkan syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976.
“Nama Apple cukup ringkas dan simbolik. Ia sentiasa mengingatkan saya pada memori memetik buah epal pada musim panas,” jelas Jobs yang memperoleh modal perniagaan sebanyak AS$1,300 (RM3,963) iaitu hasil daripada menjual microbus iaitu salah satu komponen komputer, manakala Woz menjual kalkulator.
Walaupun berpejabat di dalam sebuah garaj dan fasa permulaan hanya menjual papan sirkit iaitu papan memegang salah satu komponen dalaman komputer, tetapi bisnes mereka berkembang baik selepas menjual komputer pertama Apple I yang bernilai AS$666 (RM2,026).
Kemudian, diikuti pula dengan komputer Apple II dan rangkaian produk yang lain sehingga Apple Inc., mula menjual saham syarikat sekitar Disember tahun 1980. Namun, jodoh Jobs bersama Apple Inc. tidak bertahan lama.
JOBS (kanan) bersama Stephen Wozniak membuka syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976.
Gara-gara tidak berpuas hati dengan lembaga pengarah, akhirnya dia mengambil keputusan meninggalkan Apple Inc., lantas membuka syarikat sendiri, NeXT pada tahun 1986.
“Firma NeXT lebih fokus pada pembangunan perisian untuk komputer. Kami turut memainkan peranan utama pada pembentukan e-mel dan jaringan sejagat (WWW),” ulas Jobs yang kemudian dilantik semula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Inc., selepas syarikat tersebut membeli NeXT yang hanya beroperasi selama sedekad.
Sebahagian besar pakar IT dan penganalisis ekonomi di serata negara menyifatkan jenama Apple Inc., terus kukuh sehingga kini meskipun hampir bankrap pada tahun 1990, disebabkan kebijaksanaan dan etika kerja yang dipamerkan Jobs.
Perkara itu diakui oleh pakar teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan Ketua Pegawai Eksekutif Dapat Vista Sdn. Bhd., Azli Paat, yang menyatakan bapa kepada empat cahaya mata itu seorang yang berdisiplin, kreatif dan berwawasan tinggi.
Jelas Azli, Jobs bijak mencipta telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad, yang ideal dengan perkembangan teknologi serta trend semasa.
Fenomena iPhone
JOBS merupakan tonggak utama kejayaan Apple Inc. dengan menghasilkan telefon pintar dan gajet berteknologi canggih.
Buktinya, kemunculan telefon pintar iPhone pada empat tahun lalu telah mencipta fenomena luar biasa di seluruh dunia. Bermula daripada pengeluaran iPhone, iPhone 3G, iPhone 3GS sehingga iPhone 4, permintaan dan pembelian terhadap telefon itu amat menggalakkan sehingga mengatasi jualan produk telefon lain.
“Walaupun bukan mudah untuk mencipta telefon pintar ini tetapi, Apple sentiasa berusaha melakukan yang terbaik. Prinsip utama sebelum mencipta produk saya elak bertanyakan kehendak pengguna sebaliknya, lebih cenderung menghasilkan sesuatu bermanfaat untuk masa depan,” terang Jobs dalam satu temu bual.
Populariti penjualan iPhone dan iPad sekali gus menyenaraikan Apple Inc., sebagai syarikat kedua di dunia yang mencecah nilai melebihi AS$300 bilion (RM912 bilion).
Malah, penganalisis Goldman Sachs, David Bailey, memberitahu setiap tahun penjualan iPhone khususnya memperlihatkan peningkatan yang drastik.
Biarpun telah meletakkan jawatan CEO Apple, pada bulan Ogos lalu tetapi, Jobs masih kekal sebagai pengerusi di syarikat berkenaan.
Ini disebabkan khidmat nasihat dan idea kreatif Jobs tetap diperlukan bagi memastikan keluaran produk terbaharu Apple, berkualiti dan terbaik.
Namun, kelmarin bukan sahaja Apple malah, seluruh dunia merasai kehilangan seorang genius yang juga dianggap ikon teknologi era baru.
Sumber: Kosmo.
Legenda Apple.
Kematian Steve Jobs ditangisi oleh peminat gajet di seluruh dunia.
Dianggap pencetus revolusi budaya moden menerusi ciptaannya seperti iPod, iPhone dan iPad, kematian Jobs berlaku ketika Apple Inc. berada di kemuncak kegemilangannya sebagai pengeluar gajet telekomunikasi terbesar di dunia.
"Kami semua sedih mengumumkan bahawa Steve Jobs meninggal dunia semalam," kata pembuat gajet yang berpangkalan di California dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli lembaga pengarah Apple.
Tambah mereka, Apple kehilangan seorang pemimpin yang berwawasan dan genius, manakala dunia pula kehilangan seorang manusia yang menakjubkan.
"Steve meninggalkan sebuah syarikat yang hanya dia boleh membinanya. Semangatnya akan terus wujud sebagai asas kepada Apple," kata pengendali Apple sejak Jobs bercuti sakit sejak Januari lalu, Tim Cook.
Cook dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sejak Ogos lalu. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh keluarga Jobs, beliau meninggal dunia dalam keadaan aman sambil dikelilingi ahli keluarganya.
Apple memberi penghormatan kepada legenda Lembah Silikon itu dengan memaparkan gambar hitam putihnya yang berjambang dan memakai cermin mata bulat serta baju berkolar di home pagenya bersama tulisan 'Steve Jobs - 1955-2011'.
Apabila pengunjung mengklik pada gambar tersebut, mereka akan dibawa kepada mesej yang ditulis Cook sebagai peringatan kepada Jobs.
Peminat Apple juga dijemput berkongsi memori, ingatan dan salam takziah mereka dengan menghantar pesanan kepada remeberingsteve@apple.com.
Legenda gajet itu dilahirkan pada 24 Februari 1955 di San Franciso oleh seorang ibu tunggal dan diambil sebagai anak angkat oleh satu pasangan di Mountain View ketika baru berusia beberapa hari.
Beliau berusia 21 tahun apabila mencipta Apple Computer bersama Steve Wozniak, 26, di garaj keluarganya pada tahun 1976.
Di bawah Steve, syarikat tersebut memperkenalkan komputer Apple pertama dan kemudiannya Macintosh yang menjadi popular pada tahun 1980-an.
Jobs meninggalkan Apple pada 1985 selepas berlakunya perebutan kuasa. Jobs kemudian memulakan syarikat NeXT Computer yang mengkhusus dalam perisian stesen kerja yang canggih untuk perniagaan.
Sejak itu, kegemilangan Apple pudar. Namun ia kembali pulih pada tahun 1996 apabila Apple membeli NeXT Computer pada harga $429 juta (RM1.2 bilion).
Apple semakin kukuh apabila Jobs merombak strategi Macintosh, merevolusi budaya moden dan melancarkan pasca era komputer peribadi yang memberi laluan kepada alat mudah alih pintar seperti iPod, iPhone dan iPad.
Jobs meninggalkan seorang balu, Laurene dan tiga orang anak.
Susunan IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
Sumber: Kosmo.
Labels:
Luar Negara,
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan