04 November 2011

Bebola Kristal Masih Dijual Walau Diharamkan

Bebola Kristal telah diharamkan penggunaannya dan penjualannya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkuatkuasa bulan Ogos 2011 (Klik Sini). Pengharaman ini berikutan bahan ini dikenalpasti merbahaya kepada kanak-kanak.

Bagaimanapun semalam akhbar Kosmo melapurkan seorang kanak-kanak terpaksa menjalani pembedahan apabila didapati telah tertelan bebola kristal ini (Klik Sini). Ini menunjukkan bahawa bahan ini masih lagi bebas dijual di pasaran.



Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang berjaya menghidu taktik terbaharu sesetengah syarikat yang cuba menghabiskan stok bebola kristal atau hidrogel dengan memasukkannya bersama ke dalam produk makanan ringan kanak-kanak.

Pengarahnya, Mohd. A. Aruwan berkata, bebola kristal itu dimasukkan bersama ke dalam salah satu produk makanan yang disukai kanak-kanak sebagai barang permainan.


MOHD. A. ARUWAN (kiri) menunjukkan bungkusan mainan kanak-kanak yang menggunakan bebola kristal.

Beliau menyatakan pihaknya kini sedang melakukan siasatan lanjut ke atas produk tersebut dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Perintah Perlindungan Pengguna (Larangan Terhadap Barang Tidak Selamat) 2011 jika didapati bersalah.

“Syarikat yang bersalah boleh didenda tidak lebih RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kali kedua.

“Manakala bagi kesalahan individu, denda tidak lebih RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama. Sementara kesalahan kali kedua, individu boleh didenda RM250,000 atau enam tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

[Dalam pada itu .....

Sejumlah 255,000 paket kristal jeli bernilai RM76,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Gombak dari sebuah premis pengimport serta pemborong di Selayang Baru pagi Jumaat 4 November 2011.

Rampasan ini dilakukan selepas KPDNKK mengeluarkan perintah larangan pembekalan dan penjualan barangan ini 25 Ogos lepas. Seperti yang kita sedia maklum, kristal jeli merupakan barangan tidak selamat kepada kanak-kanak.

Keputusan melarang penjualan kristal jeli dibuat selepas menerima aduan daripada Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia berhubung beberapa kes pembedahan besar melibatkan kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun, dipercayai akibat tertelan bahan itu. (Bernama)]

Sumber: Kosmo
Baca Juga Entri Seven Colour Crystal Ball Haram

Sebelum ini Kosmo melaporkan berita tentang seorang kanak-kanak telah tertelan Kristal Ball ini kerana menyangkakannya sejenis gula-gula ...

Bebola kristal disangka gula-gula


KEADAAN Ifti Ilya Farhana selepas menjalani pembedahan membuang bebola kristal dalam ususnya di HTAA Kuantan.

Seorang kanak-kanak perempuan menanggung kesakitan terpaksa dibedah kelmarin selepas menelan beberapa butir objek yang disangkanya gula-gula di hadapan rumahnya di Perkampungan Sri Mahkota Jaya, Kuantan pada 26 Oktober 2011.

Ifti Ilya Farhana Mohd. Khairuddin yang berusia setahun tujuh bulan tidak menyangka gula-gula itu sebenarnya bebola gel atau hidrogel, sejenis baja tanaman hiasan yang boleh membesar sehingga beratus kali saiz asalnya jika direndam di dalam air.

Ibunya, Siti Aisyah Yusof, 27, berkata, anak sulungnya itu dipercayai mendapat bebola tersebut daripada rakannya.

"Semasa dia masuk ke dalam rumah, saya lihat dia memasukkan beberapa butir manik sebesar kacang hijau ke dalam mulutnya," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Siti Aisyah yang merupakan seorang guru memberitahu, empat hari selepas itu anaknya tiba-tiba muntah lalu terkeluar sebutir gel sebesar guli.

Bimbang keselamatan anaknya, dia mengejarkan anaknya itu ke HTAA pada pagi Ahad 30 Oktober 2011.

Bapa mangsa, Mohd. Khairuddin Harun, 29, pula berkata, pada peringkat awal, doktor tidak dapat mengesan sebarang objek selepas melakukan ujian sinaran X (X-ray).

"Anak saya berterusan muntah, suhu badan pula naik mendadak sehingga 45 darjah Celsius dan pemeriksaan lanjut akhirnya berjaya mengesan ada objek di dalam usus kecilnya," katanya.

Sumber: Kosmo

5 comments:

ch000tz berkata...

bahayalah mende ni if tertelan ke apa ke

Tanpa Nama berkata...

haih, sian budak kecik tu..da la bende tu jenis boleh membesar..haish..

Lily RIna berkata...

Eh, bru tau dh diharamkan. Tp dulu2 suka main dgn bnde alah tu

Tanpa Nama berkata...

baru tau diharamkan..
:)

~Beb~ berkata...

Ha ah.. Bru tahu diharamkan.. Tp mmg bhya sgt sgt sgt