12 November 2011

Golongan Kafir Hanya Menikmati Kekufuran



ALLAH SWT menakutkan orang kafir dengan kengerian hari kiamat dan keperkasaan yang dimiliki-Nya. Oleh itu Allah SWT berfirman kepada rasul-Nya: Biarkanlah aku sendiri yang berhadapan dengan orang yang mendustakan al-Quran kerana Aku Maha Mengetahui apa yang sepatutnya Aku lakukan terhadap mereka. Janganlah kamu menyibukkan hatimu dengan mereka. Bertakwalah kepada-Ku dalam membenci mereka.

Sesungguhnya Aku akan mendekatkan mereka kepada seksa secara berperingkat. Seterusnya Aku akan menjatuhkan mereka ke dalam seksaan dengan mencipta segala kesihatan dan keselamatan yang Aku kurniakan kepada mereka. Akhirnya akan bertambah lagi kederhakaan tanpa mereka sedari.

Setiap kali mereka memperbaharui kederhakaan, Aku pun memperbaharui nikmat kepada mereka pula dan Aku pun melupakan mereka untuk mensyukurinya.


Satu lagi firman Allah SWT: Maka serahkanlah (Ya Muhammad) kepada-Ku (urusan) orang-orang yang mendustakan perkataan ini (al-Quran). Nanti kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dari arah yang tidak mereka ketahui. Dan Aku memberi tangguh kepada mereka. Sesungguhnya rencana-Ku amat tangguh. (al-Qalam: 44-45)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan ancaman keras Allah yang pasti membalas dan menghukum mereka yang mendustakan al-Quran. Di mana balasan Allah terhadap mereka tanpa disedari dan diketahui.

Sebaliknya sangkaan mereka sebagai kemuliaan daripada Allah untuk mereka tetapi sebenarnya kehinaan dan hukuman kepada mereka.

Syed Qutub berkata: "Kedudukan para pendusta dan seluruh penghuni bumi terlalu mudah dan kecil serta tidak padan dengan Allah mengaturkan rancangan ini untuk menghadapi mereka, tetapi Allah menakutkan mereka dengan kekuatan diri-Nya supaya mereka sedar sebelum terluput waktu.

"Mereka hendaklah tahu keamanan yang lahir diberikan Allah kepada mereka hanya sebagai perangkap yang akan mengenakan mereka. Penangguhan balasan terhadap kezaliman, pencerobohan, keengganan beriman dan kesesatan mereka merupakan istidraj atau dorongan halus yang akan membawa mereka kepada akibat yang paling buruk."

Itulah tadbir Allah supaya mereka memikul dosa mereka sepenuhnya dan datang ke Padang Mahsyar sarat dengan penghinaan, penderitaan dan penyeksaan.

Tidak ada keadilan dan rahmat yang lebih besar dari peringatan yang diberikan Allah dan dari kemurahan-Nya mendedahkan bahaya di sebalik istidraj dan tadbir-Nya.

Allah SWT menunjukkan keadilan dan rahmat-Nya kepada musuh-musuh agama-Nya dan Rasul-Nya dengan lebih dahulu memberi peringatan dan amaran.

Setelah itu terserahlah kepada mereka memilih jalan sendiri kerana tadbir rahsia telah pun disingkap kepada mereka dan segala sesuatu telah dijelaskan.

Allah SWT memberi tempoh tetapi tidak membiar. Allah memberi tangguhan azab kepada orang kafir yang zalim tetapi Allah mengenakan azab ke atasnya, maka ia tidak akan dapat terlepas darinya.

Dalam ayat ini, Allah menjelaskan cara dan undang-undang-Nya yang telah diatur mengikut kehendak-Nya.

Allah SWT berfirman kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: Tinggalkan sahaja kepada-Ku orang yang mendustakan al-Quran ini. Biarkan sahaja kepada-Ku orang yang angkuh dengan harta kekayaan, anak yang ramai, pangkat dan kekuasaan itu. Aku akan memberi tempoh kepada mereka dan aku jadikan nikmat kesenangan dan kemewahan sebagai perangkap kepada mereka.

Dengan penjelasan ini, Allah mententeramkan Rasul-Nya dan mengingatkan musuhnya, kemudian Dia membiarkan mereka menghadapi ancaman-Nya yang ngeri itu.

Firman Allah SWT: Apakah kamu meminta upah kepada mereka, lalu mereka diberati dengan hutang? Ataukah ada pada mereka ilmu tentang yang ghaib lalu mereka menulis (padanya apa yang mereka tetapkan)? (al-Qalam: 46-47).

Ibn Kathir berkata: "Hai Muhammad, kamu menyeru orang kafir kepada Allah tanpa upah yang kamu ambil daripada mereka. Sebaliknya kamu hanya mengharapkan pahala di sisi Allah. Walaupun begitu, mereka masih mendustai kamu dengan keingkaran dengan kejahilan."

Firman Allah SWT: Maka Bersabarlah kamu (hai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika ia berdoa sedang ia dalam keadaan marah (kepada kaumnya). (al-Qalam: 48)

Sebuah hadis diriwayatkan bahawa Nabi SAW mahu berdoa untuk membinasakan Bani Thaqif ketika mereka mengganggu waktu Baginda ditolak oleh kabilah-kabilah di Mekah. Kemudian turunlah firman Allah SWT supaya baginda tidak bersikap seperti Nabi Yunus yang keluar dalam keadaan marah terhadap kaumnya. Kemudian Nabi Yunus menaiki kapal lalu ditelan ikan serta terdampar dalam perut ikan di lautan.

Kemudian, baginda berdoa kepada Tuhannya di dalam kegelapan perut ikan, sedangkan ketika itu baginda amat marah kepada kaumnya kerana mereka tidak mahu beriman walaupun seruan iman itu telah disampaikan.

Firman Allah SWT: Kalau sekiranya ia tidak segera mendapat nikmat dari Tuhannya, benar-benar ia dicampakkan ke tanah tandus dalam keadaan tercela. Lalu Tuhannya memilihnya dan menjadikannya termasuk orang-orang yang soleh. (al-Qalam: 49-50)

Syed Qutub berkata: Inilah pengalaman yang telah dilalui Nabi Yunus AS yang telah ditelan oleh seekor ikan yang besar itu. Allah mengingatkan Rasulullah SAW dengan pengalaman ini dalam masa beliau sedang menghadapi kedegilan dan pendustaan kaumnya.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sumber: Utusan

0 comments: