11 November 2011
Pengubatan Daripada Perspektif Islam
KEBELAKANGAN ini pusat-pusat rawatan pengubatan Islam semakin bertambah bilangannya seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Kebanyakannya mendakwa mereka mengamalkan rawatan yang selari dengan syarak serta berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
Namun, ada sebilangannya menggunakan topeng agama dengan alasan merawat secara Islam tetapi sebenarnya bermotifkan keuntungan.
Tindakan mengaut keuntungan atas kesusahan orang lain adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa besar.
Kesempatan diambil apabila pesakit-pesakit yang buntu dengan rawatan moden beralih kepada rawatan atau pengubatan secara Islam.
Kadar bayaran rawatan yang kadangkala tidak munasabah kepada para pesakit selain mereka dijanjikan akan sembuh.
Namun setelah ribuan ringgit dibelanjakan, penyakit yang dihadapi masih tidak sembuh. Bahkan lebih teruk lagi, pesakit seolah-olah bersubahat melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak.
Justeru, sedikit kajian ringkas harus dilakukan kepada institusi-institusi pengubatan Islam sebelum berkunjung untuk mendapatkan rawatan pengubatan Islam.
Latarbelakang penubuhan pusat rawatan, sumber rujukan serta bacaan yang digunakan, kaedah rawatan yang digunapakai serta teknik rawatan seperti ubatan yang bakal digunakan boleh dijadikan kriteria dalam menentukan sama ada ia benar-benar berlandaskan syariat ataupun tidak.
Jika latarbelakang penubuhannya tidak jelas, rujukan dan bacaan yang tidak bersumberkan al-Quran dan al-hadis, menggunakan bahasa yang tidak difahami, kaedah rawatannya meragukan serta menggunakan medium yang dilarang dalam syariat Islam, maka haram bagi umat Islam mendapatkan rawatan pihak berkenaan.
Antara pusat pengubatan Islam yang boleh dijadikan contoh adalah Darussyifa' yang diasaskan oleh pengamal perubatan Islam iaitu Datuk Dr. Haron Din sejak tahun 1980-an.
Rawatannya menggunakan kaedah bersumberkan al-Quran dan al-hadis, bacaan yang jelas maknanya serta kaedah yang selari dengan syariat Islam.
Pendekatan dan kaedah rawatan perubatan Islam yang digunakan di sini boleh dijadikan kayu ukur dan contoh dalam memilih pusat-pusat rawatan pengubatan Islam.
Ia menjadi pelopor kepada usaha menghidupkan kembali rawatan Islam yang semakin dilupakan ataupun bercampur aduk dengan amalan-amalan khurafat.
Ilmu pengubatan Islam adalah salah satu ikhtiar dalam menyembuhkan penyakit menggunakan cara yang khusus berpandukan kepada al-Quran, al-sunnah serta ijtihad al-Salafussoleh iaitu ulama-ulama muktabar yang terdahulu.
Prinsip asas dalam pengubatan Islam adalah meletakan sepenuhnya kuasa penyembuhan terhadap sesuatu penyakit hanya kepada Allah SWT.
Keyakinan yang disandarkan kepada kuasa Allah yang Maha Menyembuhkan tersebut disusuli dengan ikhtiar hasil kombinasi beberapa kaedah perawatan seperti menggunakan air, tumbuhan herba serta bahan-bahan halal lagi baik yang dibenarkan oleh syarak.
Konsep pengubatan Islam sebenarnya amat luas dan boleh diaplikasikan kepada semua jenis penyakit sama ada penyakit yang bersifat jasmani mahupun rohani.
Namun, masyarakat awam lebih cenderung menggunakan kaedah pengubatan Islam jika menghadapi masalah berkaitan alam ghaib seperti gangguan makhluk halus, disampuk jin, santau dan pelbagai lagi istilah yang digunakan bagi merujuk kepada penyakit rohani.
Al-Quran dan al-hadis adalah rujukan utama dalam mendapatkan panduan pengubatan Islam. Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran bahawa ayat-ayat al-Quran itu sendiri mengandungi kuasa penyembuhan dengan izin Allah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud : Dan Kami turunkan dari al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman. (al-Israk: 82)
Ayat di atas menjadi petunjuk kepada keberkesanan al-Quran sebagai antara faktor kepada penyembuhan. Malahan Allah SWT sendiri menyuruh manusia supaya berdoa memohon kepada-Nya sekiranya ditimpa sakit.
Firman-Nya yang bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan doa permohonan kamu. (al-Mukmin: 60)
Seterusnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku. (al-Syu'ara': 80)
Oleh MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB
Sumber: Utusan
Labels:
Indahnya Islam,
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan