21 November 2011

Istana Negara, Lambang Kedaulatan Negara



SETIAP kali memandang kompleks Istana Negara baharu yang tersergam indah di kawasan bukit berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur, seorang lelaki tersenyum bangga.

Senyuman itu besar kepuasannya. Bagi Pengarah Projek Istana Negara, Md. Nizam Md. Sheriff, walaupun masih baru dalam dunia pembinaan, dia berjaya membuktikan kemampuan menyiapkan projek bernilai dianggarkan hampir RM800 juta itu mengikut tempoh masa yang ditetapkan.


Hasilnya cukup menakjubkan. Anak tempatan itu berjaya berdiri sebaris kontraktor terkenal dunia dengan mengubah landskap asal hutan berbukit kawasan seluas 39.52 hektar menjadi sebuah kompleks yang mengangkat mercu dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan negara ini.

Bukan mudah


KEDUDUKANNYA di kawasan bukit berhampiran Jalan Duta menyerlahkan imej Istana Negara sebagai simbol kedaulatan negara.

“Apa yang pasti, ia kelihatan luar biasa dan istimewa berbanding bangunan-bangunan lain, sesuai dengan kedudukannya sebagai tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang menjadi lambang kedaulatan sistem beraja di negara ini,” jelas Md. Nizam.

Menurut Md. Nizam, kerja-kerja pembinaan dimulakan pada pada tahun 2008.

“Berdasarkan kajian tanah, secara kebetulan tapak kompleks ini mempunyai banyak batuan keras semula jadi yang saiz dan beratnya dianggarkan mencecah jutaan tan metrik.

“Disebabkan itu, kami terpaksa bekerja siang dan malam memindahkan dan meletupkan batuan mengikut tempoh yang ditetapkan.


MD. NIZAM (kanan) bersama Pengurus Projek Istana Negara, Abdul Razak Md. Yunus menunjukkan model Istana Negara baharu yang telah siap sepenuhnya September 2011 yang lalu.

Jelas Md. Nizam, fasa seterusnya merangkumi pemasangan cerucuk, struktur, binaan, reka bentuk bangunan dan kemasan hiasan dalaman.

Sepanjang tempoh itu, jelasnya, tapak projek itu sering dikunjungi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diberi tanggungjawab oleh Majlis Raja-Raja untuk memantau projek berkenaan.

“Baginda sanggup mengetepikan protokol untuk melawat tapak projek dan banyak memberi idea daripada mula sehingga akhir perlaksanaannya,” katanya.

Dedikasi selama tiga tahun lapan bulan itu membuahkan hasil apabila kompleks itu siap sepenuhnya pada September lalu dan bakal digunakan dalam upacara rasmi pertamanya Disember nanti.

Arkitek berkaliber

Direka oleh arkitek terkenal, Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. yang pernah terlibat dalam reka bentuk Dataran Putra, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta Istana Darul Ehsan sebelum ini, Istana Negara direka dengan gabungan seni bina tradisional Melayu, Islam dan Eropah.

Ia dibahagikan kepada beberapa ruang utama seperti Lobi Utama, Sayap Formal, Sayap Diraja, Sayap Pentadbiran dan Sayap Fasiliti Sokongan.

Komponen Sayap Formal menempatkan balai rong seri, bilik-bilik menunggu sebelum upacara menghadap, dewan bankuet, bilik mesyuarat Majlis Raja-Raja dan bilik penyerahan watikah pelantikan duta-duta.

Sayap Diraja pula menempatkan bilik peraduan, persiraman, rehat dan santapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta kerabat baginda, selain bilik tetamu diraja.

Seni halus


ISTANA Negara baharu di Jalan Duta mempunyai lokasi yang lebih luas dan dikelilingi kehijauan hutan semula jadi di sekelilingnya.

Md. Nizam memberitahu, setiap bilik dan dewan memaparkan ukiran, lukisan abstrak dan corak bercirikan tradisional Melayu dan Islam.

“Antaranya, penggunaan tulisan khat dan ukiran ayat-ayat suci al-Quran bagi menghiasi ruang singgahsana dan bahagian mihrab surau.

“Proses seni halus ini dilakukan dengan teliti menggunakan tangan melibatkan beberapa pengukir dan penulis khat terkenal di negara ini khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan,” ujarnya.

Pembinaan istana itu juga melibatkan penggunaan teknologi moden dan terkini seperti bilik kawalan berkomputer untuk mengawal sistem elektrikal dan mekanikal.

Bahagian bumbung misalnya, dilapisi lapisan konkrit untuk mengelak berlakunya sebarang kebocoran di samping penggunaan keluli tahan karat dan antikulat seperti Clean Colorbond untuk memastikan ketahanannya

Antara kemudahan yang turut disediakan di kompleks ini ialah lif, eskalator, tapak pendaratan helikopter, rumah kediaman kakitangan istana dan polis dan tempat meletak kenderaan bawah tanah.

Elemen kehijauan turut ditekankan dengan melalui hiasan landskap di hadapan istana di samping pengekalan hutan-hutan semula jadi di sekelilingnya memberikan suasana redup di samping bertindak sebagai zon penampan bagi tujuan keselamatan.

“Kompleks ini amat istimewa kerana selepas 54 tahun merdeka, inilah kali pertama kerajaan mendirikan Istana Negara bersandarkan kreativiti dan kepakaran anak-anak tempatan.

“Peluang ini mungkin hanya muncul sekali seumur hidup. Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarahnya,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Sumber: Kosmo

2 comments:

Anak Wak Mail berkata...

istana lama pon cantik je lagi kan..tp yang ni lagi cantik..;)

ch000tz berkata...

dah nama pun istana kan mesti lah canteeeek :D