17 November 2011

Pneumonia Pembunuh Tidak Terjangka



Pneumonia meragut satu nyawa si kecil setiap 20 saat ....

SABAN tahun, serangan radang paru-paru atau pneumonia membunuh kira-kira 1.4 juta penduduk dunia terutama kalangan kanak-kanak yang turut menjadi penghidap utama penyakit itu.

Angka berkenaan menunjukkan kehilangan nyawa akibat pneumonia adalah melebihi kematian yang disebabkan penyakit berbahaya lain seperti AIDS, malaria dan tuberkulosis atau tibi.

Di Malaysia, statistik Kementerian Kesihatan membuktikan, pneumonia berada pada kedudukan kelima penyakit pembunuh tertinggi kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

SATU angka yang besar dan memang menakutkan, menjadikannya sebagai pembunuh nombor satu di dunia, bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun, sekali gus melebihi kematian disebabkan AIDS, malaria dan batuk kering (TB).


Pneumonia adalah penyakit yang disebabkan jangkitan virus, kuman atau bakteria ke bahagian paru-paru seseorang dan biasanya, ia banyak dihidapi golongan kanak-kanak dan tua.

Awalnya, selepas dijangkiti virus, kuman atau bakteria, seseorang akan mengalami simptom-simptom pneumonia seperti batuk serta selsema sebelum ia merebak ke dalam sistem pernafasan dan menyerang paru-paru.

Ramai menyangka ia adalah penyakit biasa seperti selsema dan boleh dirawat dengan ubat batuk serta demam yang dibeli di farmasi. Apabila keadaan tidak bertambah baik, baru mereka mendapatkan rawatan daripada doktor.

Ahli Pengasas Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP) yang juga Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata secara umumnya empat daripada lima ibu bapa atau penjaga tidak mengetahui tanda bahaya penyakit pneumonia atau juga dikenali sebagai radang paru-paru.

Kanak-kanak menghidap pneumonia selalunya dikesan pada peringkat yang sudah parah. Gejala dan tanda pneumonia boleh berbeza dan ini banyak dipengaruhi oleh kuman yang menjangkiti. Ditambah lagi dengan keadaan si kecil itu sendiri, sama ada mempunyai latar penyakit seperti AIDS/HIV, penyakit jantung dan asma.

“Pneumonia sering bermula dengan demam, batuk dan selsema yang dianggap ‘biasa’ sama ada oleh ibu bapa, penjaga dan juga doktor yang tidak menganggapnya sebagai suatu serius. Tanda yang mungkin nampak serius dan menjadi amaran kepada ibu bapa, penjaga dan juga doktor bahawa ia adalah pneumonia, apabila kadar pernafasan si anak laju atau dadanya berombak.

Tanda yang menunjukkan ia bertambah teruk apabila diikuti demam tinggi menggigil, peluh berlebihan, sakit dada bila bernafas, lemah serta letih,” katanya. Sayangnya, data menunjukkan empat daripada lima kanak-kanak yang menghidap penyakit pneumonia tidak mendapat rawatan sewajarnya, iaitu tidak diberikan antibiotik.

Berkongsi pengalaman, Dr Musa berkata, beliau pernah berhadapan kes seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghidapi batuk selama tiga minggu diikuti demam suhu tinggi selama enam hari. Malangnya pengambilan antiobiotik tidak mampu mengatasi masalah itu. Apabila dirujuk kepada doktor dan melalui imbasan, pneumonia di kesan di keseluruhan paru-paru sebelah kanan.

“Cecair dan beberapa bahagian paru-paru sudah rosak dan menerusi ujian, cecair diambil daripada paru-paru kanak-kanak itu penuh dengan kuman pneumikokkus. Komplikasi dialami si kecil memerlukan bantuan alat pernafasan selama lima hari; bekalan oksigen selama 10 hari, tetapi malangnya kerosakan sudah pun berlaku pada bahagian paru-paru kanan. Kesudahannya, kanak-kanak itu menjalani rawatan selama sebulan di hospital,” katanya.

Pada 2008, dianggarkan seramai 8.8 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun di seluruh dunia, meninggal dunia. Seorang daripada lima kematian itu disebabkan oleh pneumonia atau dengan kata lain, seramai 1.5 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat pneumonia. Kematian lain berpunca daripada malaria, TB, HIV/AIDS.



Di Malaysia, pneumonia di kalangan kanak-kanak bawah lima tahun adalah penyebab kelima kematian dengan empat peratus kematian selain antara 28 peratus dan 40 peratus kemasukan ke hospital. Di Indonesia, 145 hingga 300 kes pneumonia dilaporkan bagi setiap 100,000 penduduk manakala di Filipina, sebanyak 5,000 kes pneumonia per 100,000 penduduk dicatatkan.

Pneumonia tidak popular seperti denggi yang kerap kelihatan iklannya di media massa. Dr Musa mengakui pandangan itu. Sambil mengambil denggi sebagai contoh penyakit popular, apabila kerap mendapat liputan yang tinggi di akhbar dan media, katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) turut mengakui bahawa fenomena ini suatu perkara sejagat.

Malah, pihak terbabit sudah pun mengeluarkan suatu dokumen bertajuk ‘Pneumonia the Forgotten Killer of Children’ atau ‘Pneumonia Pembunuh Kanak-Kanak Yang Dilupakan’ bertujuan mengalih tumpuan dunia pada ‘pembunuh’ si kecil yang bukan saja dilupakan, tetapi tidak diambil berat oleh warga dunia.

Pneumonia boleh diselamatkan menerusi pengambilan vaksin dan ia bukan sesuatu yang mustahil dijadikan ‘wajib’ dalam imunisasi kebangsaan seperti vaksin kanser servik ,yang baru-baru ini diwajibkan untuk remaja perempuan.

Kuman pneumonia yang paling teruk iaitu kuman pneumikokkus mengakibatkan sebanyak 800,000 kematian setiap tahun di kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun. Vaksin pneumokokkal ada di Malaysia sejak 2005. Terdapat dua vaksin pneumokokkal daripada pembuat vaksin tetapi ia masih lagi belum dijadualkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) Kementerian Kesihatan.

Pada masa ini, kata Dr Musa, vaksin itu hanya boleh didapati di hospital swasta atau klinik pakar kanak-kanak swasta. Sebanyak 55 buah negara sudah pun memasukkannya ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan, termasuk Singapura, Macau, Hong Kong, Australia dan New Zealand.

Katanya, Persatuan Pediatrik Malaysia sejak 2005 berjuang mengerah Kementerian Kesihatan berbuat sedemikian.

“Dengan kesedaran mengenai bahaya pneumonia, orang ramai terutama kumpulan sokongan kanak-kanak, dapat memberi tekanan kepada kerajaan bagi memastikan vaksin pneumocokkal dijadikan keutamaan serta dimasukkan dalam jadual Kementerian Kesihatan demi kesihatan anak-anak kita,” katanya.

Selain kuman pneumikokkus, jelas Dr Musa, pneumonia juga boleh disebabkan kuman campak, batuk kokol, hemofilus influenza B dan virus influenza H1N1. Tetapi, ketika ini, hanya tiga penyakit atau kuman iaitu batuk kokol, campak dan hemofilus influenza B tersenarai dalam jadual Kementerian Kesihatan sejak 1960, 1982 serta 2002.

Virus Influenza - H1N1 dan influenza A & B mendapat liputan besar apabila berlaku pandemik H1N1 pada 2009. Vaksinnya tidak tersenarai dalam jadual kementerian tetapi boleh didapati di klinik dan hospital swasta.

Kerjasama tangani pneumonia

PFIZER (Malaysia) Sdn Bhd dengan sokongan Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP), Pitter Patter, parenting2u.com dan SJ Echo melancarkan laman web www.abc4pneumococcal.com bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit pneumokokal dan menekankan hakikat bahawa penyakit ini boleh dicegah menerusi imunisasi, di ibu kota, baru-baru ini.

Pengurus Negara Pfizer bagi Malaysia dan Brunei, Angel Choi, berkata vaksin konjugat pneumokokus pertama diperkenalkan pada 2000 di Amerika Syarikat untuk memberikan perlindungan daripada tujuh serotaip pneumokukus yang paling umum.

“Kemajuan dalam bidang penyelidikan pneumokokus membolehkan kita memberikan perlindungan daripada 13 strain bakteria pneumokokus yang utama. Menyedari hakikat ini, lebih 50 negara memasukkan Vaksin Konjugat Pneumokokus (PCV) dalam Program Imunisasi Kebangsaan masing-masing, termasuk Hong Kong, Singapura dan Macau,” katanya.

Vaksin itu, katanya, perlu dilakukan sebanyak tiga dos dengan harga kira-kira RM600-RM750 untuk seorang kanak-kanak. Difahamkan di Afrika, vaksin sama diperoleh pada harga amat rendah iaitu hanya kira-kira USD7 (RM22.05) bagi satu dos.



INFO Pneumonia:

* Sebanyak 98 peratus daripada semua kematian kanak-kanak membabitkan pneumonia berlaku di negara membangun.
* Pneumonia boleh dicegah. Lebih sejuta nyawa kanak-kanak boleh diselamatkan menerusi penggunaan vaksin dan antibiotik, mengurangkan pencemaran udara dalaman dan melalui penyusuan susu ibu untuk tempoh enam bulan pertama hidup.

APA
* Pneumonia adalah jangkitan paru-paru, menyebabkan batuk dan demam yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas. Radang paru-paru yang teruk boleh membawa maut.

SIAPA Golongan berisiko:

* Di negara membangun, kanak-kanak di bawah usia lima tahun, terutama bawah dua tahun dan miskin, berisiko menghidap penyakit ini.
* Warga tua pada usia 65 tahun dan ke atas.
* Sesetengah kanak-kanak dan orang dewasa berisiko tinggi kerana mereka menghidapi penyakit lain seperti HIV/AIDS.
* Mempunyai tahap sistem ketahanan badan rendah seperti pembawa HIV/Aids. Pesakit HIV lebih berisiko tinggi dan berkemungkinan mati akibat pneumonia.
* Kanak-kanak yang tidak mendapat cukup zat boleh melemahkan sistem imunisasi, sekali gus meletakkan mereka sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti pneumonia.
* Penghidap masalah kesihatan yang kronik.
* Individu di kawasan sesak atau kotor.

Simptom

* Demam panas
* Batuk berkahak atau tanpa kahak
* Sakit dada
* Tiada selera makan
* Rasa tidak sihat
* Sering merengek (bayi dan kanak-kanak)
* Pernafasan laju atau tercungap-cungap
* Sukar bernafas
* Muntah
* Cirit-birit

PENYEBAB

*Kebanyakan organisma boleh menyebabkan pneumonia.
*Di peringkat global, bakteria seperti Hib dan pneumokokkus adalah dianggarkan untuk menyebabkan lebih daripada 50 peratus kematian akibat radang paru-paru di kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Virus dan kulat juga boleh menyebabkan pneumonia.

DIAGNOSIS

* Ia boleh dikesan oleh tanda seperti demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas atau bernafas cepat atau berombak-ombak.
* Menerusi imbasan dada menggunakan sinar-X dan ujian makmal. Namun, alat ini selalunya tidak ada di negara membangun, terutamanya di luar bandar yang terpencil menjadikan sukar mengenal pasti dan merawat penyakit ini.

PENCEGAHAN DAN RAWATAN

* Ia boleh dicegah dengan vaksin Hib dan pneumokokus.
* Jangkitan campak dan pertusis (batuk kokol) juga boleh menyebabkan komplikasi pneumonia. Oleh itu, vaksin untuk penyakit ini boleh mencegah sesetengah kes pneumonia.
* Mengamalkan penyusuan susu ibu. Tingkatkan kadar susuan eksklusif selama enam bulan.
* Kurangkan asap daripada rokok dan tempat memasak.
* Tingkatkan tahap nutrisi anak.
* Sentiasa basuh tangan dan ajar anak berbuat demikian.
* Menjalani gaya hidup sihat.
* Mengutamakan kebersihan diri.
* Elak di kawasan sesak.
* Menutup hidung ketika cuaca buruk.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Sumber: Artikel 1 BHarian, Artikel 2 BHarian

8 comments:

roza berkata...

Nice info for parents..

Unknown berkata...

ia mmg bahaya...

dan harap2 kerajaan kite dpt bantu rakyat, bagi vaksin percuma tau sekurangnya subsidi sket...

sya dah amik utk anak2, mahal tpi tetap amik jugak demikesihatan mereka...

Spore dan Aus kasi free je pd semua baby mereka...

yusuflaili(Goku) berkata...

salam;
macam2 penyakit sekarang,..kalau nak diikutkan semua penyakit boleh bawa kematian tak kiralah sakit tu kecik atau besar...

ch000tz berkata...

noted....:)

mykhalis berkata...

kene gi klinik dptkan vksin la ni

::ini belog saya . cinta hati saya:: berkata...

tima kaseh ya atas info :)

ewanrani berkata...

perghhh bahaya gak ek...baru ewanrani tahu..thank for info...mantappp


Kingdom Tower ketinggian 1600meter (1.6KM)

Tanpa Nama berkata...

uiks bahayanyer...