24 Disember 2011

30% Tempat SBP Untuk Pelajar Luar Bandar



Sebanyak 2,214 tempat daripada 7,400 tempat yang ditawarkan bagi kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), disediakan bagi pelajar daripada keluarga miskin dan luar Bandar , kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Daripada jumlah 2,214 tempat itu, 360 orang daripadanya adalah pelajar yang mendapat 3A 2B manakala 660 orang yang mendapat 4A 1B.

Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 menunjukkan sebanyak 34,000 pelajar mendapat 8A sedangkan tempat yang ditawarkan untuk kemasukan ke tingkatan empat di SBP ialah 5,500 tempat saja.


Bagi pelajar lepasan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) tersedia 7,400 tempat bagi kemasukan ke tingkatan satu di SBP dan yang mendapat 5A ialah 46,000 orang.

" Kita memberikan peluang ini kerana mengambil kira cabaran mereka dari segi tekanan hidup, kekurangan dari segi kemudahan pembelajaran dan lain-lain," Dr Mohd Puad Zarkashi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini mengumumkan Kementerian Pelajaran menggubal syarat baru kelayakan minimum kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 3A 2B bagi murid daripada keluarga miskin dan
4A 1B bagi murid luar bandar, mulai tahun 2011.

Syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan
memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

Antara kriteria pemilihan murid ke SBP sebelum ini ialah keputusan 5A dalam UPSR dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.

Mereka yang dikategorikan sebagai pelajar miskin itu adalah mereka yang mendapat bantuan daripada program e-kasih.

Sumber: BHarian

0 comments: