24 Disember 2011

SBPA Jamin Perkhidmatan Awam Berkualiti



Meskipun dasar pemisah (exit policy) yang diperkenalkan di bawah sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menimbulkan kebimbangan segelintir penjawat awam tetapi beberapa orang yang ditinjau pendapat mereka melihatnya sebagai satu dasar terbaik dalam memastikan perkhidmatan awam yang berkualiti.

Seorang penjawat awam berkata meskipun seseorang penjawat awam boleh dibersarakan awal sekiranya memperoleh markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) yang rendah, iaitu kurang daripada 70 peratus, tetapi ia sebenarnya menjadi pendorong bagi seseorang penjawat awam untuk menunjukkan prestasi yang terbaik.

"Tetapi sekiranya penjawat awam itu menunjukkan prestasi serta berusaha untuk memajukan diri dari semasa ke semasa, mungkin mustahil untuk mereka mendapat markah yang rendah, hal ini juga membantu mereka untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik," katanya.


Seorang penjawat awam yang lain, berkata sekiranya perkara ini dilihat dengan fikiran lebih terbuka, pihak swasta turut mengamalkan dasar yang sama di mana pekerja yang tidak menunjukkan prestasi terbaik akan ditamatkan perkhidmatan.

"Apabila perkara ini dipraktikkan dalam sektor awam, menyebabkan penjawat awam yang sudah berada di zon selesa mula bimbang dengan kedudukan mereka yang mungkin akan tergugat," katanya.

Seorang Pegawai Penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berkata bahawa LNPT dapat memastikan pekerja dalam sektor awam itu benar-benar menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka secara lebih komited.

"Sekiranya prestasi kerja seseorang penjawat awam kurang memuaskan dan dia terus disimpan, mungkin akan menjejaskan kredibiliti sektor awam itu sendiri," katanya.

Beliau berkata isu berat sebelah mungkin tidak akan timbul kerana penilaian dibuat secara 360 darjah meliputi rakan sekerja, orang atas atau orang bawahan.



Seorang pegawai tentera berkata pelaksanaan SBPA terutamanya daripada segi kenaikan gaji sememangnya membantu penjawat awam terutamanya dalam berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

"Kenaikan gaji penjawat awam yang lebih tinggi berbanding sebelum ini dapat mengurangkan bebanan tanggungan sara hidup dan hal ini dapat memberi ruang kepada penjawat awam untuk menumpukan sepenuh perhatian mereka dalam karier, " katanya.

Sementara itu bagi seorang lagi penjawat awam berpendapat SBPA merupakan skim yang sangat baik kerana ia antara lain menawarkan peningkatan gred gaji yang setara dengan gred kenaikan pangkat. Katanya lagi ia skim yang fleksibel untuk perkembangan kerjaya atau kemajuan diri seseorang pekerja berbanding skim sekarang.

"Dengan skim baru ini, penjawat awam bakal menikmati kemudahan cuti belajar bergaji penuh jadi tiada lagi masalah kewangan jika sambung belajar terutama bagi yang telah berkeluarga," katanya.

Seorang guru pula berkata pengenalan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) memang tepat pada masanya terutama dalam membantu kakitangan awam yang telah berusia.

Beliau berpendapat kaedah mengulangkaji sukatan sebelum menghadapi PTK adalah sesuatu yang sukar terutama bagi penjawat awam yang sudah berusia.

"Bila ada cara penilaian selain PTK ini memang baguslah sebab ketua jabatan yang akan menilai penjawat awam. Ketua jabatan ini lebih dekat dengan pekerja," katanya.

PROSPEK mengandungi dua komponen iaitu Penilaian Kompetensi dan Potensi serta Program Pembangunan Kompetensi dan Potensi.

Oleh Nur Natasha Aida Ismail dan Salawaty Supardi
Sumber: BERNAMA

Nota:
Penjawat awam selepas ini, mahu atau tidak, mereka perlu memilih untuk menerima opsyen bersara 60 tahun jika mahu mendapat pelbagai ganjaran dan imbuhan apabila pencen kelak. Apa yang penting, pelaksanaan SBPA itu nanti diharap dapat membantu kerajaan melaksanakan pelbagai agenda transformasi negara seperti yang diharapkan. (BHarian)

0 comments: