26 Disember 2011

Tentera Jepun Berbasikal Takluk Tanah Melayu



ANTARA kisah zaman pendudukan Jepun yang menjadi sebahagian kenangan kepada penduduk kampung Melayu di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua adalah basikal mereka biasanya daripada jenama Raleigh akan dirampas oleh askar negara Matahari Terbit itu. Sebagai ganti tentera Jepun tersebut akan meninggalkan sebuah basikal yang telah rosak.

Gerombolan askar Jepun yang baru mendarat di beberapa bahagian pantai menggunakan basikal dalam misi mereka menawan Tanah Melayu.

Kisah yang seakan-akan sama sebenarnya berlaku hampir di semua kampung Melayu atau pekan yang disinggahi oleh tentera Jepun. Kemaraan kira-kira 30,000 tentera berbasikal dari utara dan timur ke selatan Semenanjung sebenarnya bukan satu kebetulan.


Sebelum menyerang Tanah Melayu, perancang peperangan Jepun telah memutuskan bahawa basikal merupakan mod pengangkutan yang terbaik jika ingin menewaskan tentera British di sini.



Hasilnya, strategi ini menyaksikan Tanah Melayu dan Singapura ditakluki dalam masa tujuh minggu sahaja sebelum strategi yang sama diguna semasa Jepun menyerang Filipina kemudian.

Menurut penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor, idea tentera berbasikal ini merupakan antara percaturan strategi dan taktik yang paling berkesan dalam sejarah peperangan moden.



Beliau yang juga Pengarang majalah Tempur berkata, maklumat perisikan Jepun mendapati hampir sebahagian besar rakyat Tanah Melayu memiliki basikal sebagai pengangkutan penting ketika itu.

"Hampir setiap keluarga memilikinya termasuklah di kampung-kampung. Walaupun harganya mahal, tetapi sebuah keluarga pasti memilikinya.


HANYA sepasukan kecil sahaja dibekalkan dengan basikal yang dibawa dari Jepun.

"Pasukan khas perisikan yang diketuai Kolonel Masanobu Tsuji pada tahun 1941 berpendapat konsep pasukan tempur berperisai (kalvari) pula digantikan dengan infantri berbasikal kerana lebih mudah dan pantas," ujarnya.

Tambah Muhammad Fuad, rangkaian jalan raya yang baik antara bandar-bandar utama di Tanah Melayu selain banyak laluan pedalaman seperti jalan kampung dan jalan estet memberi kelebihan jika basikal digunakan.

Rampas basikal

"Tentera berbasikal telah memberi dimensi baharu dalam konsep infantri Jepun yang bukan sahaja bergantung kepada penggunaan kenderaan perisai dan pesawat udara," ujar beliau.



Serangan Jepun dilaksanakan oleh Pasukan Tentera Darat Ke-25 di bawah pemerintahan Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita dengan tiga divisyen terbaik dalam tentera darat Jepun.

Difahamkan daripada 20,000 infantri Jepun yang mendarat di Tanah Melayu, hanya sepasukan kecil sahaja dibekalkan dengan basikal yang dibawa dari Jepun.

Lalu tentera yang lain bertindak merampas basikal milik penduduk kampung. Keengganan menyerahkan basikal mengundang tindakan buruk!



Oleh itu, tindakan pertama tentera Jepun sebaik menawan sesebuah bandar atau pekan di Tanah Melayu ialah mencari basikal atau merampasnya daripada penduduk setempat.

Penyelidik Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG), Shaharom Ahmad pula memberitahu, teka-teki kemaraan pantas tentera Jepun ke selatan dengan berbasikal hanya diketahui Tentera Berikat pada 14 Januari 1941 iaitu semasa pertempuran di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Katanya, Tentera Berikat yang diketuai Panglima Divisyen Ke-8 Tentera Darat Australia, Mejar Jeneral Gordon Bennet ketika itu diarah meletupkan jambatan kayu yang menghubungkan Gemas ke Kuala Lumpur.

"Kedudukan Gemas amat strategik kerana ia mempertemukan laluan dari arah pantai timur dan pantai barat Semenanjung.

"Namun apa yang dilihat oleh Tentera Berikat pada petang itu cukup memeranjatkan.

"Bukan kemaraan konvoi kenderaan atau tentera berjalan kaki, sebaliknya ribuan tentera Jepun berbasikal dengan senjata terselimpang pada badan," jelasnya.

Kemaraan tentera infantri berbasikal Jepun ini sekali gus menamatkan teka-teki pada Tentera Berikat tentang kepantasan pergerakan tentera infantri Jepun yang kali pertama disaksikan.

Walaupun jambatan dibom, tentera Jepun masih mampu menyerang balas sehingga memaksa tentera berikat berundur.


JENERAL Yamashita (duduk paling kiri) semasa menerima nota kekalahan pihak berikat di Singapura pada 15 Februari 1942.

Tentera berbasikal ini kemudian pantas mara ke Kuala Lumpur, melepasi bandar Muar serta mematahkan sekatan berikat dalam pertempuran di Batu Pahat dan seterusnya mara ke Singapura.

Menurut Shaharom, difahamkan sebaik pasukan ini tiba menghampiri Singapura, kebanyakan basikal yang dinaiki tentera tiada roda getah atau telah rosak kerana digunakan secara maksimum.

Katanya, keberkesanan tentera berbasikal menjadikan Jeneral Yamashita satu nama besar dalam sejarah peperangan moden.

"Kesannya juga apabila sehingga hari ini basikal Jepun kekal sebagai salah satu relik Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu yang diingati," kata Shaharom.

Sumber: Kosmo

2 comments:

Unknown berkata...

klu juai leh kaya ni

Unknown Person berkata...

minta izin ambil gmbr utk buat buku skrap Malaysiaku :D