Pelbagai koleksi dicipta ikut aliran fesyen terkini
KAPAL terbang dicipta pasangan adik beradik, Orville Wright dan Wilbur Wright, pada 1903, John Logie Baird, pula mencipta televisyen. Namun tidak ramai yang tahu siapa pencetus fesyen bertopi.
Seperti koleksi pakaian yang dipermodenkan mengikut peredaran zaman, topi juga begitu. Jika disoroti sejarah asal, pemakaian topi bermula apabila seorang lelaki dikenali sebagai John Hetherington dari London, United Kingdom (UK), menghadapi masalah benjolan tinggi dan berkilat di kepalanya hingga menimbulkan ketakutan kepada orang ramai.
Kemunculan Hetherington dengan kekurangan dirinya, pada Januari 1797 dikatakan turut menyebabkan ada wanita pengsan melihatnya, kanak-kanak menangis dan anjing pula menyalak. Malah, seorang kanak-kanak yang takut melihatnya menggigit tangan lelaki berkenaan sehingga berlakunya huru-hara. Hetherington kemudian ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengganggu ketenteraman awam.
Ketika hadir di mahkamah, Hetherington dikatakan memakai topi jenis tinggi iaitu top hat. Kehadiran beliau dengan bucket hat itu menjadi ikutan dan semakin menjadi popular selain diterima lelaki. Lama kelamaan menjadi popular di kalangan golongan bangsawan.
Apabila zaman berubah dari abad ke abad, selain pemakaian topi dilihat berfungsi sebagai penutup kepala, rekaannya juga dipelbagaikan mengikut fesyen pada era itu. Dengan aliran fesyen yang begitu pantas, pelbagai jenis koleksi fesyen topi tampil di pasaran.
Salah seorang pemilik butik jualan topi, Hat Attack, Tam Chee Kheong, berkata pelbagai jenis topi dihasilkan dan setiap rekaan disediakan mengikut keperluan dan kesesuaian sesuatu acara.
Jelasnya, antara yang biasa dilihat di pasaran ialah top hat, bucket hat, bowler hat, jacky, beach, fedora dan sebagainya, selain beberapa rekaan topi termasuk topi baseball, trucker, visor, beret, kangol, bucket atau untuk memancing dan topi koboi.
“Topi ada pelbagai jenis fungsinya. Selain melindungi kepala dan wajah daripada pancaran sinaran lembayung (UV) yang boleh memberi kesan buruk pada kulit, topi juga sebagai aksesori tambahan dan pelengkap fesyen.
“Lelaki ramai menggayakan topi sebagai salah satu cara melindungi rambut tanpa perlu berdandan. Bagaimanapun, wanita moden yang bertudung juga kini ada yang lebih selesa menggayakan koleksi topi rekaan terbaru sebagai menggantikan penutup kepala atau tudung,” katanya.
Sejarah masih samar tetapi pemakai topi memilih aksesori ini untuk tampil penuh bergaya jika kena caranya. Jika wanita Islam menutup kepala dengan tudung pelbagai gaya dan warna, lelaki pula hanya boleh memakai topi dengan pelbagai jenis dan fungsi.
Ada yang berpendapat lelaki memakai topi lebih awal daripada wanita. Dalam laman web vintagefashionguild.com menyatakan headwear dipakai wanita ketika Zaman Pertengahan apabila gereja menetapkan wanita perlu menutup rambut.
Wanita ketika itu menutup kepala dengan tudung, sapu tangan dan hud tetapi mula memakai topi pada abad ke-16.
Apabila wanita tidak bertudung menjaga mahkota (rambut) dengan berdandan mereka mungkin dikategorikan sebagai kurang berminat dengan pemakaian topi. Penggayaan itu bagaimanapun mengikut sesetengah acara dan majlis sukan.
Kebanyakan wanita Inggeris golongan bangsawan, pada zaman dulu mahupun kerabat diraja akan mengenakan koleksi topi sebagai satu koleksi aksesori wajib apabila menghadiri acara tertentu seperti majlis perkahwinan atau pengebumian.
Tam berkata, apabila fenomena muzik K-pop tercetus dengan kehadiran artis Korea yang bergaya dan verstail, remaja tempatan tetapi turut terpengaruh dengan budaya muzik malah gaya pemakaian artis penyanyi Korea itu.
Ada yang tampil dengan koleksi topi pelbagai rekaan sekali gus permintaan terhadap rekaan topi juga semakin tinggi ketika ini.
Pelbagai jenis topi daripada pelbagai jenis fabrik sesuai digayakan di Malaysia termasuk berasaskan fabrik kapas, bulu, benang kait, kulit, kulit sintetik, kulit mengkuang dan sebagainya.
Sungguhpun Malaysia bukan negara empat musim (panas, bunga, luruh dan sejuk), namun aneka jenis topi untuk ke semua musim boleh digayakan mengikut acara bersesuaian.
INFO Jenis Topi:
1. Topi baseball
- Penyanyi terkenal, Justin Beiber sering tampil dengan topi jenis ini.
- Asalnya dipakai oleh pemain softball dan ia sebagai pelengkap seragam permainan itu.
- Topi ini mempunyai paruh yang besar di depan dan perlu dipakai ikut muat dan ketat seolah membentuk kepala
- Diperbuat daripada benang bulu atau kapas
- Sesuai digayakan dengan baju T mengikut warna yang berpadanan selain digayakan dengan seluar jeans atau seluar pendek
- Sesuai dipakai ketika bercuti dan melakukan aktiviti fizikal
- Elak memakai ketika mengadakan temu janji atau tujuan perniagaan
- Jika lelaki budiman, elakkan memakai secara terbalik.
2. Topi Trucker
- Ia seakan topi baseball
- Sebahagian topi iaitu bahagian depan kepala diperbuat daripada fabrik dengan span nipis sementara bahagian belakang diperbuat daripada plastik dan berlubang-lubang.
- Mempunyai pelaras saiz kepala dengan lubang kecil.
- Nampak kasar tetapi bergaya jika dipakai dengan singlet putih, seluar kargo, jeans koyak untuk gaya lebih ranggi.
- Sesuai digayakan pada acara santai atau parti.
- Ramai pemain skateboard juga menggayakan topi ini
3. Topi Visor
- Topi ini menyerupai topi baseball dan trucker
- Ia mempunyai paruh di depan tetapi tidak mempunyai penutup di bahagian atas kepala
- Rekaan ini sesuai dipakai ketika cuaca panas untuk melakukan aktiviti sukan, seperti golf, tenis atau acara olah raga
- Kasual dan acara santai tidak sesuai
4. Topi Beret
- Topi ini secara teknikalnya adalah topi lembut, ia jenis yang melepek rata dan luas. Mengikut sejarah ia adalah topi untuk golongan tentera. Topi jenis ini sesuai digayakan dengan pakaian kasual atau kemeja berbutang dan seluar slack.
5. Topi rata kangol
- Kangol seperti beret tetapi ia lebih trendy. Lereng (brim) topi juga kecil dan bahagian atasnya lembut. Ada juga yang berbutang bagi membolehkan bahagian atasnya bertaut kemas.
- Seperti beret, topi kangol juga sesuai dipakai dengan kemeja butang dan seluar slack. Kerana brimnya yang kecil, topi ini sesuai untuk digayakan ke depan, ke belakang mahupun ke tepi.
6. Topi bucket/topi memancing
- Topi ini sesuai untuk aktiviti luar. Rupanya seakan 'baldi' yang ditelangkupkan. Biasanya agak longgar, mempunyai crown yang tinggi serta berlereng topi sederhana lebarnya dan tidak keras.
- Ia kelihatan terbaik jika ditarik separas kening dan ia amat sesuai dipadankan dengan pakaian berwarna coklat, perang muda atau seluar bermuda dan baju T Polo.
7. Topi koboi
- Semua orang tahu bentuk topi ini. Apa yang mesti ada pada topi jenis ini ialah brim (lerengnya) yang lebar. Walaupun mungkin tidak sesuai dikenakan melainkan ketika menunggang kuda, namun jika seorang yang bijak bergaya, ia sesuai dipadankan dengan pakaian rugged seperti jaket denim atau kulit untuk aktiviti luar rumah.
Oleh Hidayah Mohammad
Sumber: BHarian
4 comments:
masa skolah dulu minat collect topi..tp da besar ni dah tak minat...topi2 tu pon g mana ntah..
smpai skrg minat kmpul topi...lbih klu org bgi..he.he.
sy x suka pki topi
pelbagai bentuk dan rupa boleh dapat skrg ni.. sampai bentuk pelik2 pun banyak
Catat Ulasan