15 Januari 2012

Costa Concordia Karam Bagai Titanic



ROME: Sebuah kapal persiaran mewah Costa Concordia karam di persisiran Tuscany selepas melanggar kawasan berbatu dekat Pulau Isola del Giglio, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan maut dan memaksa 4,165 penumpang dipindahkan dengan bot penyelamat ke pulau berhampiran, kata pengawal pantai Itali.

Kira-kira 69 orang masih hilang selepas helikopter dikerah mengangkut 50 mangsa yang terperangkap di atas kapal Costa Concordia ke tempat selamat, kata Komander Pengawal Pantai, Francesco Paolillo.

Agensi berita ANSA, melaporkan beberapa orang melompat keluar untuk menyelamatkan diri daripada kapal yang baru memulakan pelayaran itu.


Mangsa yang terselamat ditempatkan di sekolah, hotel dan gereja di pulau Giglio, tempat percutian popular terletak kira-kira 25 kilometer ke pantai barat tengah Itali.


Kapal persiaran Costa Concordia sebelum ianya karam.

ANSA memetik dua wartawan Itali yang kebetulan antara penumpang sebagai berkata kemalangan berlaku ketika waktu makan malam.

“Kami sedang menikmati hidangan makan malam apabila lampu tiba-tiba terpadam, dan kemudian kami mendengar bunyi dentuman kuat dan makanan bertaburan di atas lantai,” ANSA memetik wartawan Luciano Castro, sebagai berkata.

“Kejadian berkenaan seperti adegan filem Titanic, semuanya terjadi dalam sekelip mata,” kata seorang lagi wartawan, Mara Parmegiani, kepada ANSA.


KEADAAN kapal persiaran mewah, Costa Concordia yang karam di persisiran Tuscany – Foto AFP

Paolillo berkata, punca utama kemalangan masih tidak diketahui tetapi penggera pertama berbunyi pada jam 10.30 malam, kira-kira tiga jam selepas Concordia memulakan pelayaran dari pelabuhan Civitavecchia, ke pelabuhan pertama, Savona, di barat laut Itali.

Pegawai pengawal pantai berkata, kapal berkenaan melanggar halangan, tidak diketahui jika ia mungkin melanggar batu karang di perairan Giglio, menyebabkan garisan sepanjang 50 meter di bahagian kiri kapal itu, dan mula dimasuki air.



Kapten kapal itu kemudian cuba mengemudikannya ke perairan cetek, berhampiran pelabuhan kecil Giglio, bagi menjadikan usaha memindahkan penumpang dengan bot penyelamat lebih mudah.

Namun, kapal berkenaan mula condong ke bahagian kanan, menjadikan usaha mendekatkan bot penyelamat semakin sukar.

Lima helikopter, dari pengawal pantai, tentera laut dan udara, mengambil giliran mengangkut mangsa yang masih berada di dalam kapal itu ke tempat selamat. Seorang anggota pengawal pantai diangkut ke kapal untuk membantu penumpang memasuki bakul kecil untuk memudahkan mereka dinaikkan ke helikopter, kata seorang pegawai pengawal pantai, Kapten Cosimo Nicastro.


PENUMPANG kapal Costa Concordia tiba di Pelabuhan Porto Santo Stefano, wilayah Tuscany di Itali.

Kenyataan Costa Cruises, syarikat yang mengendalikan kapal itu, mengesahkan pemindahan 3,200 penumpang dan 1,000 sudah bermula tetapi kedudukan kapal, yang semakin teruk, menjadikan bahagian terakhir pemindahan kian sukar.

Kenyataan tidak menyebut sebarang kematian dan berkata ia masih belum menentukan punca masalah. Kira-kira 1,000 penumpang Itali berada dalam kapal terbabit ketika kejadian, selain 500 warga Jerman, 160 Perancis dan 1,000 kru kapal.

Seorang pengawal pantai tempatan, Francesco Paolillo berkata, terdapat lubang sebesar 30 meter pada badan kapal berkenaan.

Kapal Costa Concordia memiliki 58 bilik penginapan bertaraf suite lengkap dengan balkoni, 13 buah bar, lima jakuzi, lima restoran, dan empat kolam renang.



Dua penumpang Perancis dan seorang krew rakyat Peru disahkan terbunuh, dipercayai setelah terjun ke perairan Mediterranean yang sejuk selepas kapal yang membawa lebih 4,000 orang itu melanggar batu pada malam semalam dan mula terbalik.

"Operasi menyelamat ini berisiko tinggi, kapal itu berada di perairan sedalam hanya 30 meter tetapi boleh perlahan-lahan hanyut ke laut dan tenggelam sama sekali," kata jurucakap pengawal pantai Itali, Cosimo Nicastro di tempat kejadian.

Penduduk Giglio berkata, kapal tersebut belayar terlalu hampir dengan pulau itu dan melanggar terumbu batu di bawah permukaan air yang memang diketahui oleh penduduk tempatan.

Sumber: BHarianKosmo dan Utusan

3 Minggu Untuk Keluarkan Minyak Kapal



Proses mengepam minyak keluar dari kapal persiaran mewah yang terbalik di perairan Itali akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu, kata ketua sebuah syarikat Belanda yang bertanggungjawab berhubung operasi berkenaan.

"Ia mengambil masa sekurang- kurangnya tiga minggu," kata Peter Berdowski dalam satu wawancara di stesen televisyen Belanda malam kelmarin ketika ditanya masa yang diperlukan oleh syarikatnya, Royal Boskalis untuk mengepam keluar semua diesel dari kapal mewah Costa Concordia itu.

Apabila mengepam keluar minyak diesel, setiap jam diambil kira kerana jika perkara tidak diingini seperti tumpahan minyak berlaku, ia akan membawa kepada pencemaran ekologi yang teruk, katanya.

Anak syarikat Royal Boskalis, Smit Salvage akan melakukan kerja mengepam keluar 2,380 tan minyak diesel yang dibawa kapal persiaran berkenaan.

Sekitar 20 pekerja syarikat itu tiba di Pulau Giglio. Kapal Costa Concordia yang membawa lebih 4000 penumpang dan kru tersadai selepas melanggar kawasan berbatu di perairan pulau itu Jumaat 13 Jan. 2012 lalu.

Sumber: Kosmo Kemaskini 18/01/2012



Nasib Costa Concordia Belum Diketahui

Ketika operasi mencari mangsa terselamat atau lebih tepat, mayat mangsa tragedi kapal pesiaran mewah Costa Concordia diteruskan, tumpuan kini lebih kepada apa yang patut dilakukan keatas bangkai kapal persiaran mewah berkenaan.

Turut menjadi tanda tanya adalah siapa yang akan diberikan kontrak sama ada meleraikan atau memulihkan kapal Costa Concordia.

Walaupun tugas membaik pulih kapal itu dilihat sukar, ia dipercayai dapat dibaiki dan belayar semula di sekitar Laut Mediterranean dengan membawa lebih 3,000 penumpang, dalam tempoh beberapa bulan lagi.

"Saya percaya mereka (syarikat pemilik kapal Costa Concordia) akan cuba menyelamat kapal berkenaan," kata pegawai Persatuan Antarabangsa Kapal- Kapal Persiaran (CLIA), Ted Thompson.

"Jika anda melihat peristiwa Pelabuhan Harbor semasa Perang Dunia Kedua, kebanyakan kapal yang tenggelam dalam serangan tentera Jepun dibaik pulih dan tidak dileraikan," kata Thompson.

"Kapal-kapal berkenaan diapung, dibaik pulih dan dihantar ke medan perang. Justeru, perkara sama boleh dilakukan ke atas kapal Costa Concordia," tambahnya.

Kurang 48 jam selepas Costa Concordia terlanggar batu pada 13 Januari lalu, pakar-pakar dari Belanda dan Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti kaedah sesuai untuk mengapungkan kapal seberat 114,000 tan dan bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada kapal Titanic yang tenggelam pada 15 April 1912.

Keputusan mengenainya akan dibuat bersama oleh pemilik kapal berkenaan, penanggung insurans dan pakar-pakar membaik pulih kapal.

Ketika ini, Costa Concordia tersadai dalam keadaan terbalik kira-kira 50 meter dari pantai Pulau Giglio, Itali.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam nahas berkenaan dengan 21 orang lagi masih hilang. - Agensi

Sumber: Kosmo Kemaskini 21/01/2012

Kos apungkan Costa Concordia RM3.6 bilion


Bangkai kapal persiaran Costa Concordia dekat pelabuhan Giglio Porto.

PULAU GIGLIO - Pihak berkuasa Itali melakukan persiapan terakhir semalam untuk mengapungkan kapal persiaran Costa Concordia.

Kapal seberat 114,500 tan metrik itu separa karam dan tersadai di perairan pulau tersebut.

Sejumlah pekerja dilihat memasang rantai dan kabel besi gergasi dalam usaha mengapungkan kapal sepanjang 290 meter atau seluas tiga buah padang bola sepak itu hari ini.

Ketua operasi berkenaan, Nick Sloane berkata, tindakan itu perlu dilakukan sekarang kerana badan kapal berkenaan semakin lemah dan mungkin patah pada musim sejuk.

Projek mega tersebut setakat ini menelan belanja lebih AS$798 juta (RM2.6 bilion) dengan sebuah syarikat insurans memberitahu, kos operasi berkenaan dijangka mencecah AS$1.1 bilion (RM3.6 bilion).

Apabila kapal Costa Concordia berada dalam keadaan menegak, ia akan ditunda untuk dileraikan pada awal tahun hadapan.

Kapal berkenaan berada dalam keadaan hampir terbalik di perairan pulau itu sejak melanggar batu semasa membawa 4,229 penumpang dari 70 buah negara pada Januari 2012.

Nahas itu didapati berpunca daripada kesilapan kapten kapal berkenaan, Francesco Schettino. Seramai 32 orang terbunuh dalam tragedi itu. - AFP

Sumber: Kosmo [Kemaskini 16092013]

Kapal persiaran Itali selamat diapungkan semula

PULAU GIGLIO, 17 Sept. 2913: Kapal persiaran mewah, Costa Concordia yang karam di perairan Giglio, berjaya diapung dan kembali belayar, projek menyelamatkan kapal tenggelam yang terbesar pernah dilakukan setakat ini.

Sebaik diapungkan, bunyi hon kapal bergema di perairan berkenaan bagi meraikan kejayaan operasi selama 19 jam itu.

Kapal sepanjang 290 meter dan seberat 114,500 tan, iaitu lebih panjang dari Titanic dan dua kali ganda beratnya belayar ibarat gergasi lautan.

Akibat tragedi itu pada 13 Januari 2012, sebelah daripada bahagian kapal berkenaan tenggelam di dasar lautan dengan warnanya bertukar kepada perang, berbeza dengan satu lagi bahagian yang berwarna putih.

“Operasi mengapungkan kapal berjaya," kata Franco Gabrielli, ketua projek menyelamatkan kapal berkenaan.

Gabrielli berkata, bahagian kapal yang tenggelam perlu melalui kerja pembaikan yang besar.

Sumber: BHarian [Kemaskini 2013/09/17]

7 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

sejarah berulang.

Unknown berkata...

nasib baik tak semua nya karam.....
sure rugi juta2 ringgit nie....

Puteri Kayangan?@#$%???? berkata...

Salam pekenalan ..sayangnya ... harap benda mcm ni tak berulang lagi huhu

Jahirah berkata...

mujur ramai yg terselamat dr yg terkorban.....

cikorked berkata...

cam titanic jugak nasib nye.......

Nesa Wazir berkata...

alahai sygnye..mujur msih ade yg slamat :D

Unknown berkata...

Peerrrgghh.. sadis.. nasib baik dekat ngan pulau..