31 Januari 2012

Pesona Kelip-kelip Kampung Kuantan



Suasana di Kampung Kuantan di sebelah petang agak sepi. Kedengaran pun, sekali sekala hanyalah deruan enjin kereta dan motosikal di jalan raya.

Di kiri dan kanan, ada beberapa buah rumah, sama ada masih mengekalkan ciri tradisional kayu atau sejumlah kecilnya dibina dengan konkrit.

Namun suasana bertukar sebaik senja menghampiri. Kawasan yang pada awalnya kosong, mula meriah dengan pelbagai ragam pengunjung sama ada pelancong tempatan mahupun luar negara, masing-masing tidak sabar untuk melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan!


HANYA SAMPAN DIBENARKAN

Keterujaan jelas terpancar di muka masing-masing sambil riuh berborak. Setiap seorang lengkap berpakaian jaket keselamatan menunggu penuh sabar untuk menaiki sampan di jeti yang disediakan.

Biarpun agak gelap, namun kelibat pendayung yang begitu tenang mengharungi arus Sungai Selangor untuk membawa penumpang ke kawasan penumpuan kelip-kelip, masih dapat dilihat.

Mungkin ada antara pengunjung yang berasa agak takut untuk menaiki sampan kerana merasakan ia tidak selamat, namun jangan risau kerana bukan sehari dua mereka mengemudi kawasan itu, malah sudah bertahun-tahun lamanya dan ada di antara mereka berpengalaman 40 tahun.

Setiap sampan hanya dibenarkan dinaiki empat orang sahaja. Kenapa hanya sampan digunakan dan bukan bot berkuasa enjin?

Ini kerana penggunaan sampan dapat mengelakkan pencemaran bunyi dan asap yang akan mengganggu habitat berkenaan. Selain itu, menyusuri sungai dengan menggunakan cara tradisional ini lebih memberi kepuasan kepada pengunjung.

Tanpa adanya deruan bising enjin dan hanya bermuzikkan unggas di sekitarnya, lebih memberikan seribu kepuasan kepada pengunjung di samping dapat melihat keindahan alam kelip-kelip yang menakjubkan dalam suasana semula jadi.



'POKOK KRISMAS' DI TEPI SUNGAI?

Mengambil masa tidak sampai lima minit dari jeti untuk ke habitat kelip-kelip, pendayung akan membawa pengunjung menghampiri kawasan bertentangan (tebing sungai) di mana keajaiban semula jadi itu akan hanya dapat disaksikan sendiri oleh mata mereka.

Mungkin ada yang berasa takut tatkala menyusuri sungai itu ekoran sampan yang terumbang-ambing mengikut arus, namun semuanya berubah apabila melihat syurga kerlipan cahaya di setiap pokok Berembang yang berada di sepanjang sungai itu.

Membentuk keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, siapa sangka di tepi sungai itu terdapat pokok Krismas.

"Istimewanya, keadaan seperti ini (pokok krismas yang dibentuk daripada cahaya yang dihasilkan oleh kelip-kelip) hanya boleh dilihat di Kampung Kuantan, Brazil dan Papa New Guinea.

"Selain Kampung Kuantan, ada juga di negeri lain. Tetapi kuantitinya tak banyak seperti di sini," kata Sahar Lahajar, ketua pendayung.



KELIP-KELIP

Sememangnya, Kampung Kuantan yang terletak lebih kurang 9km dari Kuala Selangor merupakan antara tempat wajib tumpuan pelancong tempatan mahupun luar negara yang ingin merasai sendiri pengembaraan unik melihat kelip-kelip.

Pokok Berembang atau 'Sonneratia Caseolaris', sejenis pokok bakau yang tumbuh liar di tebing Sungai Selangor, merupakan habitat serangga berukuran 6mm panjang ini.

Pokok Berembang ini menjadi sumber makanan kepada kelip-kelip.

Tarikan utama kelip-kelip spesies 'Phteroptyx Tener' yang terdapat banyak di kawasan ini terletak pada ekornya yang mengeluarkan cahaya.

Menjadikannya lebih istimewa ialah kerlipan cahaya yang dikeluarkan oleh serangga ini adalah serentak pada kadar tiga kerlipan sesaat.

Tujuan kerlipan cahaya itu adalah bagi menarik minat pasangannya. Untuk itu, kelip-kelip jantan akan mengeluarkan cahaya yang lebih terang daripada kelip-kelip betina.

Kelip-kelip ini cuma mempunyai jangka hayat enam hingga tujuh bulan sahaja dan amat sensitif dengan perubahan sekeliling.

Selain Kampung Kuantan, Bukit Belimbing juga menjadi daya penarik utama pelancong ke Kuala Selangor untuk melihat kelip-kelip.

DENDA RM1,000!

Bagaimanapun, awas! kecantikan kelip-kelip ini hanya boleh ditatap dengan mata kasar sahaja, dilarang menangkap malah merakamkan gambarnya. Mereka yang melanggar peraturan itu boleh didenda RM1,000!

Cahaya kamera boleh menyebabkan kelip-kelip itu terkejut dan berhenti daripada mengerlip, menurut Sahar.

"Kerenah pengunjung yang pelbagai ragam memberi cabaran kepada kami terutama bagi mereka yang datang dari jauh. Kadang kala terpaksa juga turutkan permintaan mereka dengan membenarkna mereka mengambil gambar.

"Cuma selalunya kami akan nasihatkan mereka supaya jangan mengambil gambar kerana itu boleh menyebabkan kelip-kelip akan berkurangan," katanya.

Sahar berkata jumlah pelawat pada hari biasa agak kurang tetapi pada hujung hujung minggu boleh mencecah lebih 400 orang.

Terdapat seramai 31 pendayung di Kampung Kuantan yang kebanyakannya menjadikan ia sebagai kerja separuh masa.

Sahar berkata masa terbaik untuk melihat kelip-kelip ini dengan jelas ialah pada waktu gelap tanpa cahaya bulan dan ketika air pasang.

"Apabila air pasang, pengunjung boleh dibawa pendayung menghampiri pokok Berembang dengan lebih dekat," katanya.

USAHA TNB, EVOLUSI KEHIDUPAN PENDAYUNG

Dalam usaha mengekalkan ekosistem habitat kelip-kelip ini daripada mengalami ancaman kepupusan, syarikat pembekalan elektrik negara, Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Usaha itu ialah sebahagian daripada projek komuniti dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB. TNB memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi tempoh lima tahun sejak 2008.

Ketua Hal Ehwal Komuniti TNB Ahmad Zaki Rasid berkata peruntukan itu membabitkan usaha menaiktaraf infrastruktur, promosi dan penyelidikan.

"Kelip-kelip ini merupakan simbol kepada TNB di mana ia adalah serangga yang mengeluarkan cahaya, begitu juga TNB yang membekalkan cahaya kepada penduduk negara ini.

"Selain itu, TNB turut menawarkan kelas bahasa asing kepada pendayung bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pengunjung luar negara," katanya.

Usaha yang dilakukan TNB ini turut membantu meningkatkan pendapatan pendayung, terutama kedatangan pengunjung kini bertambah lebih 50 peratus.

Ditanya adakah TNB akan meneruskan usaha murni itu selepas berakhirnya tempoh lima tahun, Ahmad Zaki menjawab: "Kita lihat pada kerajaan pusat. Sekiranya ditawarkan lagi, insya Allah."

BAGAIMANA KE SANA?

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampung Kuantan mengambil masa satu jam, dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri usah risau kerana khidmat pengangkutan awam disediakan ke tempat ini.

Mereka yang berminat boleh menaiki bas bernombor 141 dari Hentian Duta, Kuala Lumpir ke Kuala Selangor dan meneruskan perjalanan dengan teksi ke Kampung Kuantan.

Bagi mereka yang datang dari Klang, mereka boleh menaiki bas Transnasional bernombor 156 dari Hentian Bas Klang. Selain itu, ada beberapa agensi pelancongan yang menawarkan pakej perjalanan dan lawatan ke Kampung Kuantan.

Sememangnya, perjalanan sepanjang 60km dari Kuala Lumpur ke Kampung Kuantan, melalui pemandangan kelapa sawit, kampung dan pekan kecil, tidak akan menghampakan.

Kerlipan cahaya yang dihasilkan kelip-kelip ini, akan memberikan suatu keasyikan yang penuh bermakna, dan hanya dapat dihargai oleh sepasang mata yang melihatnya sendiri.

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA
Sumber Foto: Google Image

1 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

salam;
dulu ditepi sungai kampung saya banyak juga kelip2 ni...sekarang seekorpun tiada lagi..