03 Januari 2012

Tip Bapa Hebat

INFO : Tip Bapa Hebat



PANDUAN oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, untuk membina keluarga dengan agenda mantap, keazaman tinggi, komitmen berterusan dengan kekentalan jiwa dan ketenangan fikiran dalam membangunkan sebuah keluarga Muslim:

1. Bermula dengan perancangan masa depan yang jelas dengan langkah realistik. Pastikan kita faham matlamat dan objektif dan memberi tumpuan serius dalam hal pembangunan keluarga berpaksikan objektif berkenaan. Masukkan dalam agenda masa depan ini perancangan bagaimana kesinambungan kerja untuk Islam dan umat dapat diwarisi dan diteruskan oleh generasi akan datang.

2. Mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan seterusnya beriltizam menjadi contoh terbaik kepada isteri dan anak dari segi keteguhan pegangan terhadap Islam, menunaikan tanggungjawab, berdisiplin dan berakhlak dengan akhlak Islam.


3. Pemilihan calon isteri adalah kritikal dalam membantu mendirikan keluarga yang ada agenda. Utamakan pegangan agama, bukannya paras rupa dan kedudukan atau harta.

4. Didik isteri dalam meletakkan keutamaan dalam kehidupan bersama. Kejayaan agenda masa depan umat Islam bergantung kepada kejayaan membangunkan keluarga Muslim yang mantap. Ia memerlukan pengorbanan besar serta berterusan.

5. Besarkan anak dengan cara Islam supaya menjadi unsur yang kuat untuk masyarakat. Amalan sunnah diajar dan dipraktikkan di rumah dari bangun pagi hingga tidur. Babitkan secara aktif, tidak menyerahkan kesemua hal tarbiyah kepada isteri atau orang tertentu saja.

6. Beri perhatian serius kepada setiap anak dengan mengambil kira potensinya. Setiap anak adalah seorang ‘juara’ yang dianugerahkan Allah kepada kita. Salurkan potensi anak ini dengan memupuknya supaya boleh bermanfaat untuk Islam dan masyarakat. Didik anak menjadi berani, mempunyai keyakinan diri, cintakan jihad dan tidak mementingkan diri sendiri.

7. Utamakan kepentingan Islam dan umat Islam dengan meletakkan agenda Islam di depan dalam kehidupan seharian supaya anak terbiasa dengan hal berkenaan. Dahulukan orang Islam dan memenuhi hajat dan hak saudara seIslam dititikberatkan agar mereka faham dan sedar akan perkara pokok berkenaan. Sematkan dalam hati dan perasaan mereka kasih sayang kepada saudara seIslam dan tanggungjawab yang berkaitan.

8. Mengambil berat hal ehwal pelajaran dan pendidikan anak-anak. Kenal pasti kekurangan dan kelemahan mereka dan ditangani dengan memberi mereka peluang untuk belajar mengatasi kekurangan diri. Beri sokongan dalam mengatasi kelemahan mereka atau mengkritik dengan kritikan yang tidak membina. Dedahkan mereka dengan ilmu kemahiran hidup dan kemahiran berkomunikasi.

9. Hidupkan amalan syura (bermesyuarat) dengan isteri dan anak-anak dengan pengamalan adab-adab syura dalam Islam. Jadi pendengar yang baik dan didik anak-anak berhujah dengan penuh adab serta rasa hormat kepada ahli mesyuarat yang lain.

Sumber: BHarian

2 comments:

Unknown berkata...

harap2 sy leh jadi ayah yg hebat

syiela berkata...

Banyak dugaan dan cabaran menjadi ayah zaman sekarang

moga menjadi ayah terhebat