29 Januari 2012

Warisan Keindahan Alam Australia


KEUNIKAN alam ciptaan Allah termasuk Terumbu Sawar Besar di Australia.

Australia adalah negara benua terkecil dan pulau terbesar yang menjanjikan percutian alam menakjubkan - dari keindahan terumbu karang di lautan, kehijauan hutan hujan tropika serta keunikan fauna yang jarang ditemui di tempat lain.

Australia yang dikenali sebagai Oz juga menjanjikan keindahan alam yang tiada tolok bandingnya malah mempunyai 15 tarikan diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Great Barrier Reef (GBR) atau Terumbu Sawar Besar adalah terumbu karang yang terletak di Laut Coral menyusuri pantai timur Queensland sepanjang 2,600 kilometer yang mempunyai 400 jenis batu karang dan 1,500 spesis ikan.


GBR adalah terumbu karang warisan dunia yang tersenarai sebagai satu-satunya struktur hidup daripada keajaiban alam yang jelas kelihatan dari angkasa lepas. Selain melihat pelbagai terumbu karang, kawasan ini menjadi ‘rumah' bagi puluhan ribu spesies ikan berwarna terang dan hidupan laut lain termasuk paus, ikan lumba-lumba dan penyu.


Batu Karang

Satu lagi terumbu karang adalah Ningaloo Reef yang terletak di luar pantai barat Australia, kira-kira 1,200 kilometer ke utara Perth. Dengan terumbu sejauh 260 kilometer panjang, ia bukan saja karang terbesar di Australia malah terumbu paling hampir dengan daratan.

Pada Mac hingga Jun, kawasan Ningaloo Reef ini menjadi tumpuan ramai kerana musim memberi makan kepada ikan yu paus. Pada musim sejuk, kawasan terumbu karang ini menjadi sebahagian laluan migrasi bagi ikan lumba-lumba, dugong, ikan pari Manta Rays dan ikan paus. Manakala kawasan pantainya menjadi tempat pembiakan utama yu bodoh, penyu hijau dan penyu karah.

Taman Negara Warisan Dunia yang cukup terkenal di Australia adalah Ayers Rock (Uluru Kata Tjuta) dan Kakadu.

Dengan keluasannya menyamai tiga negara iaitu Perancis, Itali dan Sepanyol yang digabungkan, taman negara di Wilayah Utara yang terletak di pedalaman Australia itu, terkenal dengan kehidupan liar, alam semula jadi dan perwatakannya yang berwarna-warni. Satu lagi tarikan adalah Alice Springs atau ‘The Alice' yang kaya dengan sejarah dan geologi kaum Asli.

Ayers Rock yang terletak kira-kira 440 kilometer dari Alice Springs pasti membuat anda teruja. Berdiri di kaki monolit sambil memerhatikan matahari terbit dan terbenam pasti mengagumkan anda.

Kubah batu ini adalah tinggalan hakisan yang bermula sekitar 500 juta tahun dulu. Seperti bongkah ais (ice berg), kedua-dua batu yang terbentuk iaitu Uluru dan Kata Tjuta adalah sebahagian kecil daripada bongkah batu yang amat besar dan tertanam sedalam enam kilometer di dalam tanah.

Kajian arkeologi menunjukkan penduduk Asli mendiami kawasan itu selama 22,000 tahun. Kaum Anangu adalah penjaga tradisi Uluru dan mereka yang menguruskan Taman Negara berkenaan bersama Parks Australia.

Taman Negara Kakadu, pula adalah sebuah dewangga menakjubkan daripada tanah lembap, hidupan liar dan lukisan batu Orang Asli berusia lebih daripada 50,000 ribu tahun. Sebagai satu daripada beberapa tempat di dunia yang tersenarai sebagai Warisan Dunia untuk kedua-dua nilai kebudayaan dan alam semula jadinya, Kakadu terletak setengah hari perjalanan kereta dari Darwin.

Kekadu juga menjadi tempat paling cocok meneroka keunikan alam ajaib Australia yang menyimpan khazanah Orang Aslinya, galeri seni Orang Asli purba dan menyelusuri sungai sambil melewati buaya, ikan dan burung migrasi.

Paling menarik di taman negara ini adalah keajaiban enam musim ketara yang berbeza, dari air terjun menderu ke musim hujan, ke dataran banjir hingga musim panas kering.


Kanggaru


Aktiviti memberi makan Kanggaru

Seakan wajib jika ke Australia adalah melihat sendiri haiwan yang tidak dijumpai di mana-mana tempat lain di dunia seperti kangaru, walabi, koala, bilbies, emu, marsupials (tupai terbang) , Tasmanian dan burung kookaburras.

Semua haiwan ini boleh ditemui di zoo dan taman hidupan liar di bandar-bandar utama dan pusat pelancongan seperti Zoo Taronga Sydney; Rainforest Habitat di Port Douglas; Healesville Sanctuary Victoria dan Cleland Wildlife Park di Australia Selatan. Selain itu, haiwan terbabit juga boleh dilihat di habitat semula jadi mereka dan anda dinasihatkan mendapatkan khidmat pemandu pelancong jika mahu berbuat demikian.

Burung dikenali Lyrebirds, yang lazimnya ditemui di kawasan belukar adalah burung yang pandai mengajuk di dunia. Burung ini mampu meniru suara 15 burung lain atau bunyi-bunyian seperti bunyi gergaji, telefon bimbit dan penggera kereta. Pasti anda takjub dengan telatah burung kecil ini.

Selain itu, bagi mereka yang cintakan kehijauan boleh mengunjungi Hutan Hujan Daintree atau Daintree Rainforest yang terletak di di bahagian utara pantai timur Queensland, Australia. Dengan keluasan 2600 kilometer persegi, Hutan Hujan Daintree adalah kawasan hutan hujan tropika yang terbesar dan tertua di benua Australia. Ia terletak di sepanjang Sungai Daintree yang mengalir hingga ke tepi laut.

Hutan hujan ini berusia 135 juta ini menjadi habitat kira-kira 430 spesies burung, termasuk 13 spesies yang ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.

Apa yang pasti, jika anda berkesempatan ke Australia, jangan lepaskan peluang menikmati keindahan alam semula jadi termasuk tarikan fauna dan flora yang unik serta penuh misteri. Lawati www.australia.com untuk merancang percutian anda ke Australia.’


Tenang jiwa dalam habitat semula jadi negara kangaru

FAKTA
1. Benua terkecil dan pulau terbesar di dunia mempunyai keluasan daratan 7,69 juta kilometer persegi.
2. Negara yang paling rendah antara semua benua, dengan padang pasir yang terdiri daripada 35 peratus daripada daratan.
3. Ada kira-kira 20,000 spesies flora asli Australia yang tumbuhan asli dan berbeza daripada mana-mana negara lain di dunia
4. Negara satu pertiga daripada kawasan laut yang masih terpelihara di dunia, dengan lebih daripada 360 kawasan yang meliputi 65 juta hektar.
5. Dua terumbu karang terbesar di dunia terletak di Australia iaitu Great Barrier Reef dan Ningaloo Reef, di Laut Coral di Australia Barat.
6. Ada kira-kira 4,000 spesies ikan, 500 spesies karang; 50 jenis mamalia marin; burung-burung laut; naga laut yang jarang ditemui; ikan paus; ikan lumba-lumba; dugong; penyu; ikan pari gergasi dan jerung paus di kawasan perairannya.
7. Australia mempunyai 15 tapak warisan semula jadi dengan salah satu daripadanya, Taman Negara Kakadu yang meliputi kawasan tanah hampir 20,000 km persegi.
8. Kira-kira 81 juta hektar (10.5 peratus) daripada keluasan tanah dilindungi dalam rizab negara dengan 547 taman negara di dalamnya.
9. Hutan hujan tropika Daintree berusia 135 juta tahun iaitu yang tertua di dunia dan menjadi habitat kira-kira 430 spesies burung termasuk 13 spesies yang ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.
10. Orang Asli Australia belajar untuk 'membaca' negara ini dan merancang kehidupan mereka melalui pergerakan berbunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan dan tingkah laku haiwan.

Oleh Rohaniza Idris
Sumber:  BHarian

3 comments:

Unknown berkata...

masih ada keaslian dia lagi

zareliqa afiqa berkata...

Wow! santeknya..bila lar bole sampai sana=.=

ch000tz berkata...

terbaekkkk mmg suka island2 mcm ni :)