Nuff Atas

20 Februari 2012

Ancaman Rotavirus


Punca badan hilang air akibat cirit-birit, muntah berpanjangan boleh bawa maut

ROTAVIRUS telah dikenal pasti sebagai punca utama masalah cirit birit. Sebanyak 600,000 kematian akibat Rotavirus dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia.

Merujuk kepada data Kementerian Kesihatan antara 1999 hingga 2000, dianggarkan satu daripada 37 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dirawat sebagai pesakit luar akibat Rotavirus. Manakala satu daripada 67 ditahan dalam wad sementara satu daripada 15,000 berdepan dengan kematian.

Dalam pada itu , sebanyak 3,444 kes direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Perak setakat 16 Februari 2012 lalu melibatkan wabak acute gastroenteritis (AGE) berpunca daripada Rotavirus.


Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Ketua Unit Gastroenterologi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Datuk Dr, Ahmad Shukri Md Salleh, Rotavirus adalah virus yang berjangkit melalui makanan, minuman dan hasil kumuh.

"Apabila kanak-kanak mendekati barang-barang yang telah dicemari dengan kotoran yang mengandungi Rotavirus , kanak-kanak tersebut berpotensi untuk dijangkiti. Keadaan menjadi lebih berbahaya kerana Rotavirus mampu bertahan sehingga beberapa hari di satu tempat sebelum menjangkiti mangsanya.

Kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur enam bulan hingga 24 bulan dilihat sebagai golongan yang paling mudah terdedah kepada jangkitan Rotavirus," ujarnya.

Tambah Dr. Ahmad Shukri, ciri-ciri pesakit yang dijangkiti oleh Rotavirus adalah cirit-birit, muntah dan demam. Dalam konteks ini, orang ramai sering terkeliru antara Rotavirus dengan demam atau cirit biasa.

Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, sindrom jangkitan Rotavirus boleh bertahan lebih lama. Sindrom ini boleh berkekalan sehingga sembilan hari, malahan sindrom cirit-birit yang dialami boleh berterusan sehingga tiga minggu lamanya. Apa yang lebih membimbangkan adalah kanak-kanak mungkin mengalami cirit-birit sehingga 20 kali sehari.

" Rotavirus justeru boleh membawa kepada masalah kekurangan air dalam badan yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak terbabit. Mereka yang dijangkiti akan menjadi lesu, kulit sejuk dan kering, tiada air mata ketika menangis, mulut yang kering, mata menjadi cengkung dan rasa haus yang melampau," katanya.

Risiko Rotavirus

JIKA anak anda mengalami cirit birit dan muntah tanpa henti, si kecil mungkin dijangkiti Rotavirus. Begitupun, ibu bapa tidak perlu panik kerana tidak semua cirit birit dan muntah menjadi petanda bahawa anak mereka diserang virus berkenaan.

Perunding paediatrik, Dr Yong Junina Fadzil, berkata kanak-kanak dijangkiti Rotavirus lazimnya akan mengalami cirit-birit dan muntah diikuti deman sehingga badan mereka mengalami dehidrasi.

“Susah untuk mengenalpasti dengan tepat sama ada anak mereka terkena Rotavirus atau masalah kesihatan biasa kerana kadangkala keracunan makanan juga boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami gejala berkenaan, iaitu muntah dan cirit birit.

“Sehubungan itu jika anak mengalami cirit birit dan muntah berpanjangan berserta demam, ibu bapa perlu membawa anak mereka berjumpa doktor dengan segera bagi mengenal pasti apakah yang menyebabkan anak mereka mengalami keadaan itu,” katanya.

Kaitan AGE Dengan Rotavirus

Namun apa sebenarnya kaitan AGE dengan Rotavirus? AGE atau inflamasi gaster dan usus, kata Dr Yong Junina, berlaku apabila jangkitan virus seperti Rotavirus menyebabkan pesakit muntah dan cirit-birit, sekali gus menjadi punca kepada dehidrasi atau kehilangan air dalam badan.

Kadangkala, kehilangan cecair yang keterlaluan dan serius, terutama dalam kalangan bayi boleh menjadi punca kematian biarpun ia disifatkan sebagai kes terpencil.

Bagaimanapun, Dr Yong Junina berkata, kematian yang berlaku bukan disebabkan Rotavirus sebaliknya mangsa maut akibat masalah dehidrasi dan tekanan darah dalam badan yang menurun dengan mendadak.

“Kehilangan air dalam badan yang teruk dan tidak dirawat dengan segera boleh memudaratkan pesakit terutama apabila muntah dan cirit birit itu berpanjangan.

“Malah apabila tekanan darah dalam badan menurun, pelbagai komplikasi lain juga akan dialami antaranya buah pinggang tidak berfungsi dan seterusnya akan membawa maut kepada mereka yang dijangkiti,” katanya.

Sehubungan itu, ibu bapa disaran supaya mendapatkan rawatan dengan segera sebaik mendapati anak mengalami ciri yang dinyatakan khususnya muntah dan cirit birit serius, bagi memastikan anak tidak mengalami dehidrasi.

Serangan Rotavirus

Dr Yong Junina berkata, Rotavirus lazim menyerang bayi dan kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun, namun kajian menunjukkan orang dewasa yang dijangkiti virus berkenaan turut mengalami gejala serupa.

“Sekiranya individu dewasa yang mengalami keadaan ini, mereka pasti tahu mengendalikannya, tapi jika terkena kepada kanak-kanak, mereka tidak tahu untuk menyatakan kepada ibu bapa mengenai kesakitan dialami.

“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana ia boleh membawa maut. Jadi, apa yang perlu dilakukan ibu bapa adalah memastikan anak mereka mendapat air yang mencukupi serta membawanya ke hospital,” katanya.

Ketika itu, kehadiran Rotavirus tidak boleh dikesan melalui mata kasar seperti melihat sampel najis atau warna muntah, sebaliknya ujian terhadap sampel najis atau makanan perlu diambil bagi mengenal pasti sama ada pesakit dijangkiti Rotavirus atau tidak.

Pencegahan

“Antara kaedah yang boleh dilakukan ibu bapa untuk mengelakkan jangkitan Rotavirus ialah mengasingkan anak mereka daripada kumpulan kanak-kanak lain sekiranya anak dihantar ke TASKA dan jangan biarkan anak berkongsi makanan dengan saudaranya yang lain di rumah.

“Pastikan juga ibu bapa membasuh tangan sebelum memegang makanan, jangan biarkan anak berkongsi makanan dengan kanak-kanak lain mahupun adik beradik atau ibu bapa sendiri.

Pengambilan suntikan imunisasi pada usia enam bulan juga boleh mengelakkan kanak-kanak daripada terkena jangkitan Rotavirus. Ada dua jenis suntikan iaitu yang boleh diambil dua dos ketika usia kanak-kanak seawal enam bulan, dan ada juga vaksin menawarkan tiga dos suntikan yang perlu diambil bertujuan merangsang badan untuk meniru tindak balas imunisasi terhadap jangkitan rotavirus semula jadi.

Sehubungan itu, suntikan vaksin ini dilihat sebagai pertahanan diri untuk anak supaya mereka tidak terkena jangkitan Rotavirus apabila ia menyerang manusia. Kebersihan juga wajar diutamakan untuk memastikan anak membesar dalam persekitaran bersih dan sihat.

Vaksin Rotavirus


Dr. Ahmad Shukri memberitahu, sehingga kini belum ada ubat dan rawatan spesifik untuk mencegah penyakit ini.

"Pada tahun 2006, vaksin untuk Rotavirus telah dihasilkan. Vaksin ini berupaya merangsang badan kanak-kanak untuk meniru tindak balas imunisasi kepada jangkitan Rotavirus . Keadaan ini membolehkan badan kanak-kanak menghasilkan imunisasi terhadap jangkitan Rotavirus yang sebenar pada masa depan.

Proses ini akan meringankan sindrom-sindrom yang akan menimpa kanak-kanak hasil jangkitan Rotavirus berkenaan mengurangkan kadar masuk ke wad di kalangan pesakit Rotavirus sehingga 96 peratus. Tiga dos vaksin berbentuk oral harus diberi kepada kanak-kanak berumur dua, empat dan enam bulan," katanya.

Meskipun vaksin merangsangkan pelalian atau keimunan dari kecil supaya serangan pertama Rotavirus hanya menyebabkan jangkitan ringan atau tanpa gejala, mintalah maklumat lanjut daripada doktor anak anda sekiranya anak anda mengalami simptom yang serius.

"Bagi menangani jangkitan Rotavirus, tiada rawatan antiviral spesifik digunakan. Rawatan dengan oral rehidrasi adalah penyelesaian biasa yang sering digunakan bagi menggantikan kekurangan air dalam badan. Dalam sesetengah kes muntah yang teruk, rehidrasi dengan cecair melalui laluan intravena diperlukan," katanya.

FAKTA: Rotavirus

Ditemui kali pertama di Australia pada 1973. 

1. Boleh tersebar menerusi air.
2. Ia boleh hidup di atas tangan manusia dan mampu bertahan selama beberapa hari atas permukaan keras.
3. Rotavirus juga boleh kekal stabil dalam najis manusia sehingga seminggu.

Simptom terkena jangkitan Rotavirus 

1. Muntah, cirit birit dan demam berpanjangan.
2. Tekanan darah dalam badan menurun.

Langkah mengelakkan Rotavirus 

1. Sentiasa basuh tangan sebelum menyentuh makanan
2. Masak air sehingga mendidih terlebih dulu sebelum diminum
3. Elakkan berkongsi makanan dengan pesakit Rotavirus.
4. Orang ramai disaran supaya memasak air walaupun menggunakan penapis air kerana Rotavirus boleh melepasi tapisan sedia ada.

Sumber 1: BHarian ( 2012/02/16  )
Oleh Shaidah Shafie

Sumber 2: Utusan (2012/02/19)
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH.

5 comments:

zureen berkata...

thanks kongsi ilmu ni.. heheheheh

Nurul Aisyah berkata...

bahaya betul Rotavirus tuh...first time dgr...

Cikgu Ma berkata...

1st time dengar...dulu selalu cirit birit gak, gastrik...

Cik Nurul berkata...

1st time dengar ni.. bahaya sungguh.. thanks sudi kongsi ilmu.. ^^

shameel Iskandar berkata...

salam koding.
saya yg tinggal di perak ni snetiasa dlm kebimbangan.

Terima kasih yer atas info yg amat bermanfaat ini