Nuff Atas

07 Februari 2012

Batuk, Bersin Dan Kempen Kebersihan Tangan 1Malaysia



Sejak tahun 2010, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pihak swasta menjalankan kempen Kebersihan Tangan 1Malaysia bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan kebersihan tangan bagi menangani penyebaran penyakit mudah berjangkit termasuk selesema.

Seorang lelaki bersin dengan kuatnya tanpa menggunakan kertas tisu atau saputangan bagi menutup hidungnya walaupun ramai orang di sekelilingnya.

Seorang lagi batuk bertalu-talu, tanpa menutup mulutnya. Ramai juga kelihatan menjamah makanan tanpa membasuh tangan mereka terlebih dahulu.




"Adakah rakyat Malaysia sudah lupa pada episod tahun 2009 tentang wabak jangkitan selesema disebabkan H1N1 (virus)?"

Virus H1N1 menyebabkan epidemik selesema yang juga dikenali sebagai Influenza A atau 'selesema babi' pada tahun 2009.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, pada 11 Ogos 2009 terdapat laporan lebih daripada 2,253 kes selesema termasuk kes yang diimport dari negara lain seperti Amerika Syarikat dan Australia yang mula dikesan dari tarikh 15 Mei 2009.

Jangkitan tempatan pertama dilaporkan berlaku pada 17 Jun 2009. Sehingga 21 Ogos 2009 bilangan kes selesema disebabkan virus H1N1 tidak rasmi di Malaysia seperti yang dilaporkan media adalah 5,876.

Kematian pertama disebabkan komplikasi virus selesema A(H1N1) ini dilaporkan pada 23 Julai, 2009 dan sehingga kini terdapat 78 kematian di seluruh negara seperti yang dilaporkan.



SELESEMA BABI

Episod itu menyaksikan rakyat Malaysia menyerbu farmasi bagi mendapatkan penutup muka (surgikal) selain pencuci (sanitiser) tangan sehinggakan ada farmasi melaporkan kehabisan stok barangan ini.

Ketika itu ada laporan mengatakan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual penutup muka surgikal ini sehingga RM5 setiap satu sedangkan harga biasanya hanya 20 sen sehelai. Pasar raya juga melaporkan penjualan laris sanitiser tangan sehingga ada yang kehabisan stok.

Apakan rakyat Malaysia sudah lupa akan bahaya kesihatan yang dibawa wabak selesema babi?

Menurut pihak berkuasa kesihatan, tindak-tanduk virus itu mula dilaporkan di Amerika Syarikat pada April 2009 dan ia menular sama seperti jangkitan virus selesema bermusim.

Pada 11 Jun 2009, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan pandemik selesema H1N1 sedang berlaku di dunia.



AWAS

Pensyarah penyakit respiratori (pernafasan) Dr C.L. Ting berkata virus selesema berjangkit daripada individu kepada individu lain melalui batuk, bersin atau perbualan dengan seseorang yang sedang mengalami selesema.

"Ada juga orang yang kena jangkitan bila menyentuh benda-benda di mana permukaannya mempunyai virus selesema dan kemudian menyentuh mulut atau hidung mereka dengan tangan itu.

"Bagi selesema yang mengikut musim, terdapat beberapa kategori individu yang mempunyai risiko tinggi terhadap komplikasi selesema, antaranya warga emas 65 tahun ke atas, anak kecil bawah lima tahun, wanita mengandung dan mereka yang punya masalah kesihatan kronik," jelas Dr Ting.

Katanya bagi sesetengah individu, mereka mudah terkena komplikasi ini dan terpaksa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan ada kemungkinan jika komplikasi itu buruk, akan menyebabkan kematian.

"Pneumonia, bronkitis, infeksi sinus dan jangkitan di telinga adalah antara contoh komplikasi berkaitan selesema. Selesema boleh menyebabkan masalah kesihatan kronik menjadi lebih buruk.

"Contohnya bagi mereka yang mengalami asma, mereka ini boleh kena serangan semasa mereka ada selesema dan individu yang ada kegagalan jantung kongestif boleh mengalami keadaan lebih buruk disebabkan selesema," terang beliau.

ELAK DARIPADA MENJANGKITI ORANG LAIN

Bagi penghidap selesema, Dr Ting menasihati mereka agar mengelak daripada menjangkiti orang lain dengan virus selesema.

Kata beliau:" Langkah terbaik yang anda boleh lakukan adalah membasuh tangan. Basuh tangan untuk elak daripada merebakkan virus selesema dan juga penyakit respiratori yang lain".

Katanya membasuh tangan dengan sabun adalah kaedah paling efektif dan murah bagi menghalang jangkitan penyakit mudah berjangkit di mana tangan yang kotor adalah caranya menggalakkan kuman merebak dengan senang.

"Anehnya walaupun ramai di antara kita mengetahui tentang perkara ini, tidak ramai pula yang melakukannya. Titisan cecair daripada bersin dan batuk menyebarkan jangkitan virus selesema. Itulah sebabnya perlu tutup mulut bila batuk atau tutup hidung bila bersin.

"Amalkan kebersihan peribadi seperti kerap kali basuh tangan dan tutup mulut bila batuk. Pakai penutup mulut surgikal, ini boleh menghalang orang lain daripada terkena titisan batuk dan bersin anda," terang beliau.

Dan jika anda demam selesema, berehatlah di rumah kerana ini mengurangkan peluang anda menjangkiti orang lain dengan virus selesema.



BASUH TANGAN

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan media sebagai berkata membasuh tangan dengan sabun adalah cara paling efektif dan murah bagi menghalang jangkitan penyakit seperti influenza, selesema biasa, batuk serta juga penyakit tangan dan mulut.

Ia membantu mengurangkan kes gastrointestin seperti cirit-birit dan juga penyakit respiratori.

"Tangan yang kotor adalah vektor (pembawa) kuman," beliau dilaporkan berkata.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA

5 comments:

khairul berkata...

bahaya betul penyakit ni

YaYaNsMuM berkata...

Bahaya penyakit2 epidemic nie...generasi kita perlu dididik dengan penjagaan kesihatan yg betul supaya penyakit2 ni tak tersebar.

hanaahmad berkata...

kalau semua orang ada kesedaran, pasti kesihatan dapat dijaga dengan baik kan. ;)

zareliqa afiqa berkata...

Bahaya2~ jadi jaga kebersihan..

deno berkata...

kita mmg wajib jaga kebersihan tgn, nampk je bersih tapi mcm2 kuman ada kat tgn kite...

sbg seorang pesakit yg buat dialisis, sebelum buat dialsisi tu mmg kena basuh tgn selama 5 minit mengikut step yang betul.. skrg deno dah lali basuh tgn ikut step.. mana taknya, dah 13 tahun sakit... kalau yang basuh tgn biasa tu, sekurag-kurangnya 10 saat kena basuh dan mesti kena basuh dengan sabun. sekian :)