23 Februari 2012
Dapatkan Ubat Dengan Preskripsi Yang Betul
Sememangnya, sudah menjadi lumrah bagi mereka yang mengalami demam biasa, batuk dan selesema mendapatkan rawatan sama ada di klinik kerajaan mahupun swasta. Jika tidak pun, mungkin sekadar ke farmasi berdekatan. Senario ini berlaku dalam satu kemudahan kesihatan yang dipanggil sebagai 'primary care'.
Akan tetapi, faktor 'kekangan masa' serta sikap tidak boleh bersabar dan tidak suka menunggu lama mendorong kebanyakan masyarakat memilih untuk mendapatkan rawatan di sektor swasta berbanding sektor awam.
Namun begitu, timbul persoalan sama ada ubat yang diterima semasa mendapatkan rawatan khususnya di klinik swasta tersebut adalah selamat.
DIPERTIKAIKAN
Apabila mengutarakan perkara berkaitan dengan isu selamat atau tidak, kebanyakan kita mempunyai mentaliti ia berkaitan dengan ubat haram yang tidak diluluskan Kementerian Kesihatan mahupun verifikasi seseorang doktor.
Namun, pernahkah kita terfikir siapakah gerangan yang sepatutnya bertanggungjawab membaca preskrispi (surat kebenaran daripada doktor untuk mendapatkan bekalan ubat) doktor ketika mengeluar dan menyerahkan ubat kepada pesakit?
Majoriti kita menyerahkan 100 peratus kepercayaan kepada pembantu klinik dan beranggapan setiap ubat yang diberikan adalah betul dan sesuai dengan sakit yang dialami.
Mungkin akan ada yang mempersoalkan kewajaran isu ini, namun tahukah anda bahawa kebanyakan pembantu klinik swasta yang bertanggungjawab menyediakan ubat seperti yang dipreskripsikan doktor kepada pesakit adalah tidak berkelayakan dalam bidang farmasi?
Malah, ada antara mereka hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ini diakui sendiri oleh Ketua Farmasi, Jabatan Farmasi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Amrahi Buang.
"Dari segi undang-undang, hanya doktor dan pegawai farmasi sahaja yang layak untuk menyerahkan ubat kepada pesakit. Apa yang berlaku sekarang, kebanyakan pembantu di klinik swasta adalah bukan ahli farmasi malah bukan pembantu farmasi."
"Ini sekali gus menimbulkan persoalan, siapakah staf itu?, layakkah dia?, terlatihkah dia?. Ini kerana, dia (menyerah dan mengeluarkan ubat) bukannya tugasan mudah kerana melibatkan sebahagian ubat yang mengandungi racun dan seumpamanya," katanya.
HOSPITAL TIDAK JADI ISU
Biarpun tugasan menulis preskripsi telah dijalankan oleh doktor, namun proses penyediaan ubat oleh pembantu klinik itu yang menjadi persoalan. Adakah doktor itu sendiri turut terlibat memantau dalam penyediaan ubat kepada pesakit?
"Sudah tiba masanya untuk masyarakat merenung kembali senario ini. Menjadi persoalan sama ada selamat atau tidak ubat yang anda terima dari klinik-klinik swasta.
"Adakah betul ubat yang kita terima itu seperti ditulis oleh doktor dalam rekod ubat, adakah arahan yang kita terima betul atau tidak. Kebanyakan pesakit berjumpa doktor dahulu baru ambil ubat tanpa adanya rasa ragu-ragu.
"This is not a "best practice" kerana kemungkinan besar mereka (pembantu klinik) melakukan kesilapan semasa membaca dan menyediakan ubat berdasarkan kepada preskrip yang ditulis oleh doktor, tersalah maklumat arahan pemakanan dan sebagainya," katanya.
Menganggap ia sebagai satu isu serius, Amrahi berkata, senario sedemikian tidak berlaku di hospital dan klinik kerajaan mahupun di hospital swasta.
Ini kerana, proses pemberian ubat kepada pesakit adalah dikendalikan sendiri oleh pegawai dan pembantu farmasi yang terlatih.
Menyimpulkan bahawa tugas doktor dan ahli farmasi sebagai melengkapi antara satu sama lain, Amrahi berkata, ada kalanya doktor turut membuat kesilapan dalam preskripsi ubat dan di sinilah peranannya ahli farmasi untuk menyemak preskripsi semasa proses penyaringan.
Sebagai ahli farmasi yang mempunyai pengetahuan lebih luas berkaitan dengan ubat berbanding doktor (kerana itu adalah bidang mereka), secara tidak langsung dapat mengesan sesuatu kesilapan dalam preskripsi yang dikeluarkan doktor.
"Contohnya dos ubat itu adalah 0.1 milligram tetapi doktor menulis 1 milligram. Kalau di hospital, klinik kerajaan dan hospital swasta, mereka mempunyai ahli farmasi yang akan memeriksa dahulu dan sekiranya ada kesilapan, akan dirujuk kembali kepada doktor.
"Kalau di klinik, mana ada. Mereka (pembantu klinik) hanya serahkan sahaja ubat, tidak memberi maklumat lengkap, arahan dengan jelas dan ini perbezaannya antara hospital, klinik kerajaan dan hospital swasta," katanya sambil menambah bahawa jururawat tidak seharusnya diberikan tanggungjawab mengeluarkan ubat kepada pesakit.
HAK PESAKIT
Sama ada kita sedari mahupun tidak, kebanyakan pesakit tidak tahu akan hak mereka ketika mendapatkan rawatan. Apatah lagi, mereka percaya bahawa ubat yang diterima itu adalah betul. Bukan sekadar itu sahaja, malah pesakit juga tidak tahu bahawa mereka sewajarnya mendapat lebih banyak maklumat berkaitan penggunaan sesuatu ubat berbanding hanya membaca arahan di label.
Ini berikutan arahan itu tidak mencukupi kerana setiap ubat ada cara tertentu dalam penggunaannya.
"Adalah menjadi hak pesakit untuk mendapat maklumat yang jelas seperti arahan pemakanan ubat, sekerap mana, dos, kegunaan ubat, kesan sampingan seperti alahan dan seumpamanya.
"Malah, penggunaan krim pun bukan main sapu sahaja, ada cara dia. Begitu juga dengan ubat titis mata, titis hidung... Menjadi persoalan, adakah amalan ini berlaku di klinik swasta?," katanya.
Atas faktor itulah, amat penting bagi pesakit mempunyai pengetahuan mengenai penyakit mereka dan ubat yang berkaitan dengannya. Ini boleh dilakukan menerusi pembacaan di laman sesawang http://www.knowyourmedicine.gov.my/.
Ia secara langsung dapat membantu pesakit mengambil ubat-ubatan dengan betul untuk penyakit masing-masing.
BOLEH MENGAKIBATKAN KEMATIAN
Berbekalkan pengalaman Ketua Farmasi ini dalam dunia ubat-ubatan selama 32 tahun, sudah tentu Amrahi dapat menilai bahawa senario sedemikian bukanlah sesuatu yang positif. Tambahan pula, tersilap mengeluarkan ubat kepada pesakit boleh mengundang kematian!
"Isu ubat bukan boleh buat main-main. Tersalah beri ubat, arahan pemakanan, dos dan sebagainya boleh memberi kemudaratan seperti mengantuk, demam berlarutan dalam jangka masa panjang, batuk tidak surut, mata berair, bengkak, rasa tidak tentu arah dan boleh menyebabkan kecacatan kekal (bergantung pada ubat)," katanya.
Melihat senario membimbangkan ini, Amrahi berkata, adalah lebih praktikal dan selamat sekiranya pesakit mula mendapatkan perkhidmatan berasingan - pemeriksaan kesihatan di klinik manakala membeli ubat di farmasi.
Mengulas lanjut, Amrahi berkata: "Pesakit sepatutnya diberi hak untuk membuat pilihan kerana merekalah yang sakit dan yang akan makan/menggunakan ubat itu. Justeru, tidak semestinya dia kena ambil ubat dari klinik itu juga".
Bagaimanapun, ini sekali gus merungkai kepada persoalan adakah pesakit akan diberi hak sewajarnya kerana untuk itu mereka perlu mendapatkan preskripsi ubat daripada doktor klinik berkenaan.
Namun, adakah pengurusan klinik swasta sudah bersedia untuk membenarkan wujudnya senario sedemikian?
Atau apakah masyarakat bersedia menuntut haknya untuk mendapatkan preskripsi bagi membolehkan mereka membeli dan memilih jenama ubat berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing?
Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA
p/s: Pada pendapat saya, pihak klinik tentu mengutamakan mutu perkhidmatan yang baik terhadap pelanggannya demi reputasi nama baik klinik mereka. Atas alasan tersebut maka pihak klinik pastinya ada menghantar pembantu mereka untuk menjalani kursus dalam penyediaan ubat dengan cara yang betul.
Dalam dunia perniagaan kepuasan pelanggan harus diutamakan. Pelanggan akan terus kekal memilih sesuatu produk atau perkhidmatan apabila mereka berpuas hati dengannya.
Apa yang kita harapkan adalah, pihak kilnik melakukan yang terbaik demi kesihatan dan demi kebaikan pelanggan mereka melebihi matlamat mengejar keuntungan.
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 comments:
aku lebih prefer xmkn ubat...jagalah pemakanan kita...hehe
jangan sampey overdoseeeeeeee :D
http://ch000tz.blogspot.com/2012/02/spontaneous-spending-it-seems-never-get.html
alhamdulillah.. setakat nie sume ubt ojey jee aku mkn.. hee ~
yang menerima ubat juga harus bertanggungjawab memeriksa.bukan hanya menerima bulat2..sekurang2nya tahu apa peranan ubat dan juga kesan sampingannya..
Dari segi keselesaan plihan utama swasta. tetapi utk permasaalahan janka panjang elok drujuk kpd klinik kerajaan..
Saya bru keluar dr hospital swasta y kosnya hampir 20k utk kes batu karang shj.....itu kerna ada medical ccard.. klu tak terpaksalah ke hospital kerajaan....
Catat Ulasan