Kemahiran dalam bidang Pendawaian Elektrik
Persepsi masyarakat yang memandang pencapaian cemerlang dalam akademik, jaminan untuk kehidupan yang lebih cerah, rata-rata masih wujud.
Masyarakat Malaysia sering mendengar kata-kata seperti ini: "Belajar tinggi-tinggi, hingga ke peringkat Master (Ijazah Sarjana), senang dapat kerja dan bergaji besar!".
Namun sejauh manakah kebenaran di sebalik kenyataan itu? Adakah bidang akademik satu-satunya pilihan yang ada untuk pelajar Malaysia kelak bekerja dan mendapatkan gaji yang tinggi?.
TRANSFORMASI PEMIKIRAN
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Romli Hassan berkata kelayakan kemahiran dan akademik adalah dua skop yang berbeza pengisiannya.
"Entah di mana silapnya, bidang kemahiran masih lagi dipandang enteng sekaligus sebahagian anggota masyarakat membuat kesimpulan, bidang kemahiran hanyalah untuk mereka yang tidak berpelajaran tinggi atau dalam erti kata lain ia untuk golongan 'drop out' (tercicir).
"Kalau zaman dahulu, memang diakui pencapaian cemerlang dalam akademik diagung-agungkan oleh masyarakat. Tetapi berbeza dengan sekarang, bidang kemahiran juga boleh menjadi laluan baru dan suatu pilihan untuk pelajar dan penuntut capai kehidupan masa depan yang lebih baik," katanya.
"Selari dengan seruan kerajaan yang mahukan transformasi dibuat, masyarakat juga perlu mengubah persepsi ini. Kemahiran juga memerlukan komitmen dan kerja kuat, ada merit dan ganjarannya," tambahnya.
Institut Latihan Tenaga Kerja Manusia (ILTJM) yang bernaung di bawah JTM misalnya, menyediakan hampir 100 peratus kursus pengajian berbentuk kemahiran yang meliputi aspek antaranya kejuruteraan, mekanikal, automotif, foundri, kimpalan arka dan gas, elektrik, mekatronik, seramik, pemesinan dan banyak lagi.
Kemahiran dalam bidang Automotif
ILTJM PERINTIS TENAGA KERJA MAHIR
Menurut Romli, "ILTJM ini terdiri daripada 22 buah Institut Latihan Perindustrian (ILP), empat buah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan sebuah Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI).
"Kami menawarkan program di peringkat sijil dan sijil lanjutan, sementara ADTEC dan JMTI menawarkan program peringkat Diploma dan Diploma Lanjutan,".
Di peringkat awal, JTM yang dahulu dikenali sebagai Jabatan Tenaga Rakyat (JTR) berfungsi sebagai pusat melatih tenaga mahir untuk pasaran industri tempatan untuk mengumpul maklumat buruh dan menempatkan pencari pekerjaan di sektor swasta.
Kini, selaras dengan perubahan teknologi yang begitu pesat dan keperluan tenaga kerja mahir yang mendesak, JTM menubuhkan banyak lagi ILP, ADTEC dan JMTI di seluruh negara.
"Pertumbuhan ini selaras dengan jangkaan pengembangan dalam ekonomi terutama permintaan pekerja mahir dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan yang secara kolektif menyumbang 95 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2010," katanya.
BIDANG KEMAHIRAN LEBIH PRAKTIKAL
Berorientasikan 70 peratus latihan praktikal, dan selebihnya teori di dalam kelas, Romli menjelaskan bahawa bidang kemahiran seperti contoh membuat kimpalan (welding), kejuruteraan, automobil dan automatif sebenarnya jauh lebih praktikal untuk dipelajari berikutan keadaan semasa yang menghendaki tenaga kerja mahir dalam bidang-bidang itu.
Sekiranya pelajar mempunyai minat yang mendalam, ia menjadi nilai tambah kepada diri seseorang pelajar itu untuk berdaya saing dan inovatif dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
"Kemahiran juga memerlukan ketajaman akal, kecekapan kaki dan tangan selain daya inovasi untuk menghasikan sesuatu yang kreatif. Dengan semua ini, tidak mustahil apa yang dipelajari boleh diubah menjadi suatu kerjaya dan sumber pendapatan yang lumayan," akuinya.
Beliau memberi contoh pelajar keluaran ILP yang berjaya mengusahakan perniagaan berasaskan kimpalan dan meraih pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.
Romli berkata bidang kemahiran hari ini berkait rapat dengan kehidupan seharian misalnya perihal automotif.
Justeru, JTM optimis dengan potensi bidang kemahiran untuk menjadi antara pilihan utama pelajar bagi melanjutkan pengajian tanpa mengira pencapaian akademik.
PERANCANGAN MASA DEPAN
Sesuai dengan piagam pelanggan ILJTM yang mahu melahirkan tenaga mahir yang kompeten, berkualiti dan berhemah tinggi, Romli berkata JTM juga menaruh harapan tinggi agar institusi latihan ILP, ADTEC mahupun JMTI dinaiktaraf ke status universiti.
"Melihat kepada pasaran dan kehendak semasa, bidang kemahiran dilihat memainkan peranan yang sama penting dalam melahirkan kategori pekerja tenaga mahir.
Romli berkata pendedahan mengenai kelebihan dan kepentingan bidang kemahiran sebagai pilihan dalam kalangan generasi muda patut lebih banyak dilakukan oleh media.
Ini bagi menarik lebih ramai lagi untuk mengikuti latihan bidang kemahiran.
"Sudah sekian lama bidang kemahiran dipandang hanya sebagai penyokong teras pendidikan negara. Kini, sudah tiba masa untuk bidang kemahiran dilihat sebagai penyumbang utama pendidikan," katanya.
Oleh Nabilah Saleh dan Suriani Razali
Sumber: BERNAMA
5 comments:
x reti aku wiring electrical ni..wiring keta tau pulak ..pelik2
Kadang2 yang ada kemahiran nie lagi senang dapat keje :)
Kalau keja teknikal memang kemahiran yang dititikberatkan
kerja sekarang lebeh mementingkan kemahiran dr teori..
kalau lah aku yang buat semua wiring tu HARUS semuanya meletoppp hahaha
Catat Ulasan