05 Februari 2012

Membudaya Selawat Dalam Kehidupan Harian

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR-RASUL



Kata Nabi SAW:
“Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)

UMAT Nabi Muhammad SAW sewajibnya mencintai Baginda melebihi daripada segala-galanya hatta terhadap diri sendiri. Ini seperti mana kisah Baginda SAW dengan sahabatnya Umar al-Khattab yang begitu jelas memberi pengajaran berguna buat kita umat di akhir zaman ini.

Dikisahkan, suatu hari Umar al-Khattab mengatakan rasa cinta dan kasihnya terhadap Rasulullah SAW, namun selepas mendengar yang Umar mencintai dirinya terdahulu maka Rasulullah SAW membetulkannya semula.


Kata Nabi SAW:
“Tidak, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya. Sehingga kamu mencintai aku lebih daripada dirimu sendiri. Kemudian Umar pun mengatakan: Sesungguhnya sekarang engkaulah yang aku cintai lebih daripada diriku sendiri. Lalu Nabi SAW pun berkata lagi kepadanya: Sekarang wahai Umar.” (Hadis riwayat Bukhari)


Berdasarkan kisah antara Rasulullah SAW dan Umar itu menjelaskan kepada kita betapa pentingnya hati kita mencintai sebulat-bulatnya terhadap Baginda. Banyak cara yang membolehkan menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

Antaranya melalui bacaan selawat, amalan ringan dan semua mampu buat namun mengandungi banyak pahala di sisi Allah kerana menerusi bacaan selawat melambangkan rasa cinta, kasih sayang dan hormat seseorang terhadap Baginda.

Berselawat lebih utama

Allah dengan tegas ada mengatakan:

“Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Imam al-Tabari menjelaskan dalam tafsirnya, selawat dalam ayat ini bermaksud 'memberkati'. Dengan kata lain, Allah SWT dan para malaikat mengucapkan keberkatan ke atas baginda Rasulullah SAW.

Selepas turun ayat ini baginda membacakannya kepada para sahabat, di antara sahabat ada yang bertanya: "Wahai Rasulullah ucapan Salam ke atas tuan telah kami ketahui, bagaimana pula dengan ucapan selawat? Lantas baginda mengajarkan mereka mengenai selawat:Allahumma solli 'Ala Muhammad wa 'ali Muhammad wa baarik 'ala Ibrahim wa 'ala 'Ali Ibrahim, innaka hamidun majid.

Selawat Ibrahimiyyah

Ada juga yang menamakan selawat ini dengan selawat ibrahimiyyah. Berdasarkan riwayat, ada beberapa bentuk selawat yang lain diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat pada ketika diajukan soalan berkaitan dengan selawat.

Namun selawat ibrahimiyyah dibaca dalam solat selain daripada selawat ke atas baginda yang ringkas. Perlu juga diingat bahawa selawat yang diucapkan dalam solat adalah rukun dalam solat, tanpanya tidak sah solat.

Namun selawat yang wajib dalam solat telah melepaskan kita daripada kewajipan selawat. Ini kerana di kalangan ulama yang berpendirian selawat yang diperintahkan Allah ke atas orang yang beriman adalah wajib, dikira berdosa bagi mereka yang tidak berselawat ke atas baginda.

Selawat di luar Solat

Dengan demikian selawat ke atas baginda di luar solat adalah sunat yang sangat dituntut. Mereka yang banyak berselawat pastinya akan dapat merasakan kehebatan Dan keberkatan selawat ke atas baginda.

Selawat ke atas baginda SAW adalah suatu yang tidak wajar diabaikan, sedang Allah SWT dan para malaikat sentiasa bahkan berterusan akan berselawat ke atas baginda, iaitu mengucapkan keberkatan ke atas baginda.

Di dalam kitab-kitab hadis, para ulama mensyarahkan bahawa jika selawat daripada Allah SWT maksudnya, puji-pujian. Jika selawat itu daripada para malaikat adalah bermaksud doa.

Kegembiraan Rasullullah

Rasulullah SAW sangat gembira apabila umatnya sering membaca selawat ke atas Baginda. Hal ini dijelaskan Abdul Rahman bin Auf, katanya, Rasulullah SAW keluar lalu aku mengikuti Baginda sehingga memasuki sebuah kebun kurma.

Lalu Baginda sujud dalam masa agak lama sehingga aku bimbang atau takut seandainya Allah mewafatkan Baginda. Abdul Rahman meneruskan riwayatnya: “Maka aku datang melihat Baginda, lalu Baginda mengangkat kepalanya seraya bertanya, kenapa dengan kamu wahai Abdul Rahman? Lalu akupun menyebutkan apa yang berlaku kepada Baginda.



Kata Nabi SAW:
“Sesungguhnya Jibril berkata kepadaku, hendaklah aku gembirakan kamu bahawa sesungguhnya Allah telah berfirman kepada kamu: Sesiapa yang berselawat ke atas kamu maka Allah berselawat ke atasnya dan sesiapa yang memberi salam ke atas kamu, maka Aku memberi salam ke atasnya.”

Cerita ini ada hubung kait dengan pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)

Perbaiki Akhlak

Demikian hebatnya fadilat selawat yang akan diperoleh kita yang menjadikan amalan membacanya sebagai jadual harian dan pada setiap ketika. Justeru, kita perlu mendidik anak, isteri dan ahli keluarga membudayakan amalan berselawat sebagai amalan wajib buat setiap hari.

Seperkara lagi perlu diingatkan, jangan setakat rajin berselawat tetapi akhlak zahir dan akhlak batin jauh daripada apa yang diperintahkan Nabi SAW. Mulut berbudaya selawat, tetapi tangan dan kaki mencari hasil kerja yang haram?

Jika beginilah, maka tiada makna selawat yang kita baca, malah kita semakin jauh daripada Baginda kerana melakukan perkara yang dibenci. Jika kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW maka laksanakan apa disuruh dan menjauhi yang ditegah sebagai penzahiran rasa cinta itu.

Alangkah beruntungnya seseorang yang rajin berselawat dan memiliki akhlak terpuji seperti diperturunkan Rasulullah SAW. Kita mesti selarikan antara amalan membaca selawat dengan amalan zahir batin. Wujudnya kesepaduan jitu antara kedua-duanya akan menjadi pencetus kepada keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Selain selawat, amalan ibadah sunat lain juga tidak seharusnya dijadikan amalan bermusim atau bersifat berkala. Tiba Maulidur Rasul, maka teringatlah untuk menggiatkan bacaan selawat tetapi selepas habis Maulidur Rasul, sehari ke sehari amalan itu terhakis daripada sanubari.

Seandainya situasi begini yang berlaku bermakna kecintaan terhadap Rasulullah belum mampu kita buktikan secara jujur.

Bagi ibu bapa, didiklah anak mencintai Rasulullah SAW seawal usia dengan membiasakan alunan bacaan selawat sebagai halwa telinga mereka yang akan menjadi asas kepada pembangunan rohani anak.

Imam al-Ghazali melalui karya teragungnya, Ihya Ulumuddin berpesan: “Ketahuilah apa-apa yang kami sebut dalam menjelaskan akidah seharusnya diberikan kepada anak pada awal perkembangannya supaya mereka dapat benar-benar menghafaz sehingga dewasa nanti terungkap maknanya sedikit demi sedikit.”

Kelebihan dan keutamaan selawat 

Di antara kelebihan dan keutamaan selawat ke atas baginda dapat dilihat melalui beberapa hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

1. "Sesiapa yang berselawat ke atas aku di pagi hari sebanyak 10 kali dan di kala petang 10 kali maka dia akan beroleh syafaatku. (riwayat al-Tabraniy)

2.  "Orang yang paling utama bagiku di hari kiamat adalah orang yang banyak selawatnya ke atas aku". (riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Hibban)

3.  "Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali nescaya Allah berselawat ke atasnya 10 kali dan dihapuskan baginya 10 kesalahan dan diangkat 10 darjat. (riwayat Ahmad)

Banyak lagi riwayat yang menyebut kelebihan berselawat ke atas baginda yang tidak sempat disebut di sini.

Namun sebagai seorang Muslim yang inginkan cinta Rasulullah SAW pastinya akan banyak berselawat ke atas baginda. Mustahil bagi akal apabila mengaku cinta tetapi tidak disebut dan disuburkan cinta tersebut dengan berselawat.

Sesungguhnya mereka yang membanyakkan selawat ke atas baginda dengan penuh kasih sayang dan cinta yang tidak berbelah bagi ke atas baginda akan melayakkan diri untuk beroleh syafaat Rasulullah SAW.

Beberapa riwayat menyebut bahawa selawat dan salam yang diucapkan oleh seseorang ke atas baginda SAW akan disampaikan oleh malaikat yang ditugaskan untuk menyampaikan salam dan sejahtera yang diucapkan oleh seseorang kepada baginda SAW.

Maka bagi beroleh keberkatan hidup Dan kasih sayang Allah SWT maka memperbanyakkan selawat seharusnya menjadi rutin dalam diari kehidupan seharian.

Beruntunglah mereka yang membanyakkan selawat ke atas baginda dan rugilah mereka yang mengabai dan melengahkan selawat ke atas baginda SAW.

Sumber: BHarian (Tulisan Mohd Rizal Azman Rifin) dan  Utusan

1 comments:

Bawang Goreng berkata...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Salam Maulidur Rasul untuk Koding dan rakan-rakan...