Khutbah Jumaat bertajuk 'Benteng Keamanan' sempena Hari Ulang Tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke-205 pada 25 Mac 2012
Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan, kepolisan dan keupayaan mempertahankan negara.
Oleh itu sebagai sebuah negara berdaulat, perlulah diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang untuk menyemai rasa tanggungjawab membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara.
Sejak 1807 hingga sekarang kita mempunyai pasukan polis yang berkemampuan menjaga keselamatan agama, rakyat dan negara daripada segala ancaman musuh yang boleh menggugat kedaulatan negara.
Sebagai orang Islam, kita berbangga kerana mengetahui institusi penting itu sudah wujud sejak zaman Khulafa’ ar-Rashidin lagi. Saidina Umar al-Khattab umpamanya, menjalankan penyusunan pentadbiran bagi memastikan kelicinan jentera pemerintahannya dan antara perkara yang dilakukannya ialah mewujudkan sebuah pasukan bagi menjaga keamanan orang awam.
Saidina Umar sendiri turut serta menjalankan tugas berkenaan apabila menjalankan rondaan pada waktu malam untuk melihat keadaan rakyatnya dan menjaga keselamatan dan kebajikan mereka.
Pada zaman kerajaan Umayyah dan Abbasiah, wujud jawatan ketua polis iaitu Sahib al-Shurtah. Di Andalusia pula digelar Sahib-al-Madinah, dengan pasukan polisnya Shurtah al-Kubra dan Shurtah al-Sughra.
Ketika zaman Kerajaan Melayu Melaka, Temenggung menjalankan tugas sebagai ketua polis dengan dibantu oleh hulu balang. Mimbar ingin menegaskan bahawa tugas dan tanggungjawab mempertahankan agama dan negara amat besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 95 bermaksud: “Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman selain daripada orang yang keuzuran dengan orang yang berjihad (berjuang) di jalan Allah dengan harta dan jiwanya.
Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat.
Dan tiap-tiap satu Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan dilebihkan Allah akan orang yang berjuang atas orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.”
Betapa pentingnya fungsi pasukan keselamatan di dalam Islam tidak dapat dinafikan, terutama apabila kita melihat kepada Maqassid syariah, iaitu memelihara agama, akal, keturunan, nyawa dan harta benda. Anggota keselamatan kita pada waktu ini sedikit sebanyak membantu umat Islam untuk mencapai kelima-lima matlamat itu.
Pada masa yang sama, haruslah diingatkan bahawa kita perlu sentiasa memelihara hubungan kita dengan Allah SWT, iaitu Hablun min Allah, dan hubungan kita dengan manusia, iaitu Hablun min al-nas.
Maka, bagi memastikan kedua-dua bentuk hubungan itu terpelihara dan dapat dilaksanakan dengan baik, keamanan dan kedamaian adalah diperlukan. Di sinilah peranan yang dimainkan oleh mereka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila orang ramai melihat seorang zalim, tetapi tidak merubah kemungkaran yang dilakukannya, hampir-hampir Allah SWT menimpakan mereka dengan balasan dari sisinya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Sebagai umat Islam yang beriman, kita disaran oleh Rasulullah SAW agar tidak berdiam diri apabila kemungkaran berlaku. Sesuatu perlu dilakukan untuk mencegah kemungkaran tersebut daripada terus merebak dan mengganggu ketenteraman kita, keluarga dan masyarakat.
Dengan kuasa yang diberikan oleh undang-undang negara melalui Akta Polis 1967, pastinya masyarakat melalui pasukan polis yang bertugas sepanjang masa, akan dapat mencegah dan menghentikan kemungkaran dengan lebih berkesan.
Namun demikian, itu tidak bermaksud kita boleh menyerahkan tugas berkenaan secara bulat-bulat kepada pasukan keselamatan semata-mata. Tanggungjawab mencegah kemungkaran masih berada di bahu kita dan kita perlu memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya.
Berdasarkan Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan serta bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa Yang melanggar perintah-Nya).”
Mengakhiri khutbah, mimbar ingin berpesan kepada semua anggota keselamatan dan umat Islam sekalian, sempena sambutan Hari Ulang Tahun PDRM ini, agar berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakal kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan amanah mengikut ajaran Islam.
Sumber JAKIM dan BHarian
1 comments:
selamat ulang tahun ye kepada warga polis malaysia :)
Catat Ulasan