18 Mac 2012

Keunikan Tumbuhan Karnivor


TUMBUHAN dinamakan venus flytrap ini akan segera menutup daunnya sekali gus memerangkap serangga.

APABILA serangga, sama ada yang merangkak mahupun yang berterbangan membuat 'perhitungan' silap untuk mendekati sejenis tumbuhan dengan fizikal pelik, berkemungkinan besar ia tidak akan dapat melarikan diri daripada menjadi mangsa tumbuhan tersebut.

Itu merupakan antara rahsia keistimewaan tumbuh-tumbuhan karnivor apabila ia mampu membunuh organisma lain untuk menyerap zat. Melalui tindakan tersebut, tumbuhan karnivor itu berupaya mendapat zat daripada mangsanya sekali gus memastikan kelangsungan hidup.

Daripada kajian terhadap hampir 700 spesies yang ditemui di seluruh dunia, setiap satunya memiliki muslihat memerangkap mangsa melalui bahagian daun mahupun tangkainya. Kebanyakan daun tumbuhan karnivor tersebut mempunyai warna-warna cerah, berbulu, nektar di luar bunga dan pengembangan daun untuk menggoda mangsa.


Bukan setakat serangga, pokok karnivor terbesar iaitu periuk kera jenis nepenthes, mampu membunuh reptilia, rodensia mahupun burung yang kecil.

Nektar melekit

Tumbuhan karnivor memerangkap mangsanya berdasarkan tiga kaedah iaitu aktif, separa aktif dan pasif. Daun peka sentuhan yang mengapit atau menyentap mangsa adalah cara pemerangkapan aktif.

Bagi kaedah separa aktif, daun tumbuhan itu mempunyai nektar melekit yang akan membuatkan mangsa terlekat di atasnya ibarat fungsi kertas perangkap lalat. Daun itu kemudiannya menutup secara bergulung untuk proses penghadaman.


PERIUK kera adalah antara tumbuhan karnivor popular yang mudah ditemui di hutan Malaysia.

Sementara kaedah pasif adalah seperti yang ditunjukkan pada spesies periuk kera. Ia mempunyai 'kawah' kecil berisi cecair enzim penghadam yang menunggu mangsa. Enzim itu boleh diibaratkan ekosistem yang kecil tetapi kompleks. Ia dipenuhi alga, kulat, bakteria, protozoa dan ceraian komponen tubuh serangga.

Sebaik sahaja menangkap dan membunuh, mangsa-mangsa tersebut akan dicerna oleh tumbuhan pemangsa itu. Ia akan menyerap zat yang diperoleh melalui bangkai mangsa terbabit. Begitupun, tumbuhan karnivor masih mampu hidup tanpa berharap pada hasil tangkapannya. Cuma ia akan lebih cepat membesar apabila mendapat zat tambahan daripada mangsanya.

Terdapat pelbagai spesies tumbuhan karnivor yang menarik perhatian pencinta alam semula jadi. Antara tumbuhan karnivor yang popular ialah sundew drosera, sarracenia, darlingtonia, cephalotus dan spesies periuk kera. Keistimewaan sundew drosera turut menarik perhatian penulis tersohor dunia, Charles Darwin.

Penulis buku Origin of Species itu pernah menulis: "Saya mengambil berat mengenai drosera berbanding spesies yang lain di dunia ini." Beliau menghabiskan masa berbulan-bulan untuk membuat kajian terhadap tumbuhan karnivor berkenaan.

Pemerhatian

Antara kajian Darwin termasuklah menjatuhkan lalat pada daun drosera untuk melihat ia menggulung secara perlahan-lahan untuk 'menikmati' mangsa tersebut.

"Jarang sekali fakta luar biasa muncul dalam pemerhatian alam tumbuhan," tulis beliau dalam pemerhatian tersebut.

Beliau turut melakukan kajian terhadap spesies lain tumbuhan karnivor dan membukukannya di dalam sebuah buku bertajuk Insectivorous Plants pada tahun 1875.


BANYAK cara tumbuhan ini memerangkap mangsa antaranya dengan menyentap serangga yang berterbangan disekelilingnya.

Dalam pada itu, banyak taman botani dan perusahaan nurseri yang menjual tumbuhan karnivor sebagai pokok hiasan kepada mereka yang berminat padanya. Ia bukan sahaja cantik ditanam di pekarangan rumah atau pejabat, malah dijadikan cenderamata kepada para peminat alam tumbuhan.

Masyarakat negara ini patut berasa bangga kerana Malaysia merupakan salah sebuah negara terbesar menempatkan pelbagai spesies tumbuhan karnivor. Bagaimanapun, khazanah tersebut kemungkinan besar boleh hilang sekiranya pemuliharaan tidak dilakukan dengan sempurna.

Pembangunan, penggunaan komersil melampau dan insiden kebakaran hutan boleh menyumbang kepada kemusnahan spesies tumbuhan karnivor yang terdapat di hutan paya bakau, paya dan hutan. Pencemaran dan penggunaan racun perosak juga boleh mengancam tumbuhan karnivor kerana ia amat sensitif.

Sumber: Kosmo

5 comments:

misyamissyou berkata...

mase kecik2 dulu slalu dimomokkan yg pokok ni boleh makan org.. >_<

teha berkata...

wah , unik nyee.. hehe :)

Bawang Goreng berkata...

Menarik!

Cuma tak dapat bayangkan kalau ada yang species besar dan boleh 'telan' orang...

Unknown berkata...

hebatnya ciptaan Allah

ch000tz berkata...

takut gak kalau pokok ni leh jadi macam mulottt...mau kena ngapp hahaha