08 Mac 2012

SBPA Batal, SSM Ditambahbaik

- SBPA Batal, SSM Ditambahbaik
- Pelarasan gaji berdasarkan jadual matriks SSM
- Kadar COLA dinaikkan kepada RM150 dan RM250
- Pelarasan gaji kuatkuasa 1 Januari 2012



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan pada 1 Januari lalu dibatalkan dan sistem saraan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan itu pada majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Khamis 8 Mac, 2011.




Pelarasan gaji berdasarkan jadual matriks SSM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelarasan gaji berdasarkan jadual gaji matriks Sistem Saraan Malaysia (SSM) mengikut peratusan gred yang ditetapkan

Antaranya, pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54. Bagi kumpulan Gred Utama dan Khas C, B, A pelarasan gaji sebanyak sembilan peratus, manakala Gred Turus III dan II pelarasan gaji sebanyak lapan peratus.

Sementara itu, bagi Gred Turus I dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus. Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar COLA Naik Kepada RM250 Dan RM150

Perdana Menteri turut menyatakan persetujuan kerajaan supaya Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi kawasan B dinaikkan daripada RM200 sebulan kepada RM250, dan bagi kawasan C, dinaikkan daripada RM100 sebulan kepada RM150.

Pelarasan gaji kuatkuasa 1 Januari 2012

Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini, Khamis 8 Mac, 2011 akan berkuatkuasa 1 Januari 2012 dan dibayar mulai bulan Mac atau April, kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Hal-Hal Lain Berkaitan

Penubuhan suruhanjaya dianggotai oleh semua pihak berkepentingan mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia yang bukan saja membabitkan saraan, tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam yang diperlukan negara pada masa depan.

Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kekal dimansuhkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini dan diganti dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).

Kerajaan bersetuju supaya Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), Bayaran Insentif Wilayah (BIW), Bayaran Insentif Pedalaman (BIP) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP),  dikekal pelaksanaannya mengikut peraturan sedia ada di bawah SSM.

Bagi guru-guru pula, kerajaan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" Pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang diumum dalam Bajet 2012.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata pengumuman Perdana Menteri itu turut menggembira kaum guru.

"Ia jelas menunjukkan golongan pendidik tetap diberi keutamaan oleh kerajaan kerana kenaikan pangkat tidak perlu menunggu masa yang lama iaitu selama 10 tahun," katanya.

Penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksima akan turut menikmati pelarasan gaji di bawah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

"Mekanisma pelarasan dan butiran terperinci akan kita bincangkan dalam suruhanjaya yang ditubuhkan nanti," kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman.

Dalam pada itu, Datuk Omar juga gembira kerana kerajaan turut memansuhkan dasar pemisah (exit policy) selari pembatalan dasar SBPA. 

Beliau berkata, dengan pelarasan gaji berkenaan, tidak ada lagi kakitangan awam menerima pendapatan kurang daripada gaji minimum swasta yang diumumkan antara RM800 hingga RM1,000.

Datuk Omar berharap pengumuman itu disambut baik 1.4 juta penjawat awam dan tiada lagi suara tidak puas hati sebaliknya mereka perlu membalas keperihatinan kerajaan dengan bekerja lebih rajin serta berusaha meningkatkan produktiviti.

Semakan gaji yang terakhir dilakukan pada 2007, yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara 7.5 dan 35 peratus.

Sumber: Bernama Artikel 1, Bernama Artikel 2, Bernama Artikel 3, BHarian

2 comments:

Shazwina berkata...

Our PM selalu buat yang terbaik utk membantu rakyat :)

Unknown berkata...

Ada udang disebalik batu.. hal ini dikaitkan dgn PRU akan datang yg mana, sekiranya kerajaan masih berniat meneruskan SBPA ni, nescaya kemungkinan besar pengundi akan pangkah pembangkang..