09 Mac 2012

Kuasa Ekonomi Wanita



MALAYSIA menduduki tangga ke 10 wanita sebagai pengurusan kanan dalam sektor ekonomi. Jumlah itu menggambarkan pencapaian cemerlang semakin meningkat menyaingi dominasi lelaki.

Mengikut laporan Perniagaan Antarabangsa Grant Thornton (IBR) mendedahkan bahawa peratusan wanita dalam pengurusan kanan sedikit menurun, daripada 30 peratus kepada 28 peratus berbanding tahun 2011 lalu.

Bagaimanapun, pencapaian Malaysia dilihat begitu membanggakan kerana kedudukan wanita masih berada pada 10 tangga teratas di kalangan mereka yang memegang jawatan dalam pengurusan kanan syarikat.

Kajian itu juga menunjukkan Russia mencatatkan jumlah tertinggi wanita terbabit dalam pengurusan kanan iaitu sebanyak 46 peratus diikuti oleh Botswana, Thailand dan Filipina yang kesemuanya membabitkan 39 peratus wanita manakala di negara yang mengamalkan budaya patriarki jumlah wanita yang terbabit dalam pengurusan kanan ini adalah sangat rendah iaitu Jepun (lima peratus), India (14 peratus) dan Emiriah Arab Bersatu (15 peratus).
Secara global, sebanyak 21 peratus wanita terbabit dengan pengurusan kanan yang mana tokoh berkenaan banyak terbabit dalam sesi ceramah dan hampir tidak berubah sejak 2004 iaitu sebanyak 19 peratus saja.

Kuasa dan peranan wanita di peringkat global tidak seharusnya dipandang sepi, namun ia memerlukan penambahan baikan pada masa depan. Di peringkat global, kurang daripada satu dalam 10 perniagaan diketuai oleh wanita, dan sekali gus menunjukkan bahawa ia adalah sukar bagi wanita untuk ke tahap tertinggi dalam dunia perniagaan. Hanya sembilan peratus daripada perniagaan mempunyai ketua pegawai eksekutif wanita (CEO), walaupun 15 peratus di rantau ASEAN dan hanya enam peratus di Amerika Utara.

Di rantau Asia Pasifik (tidak termasuk Jepun) dan Eropah, 13 peratus perniagaan dipimpin oleh wanita, mendahului Amerika Latin, rantau Nordic dan ekonomi BRIC (semuanya adalah sembilan peratus) dan negara G7 pula hanya menyaksikan (lapan peratus).

Australia muncul sebagai negara dengan nisbah tertinggi CEO wanita; pada kadar tiga daripada 10 perniagaan diketuai oleh wanita, mendahului Thailand (29 peratus), Itali (24 peratus) dan Argentina (23 peratus) manakala Botswana, Brazil dan Jepun (tiga peratus) yang mana angka berkenaan adalah prestasi terburuk.

Bagaimanapun, kedudukan wanita pada peringkat global diakui terbaik dalam pengurusan kewangan dan sumber manusia. Dalam perniagaan, di Taiwan, umpamanya mencatat sejumlah 48 peratus dikendalikan wanita dan berkemungkinan mengambil tempat sebagai CEO, diikuti Tanah Besar China (39 peratus), Sweden (37 peratus) dan Finland (31 peratus).

Secara umumnya, jawatan yang dipegang oleh wanita di seluruh dunia dalam pengurusan kanan adalah Pengarah Sumber Manusia ialah sebanyak 21 peratus, diikuti 13 peratus daripada perniagaan wanita memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan 13 peratus bidang perniagaan wanita berperanan mengawal urusan Korporat.

Laporan IBR juga mendedahkan jawatan yang dipegang oleh wanita dalam pengurusan kanan di Malaysia membabitkan Pengarah Sumber Manusia ialah sebanyak 20 peratus, Ketua Pegawai Kewangan (10 peratus) dan pengarah kewangan lain (sembilan peratus).

Ini diikuti oleh Ketua Pegawai Operasi dan Pengurus Besar Pejabat dengan masing-masing mencatat lapan peratus dan hanya enam peratus Ketua Pegawai Eksekutif adalah wanita. Bagaimanapun, 21 peratus daripada perniagaan yang dikaji tidak membabitkan wanita dalam lembaga pengurusan.

Pengarah Bersama SJ Grant Thornton, Datuk NK Jasani berkata, senario ini memperlihatkan kemunculan wanita dalam bidang ekonomi masih kurang memberangsangkan dan dengan jumlah yang rendah di sektor pengurusan kanan di seluruh dunia.

Terdapat pelbagai halangan budaya, ekonomi dan sosial yang menghalang wanita daripada menduduki tahap tertinggi dalam pekerjaan, tapi peningkatan pembangunan yang memberangsangkan, diiringi pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam pasaran baru muncul, boleh membantu menjelaskan mengapa bahagian wanita dalam pengurusan kanan agak tertinggal.

Sejak 1978, China mengalami migrasi dalaman terbesar dalam sejarah manusia, dengan hampir 160 juta orang berhijrah dari kawasan desa ke bandar. Kadar mereka yang menetap di bandar melepasi 50 peratus pada tahun lalu dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 55 peratus menjelang 2020.

Begitu juga di Mexico, peratusan penduduk yang tinggal di kawasan bandar dijangka meningkat daripada 74 peratus pada 2000 kepada 80 peratus menjelang 2020. Ini meletakkan tekanan yang besar ke atas model keluarga tradisional.

Perpindahan ke bandar juga sudah mula memecahkan model tradisional keluarga yang besar. Infrastruktur khas penjagaan kanak-kanak yang membenarkan kanak-kanak dijaga datuk nenek, wanita dibolehkan untuk bekerja sepenuh masa, kini sedang digantikan oleh gaya Barat iaitu gaya 'keluarga nuklear yang bergantung kepada seorang ibu atau bapa yang menjaga kanak-kanak atau prospek penjagaan kanak-kanak.

Sepatutnya, perbandaran membuka lebih banyak peluang untuk lebih ramai termasuk wanita untuk menguasai pelbagai sektor. Tetapi dengan cabaran seperti menguruskan keluarga mempunyai kesan yang tidak seimbang pada keupayaan wanita untuk memecahkan siling kaca dan menduduki peranan pengurusan kanan yang di dominasi lelaki.

“Kerajaan dan pemimpin perniagaan dalam pasaran baru muncul perlu bermula sekarang untuk menangani kepincangan dan kemerosotan ini. Sesuatu yang kita tidak mahu melihat peranan wanita dalam jawatan kanan kekal pada tahap berkenaan. Sememangnya pertumbuhan ekonomi semakin baik, namun bakat wanita untuk berada pada tahap tertinggi dalam sebarang jawatan kanan.

“Seharusnya perlu perbincangan awam mengenai dasar dan amalan bagi membolehkan dan menggalakkan wanita untuk terus maju dalam sektor pekerjaan.” katanya.

Justeru, IBR mencadangkan bahawa kerja fleksibel boleh membantu melawan arus trend dalam pasaran baru.

Hampir dua pertiga daripada perniagaan di Eropah sebanyak 65 peratus, iaitu ada peningkatan dari segi peranan wanita dalam pengurusan apabila mereka ditawarkan kerja yang fleksibel. Ini adalah lebih awal Amerika Latin (49 peratus), ekonomi BRIC (36 peratus) dan Asia Pasifik (32 peratus).

“Perniagaan dalam ekonomi baru ini kerja secara fleksibel harus digalakkan dan diterima pakai untuk membenarkan kadar pembabitan lebih besar wanita memegang jawatan kanan pada masa akan datang,” katanya.

Oleh Shaidah Shafie
Sumber: BHarian

Kekangan wanita

MASYARAKAT perlu berbangga kerana Malaysia adalah antara negara yang memberi banyak peluang kepada wanita untuk menyertai pelbagai sektor. Ini berikutan, wanita di negara ini sudah lama diiktiraf sebagai rakan kongsi transformasi besar negara dan kerana itulah juga peluang serta ruang seluas-luasnya diberikan kepada mereka bagi membantu mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi. Hasilnya, pada hari ini arah aliran menunjukkan semakin ramai wanita akan memasuki pasaran tenaga kerja pada masa depan dan mereka bukan saja memiliki kebolehan sebagai pekerja produktif serta cemerlang, tetapi berpotensi menjadi peneraju dalam bidang diceburi.

Bersempena keistimewaan tarikh hari ini sebagai Hari Wanita Antarabangsa, Ratu mendapatkan pandangan pakar iaitu Pengarah Institut Pengupayaan Wanita bagi Negara-negara Anggota Pergerakan Berkecuali atau NAM (NIEW), Tan Sri Rafiah Salim, yang pernah berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, jika dibandingkan dengan negara maju di barat dan negara Asia lain, pencapaian serta kemajuan wanita Malaysia tidaklah terjauh ketinggalan atau terkebelakang. Malah, dalam bidang tertentu wanita Malaysia sudah mampu melangkah jauh ke hadapan.

Rafiah berkata, ini harus diakui berdasarkan beberapa kemajuan dan pencapaian yang sudah menjadi realiti serta boleh dilihat hasilnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kita boleh bangga dengan perkembangan wanita Malaysia kerana pertamanya undang-undang, kebudayaan dan amalan memberi peluang untuk wanita berkembang. Pertama, yang jelas dapat dilihat berdasarkan peningkatan kemasukan pelajar wanita ke universiti. Dasar sistem merit sepenuhnya di negara ini membolehkan 60 peratus pelajar wanita diterima masuk ke universiti. Ini satu yang boleh dibanggakan,” katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

Bagaimanapun, sebagai wanita bergelar ibu dan nenek, Rafiah turut melahirkan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan ini. Katanya, jika boleh dan adalah lebih baik kemasukan pelajar ke universiti seimbang bagi kedua-dua gender demi perancangan masa depan lebih berkesan dalam memajukan negara.

“Kita juga bangga, wanita Malaysia sudah dapat memikul tanggungjawab yang dulunya khusus untuk lelaki. Misalnya, dalam bidang kejuruteraan jika dulu lelaki saja yang mendominasi tetapi kini sudah ada wanita turut menceburinya. Walaupun bilangannya masih kecil iaitu empat peratus, pembabitan wanita dalam bidang ini sudah ada dan ini membuktikan sudah ada keberanian untuk memecahkan tradisi itu.

“Tetapi jangan lupa, kemasukan wanita dalam bidang lain masih ada yang boleh dibanggakan. Statistik pada 2010 menunjukkan, jumlah wanita menjadi doktor gigi adalah agak tinggi iaitu 61.8 peratus manakala bidang akauntan hampir mencapai 50 peratus. Dalam bidang arkitek pula ialah 16 peratus dan kita berharap jumlah itu akan terus bertambah seperti mana kecemerlangan wanita dalam bidang lain seperti perbankan yang sudah lama dicapai.

“Bukan itu saja, pada masa kini juga sudah ada wanita Malaysia ‘berani’ menyahut cabaran untuk bekerja dalam bidang berisiko tinggi seperti bidang gas petroleum yang memerlukan mereka pergi ke pelantar minyak dan berada di tengah-tengah lautan. Hakikatnya, kita bangga dengan peluang diberi dan berjaya berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.

Pun begitu, tambah Rafiah, banyak penambah baik dan peningkatan perlu dilakukan. Katanya, walaupun ramai jumlah wanita masuk ke universiti tetapi jumlah wanita yang masuk ke dunia pekerjaan di negara ini kurang memberangsangkan.

Berdasarkan statistik 2009, jumlah wanita dalam tenaga buruh yang berumur antara 15 hingga 64 tahun hanya mencatatkan 45.5 peratus. Pada hal, jumlah pembabitan lelaki sebagai buruh pada usia itu sudah hampir 80 peratus.

Katanya, wanita walaupun ramai masuk universiti, didapati akhirnya mereka tercicir dalam dunia pekerjaan, sekali gus membimbangkan kerana visi negara ialah mewujudkan negara maju.

“Sumbangan warga negara diperlukan untuk mencapai visi berkenaan apatah lagi di kalangan yang sudah mendapat pendidikan tinggi. Kerajaan sudah membuat pelaburan tinggi untuk mendidik dan memberi peluang pengajian kepada wanita, tetapi sayang mereka tidak menceburkan diri dalam dunia pekerjaan bagi menyumbang kepada pembangunan negara.

“Jika tiada sumbangan dari golongan itu negara juga yang rugi. Justeru, kita perlu siasat mengapa ini berlaku dan mesti cuba mengatasi masalah dihadapi wanita dengan memberikan bantuan dan sokongan,” tegasnya.

Rafiah berkata, dalam hasil kajian tidak rasmi beberapa perkara sudah dikenal pasti antara penyebab utama ialah keluarga. Wanita keluar dari dunia pekerjaan kerana ada anak yang tiada siapa hendak menjaga mereka. Sehubungan itu, masalah seumpama itu perlu diatasi, termasuk memastikan syarikat atau majikan di negara ini perlu menerima hakikat bahawa mereka mempunyai kewajipan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak untuk pekerja. Sedihnya, kerajaan sudah kerap kali menggesa tetapi masih banyak majikan tidak buat demikian walaupun keuntungan diperoleh berbilion ringgit.

“Kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak sedar bahawa melahirkan anak juga berkaitan soal masa depan negara. Anak-anak dilahirkan itulah generasi masa depan bakal menerajui negara nanti. Apa pun, konflik seperti ini tidak dialami di Malaysia saja, sebaliknya turut dialami di negara maju,” katanya.

Satu lagi trend dan menjadi perkara baru di negara ini mengapa wanita tidak masuk dunia pekerjaan, katanya kerana menjaga orang tua. Semua beban itu dijatuhkan ke riba wanita. Pada hal ini adalah tanggungjawab bersama antara lelaki dan wanita.

“Saya amat gembira, mesyuarat menteri negara NAM di Doha baru-baru ini, sepakat menghasilkan mengenai status wanita. Salah satunya ialah fasal 362 yang menyatakan, dalam mesyuarat itu lelaki dan wanita perlu berkongsi tanggungjawab dalam kehidupan keluarga. Ini adalah dokumen antarabangsa pertama mengiktiraf tanggungjawab itu jatuh ke riba wanita dan juga lelaki,” katanya.

Sementara itu, bagi meningkatkan lagi kecemerlangan di masa hadapan, Rafiah menyarankan supaya pelajar wanita di Malaysia memilih bidang pengajian yang mencabar.

Katanya, ini disebabkan masih ramai yang terikat dengan budaya dan masih ada pandangan bahawa sesetengah pekerjaan adalah untuk lelaki. Jika persepsi seumpama itu masih terus bertapak, nescaya langkah wanita untuk ke hadapan pasti bukan sesuatu yang mudah.

“Kita perlu melihat keadaan syarikat korporat pada masa kini di mana kedudukan wanita sebagai ahli Lembaga Pengarah sangat kecil iaitu tujuh peratus saja. Sebab itulah, pada Jun tahun lalu, kerajaan menetapkan dasar bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus jawatan pembuat keputusan perlu diberikan kepada wanita termasuk juga jawatan Ahli Lembaga Pengarah.

“Dengan mandat diberikan kepada NIEW untuk melatih wanita yang layak di pilih bagi jawatan tinggi seperti itu, usaha sudah pun dibuat dengan mengada kursus kepada mereka yang layak. Kursus pertama diadakan pada akhir Februari lalu dan ia membabitkan 25 orang. Mereka menyertainya adalah benar-benar layak untuk dilantik sebagai pembuat keputusan atau memegang jawatan penting dalam syarikat.

“Tahun ini saja, NIEW akan mengadakan 10 kursus seumpama itu dan satu sistem pendaftaran bagi bakal wanita yang layak mengambil tempat dan dilantik menjadi pengarah syarikat turut dibangunkan. Sistem pendaftaran ini akan siap pada akhir Mac ini. Syarikat yang hendak pilih pengarah syarikat wanita, boleh melihatnya dalam sistem pendaftaran itu. Justeru, tidak timbul lagi rungutan yang menyatakan tiada wanita yang tidak layak memegang jawatan penting berkenaan,” katanya.

Oleh Nor Affizar Ibrahim
Sumber: BHarian

1 comments:

Ayu berkata...

Bangga jd wanita.:-) wanita juga penjana ekonomi negara.