26 April 2012

Kembar Tiga Hasil Pembekuan Embrio IVF

Subhanallah... 
Demikianlah kehebatan kekuasaan Allah...


Si Kembar Yang Comel ~ Gambar Hiasan ~

Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mencatat sejarah tersendiri apabila bayi kembar tiga dilahirkan melalui proses pembekuan embrio dengan kaedah rawatan In Vitro Fertilisation (IVF) atau  kaedah persenyawaan tabung uji yang dilakukan oleh doktor pakar hospital berkenaan.

Dua bayi lelaki dan seorang perempuan berkenaan dilahirkan secara pembedahan selang seminit bermula jam 8.46 pagi pada 18 April lalu dan kini masih diletakkan di bawah pengawasan doktor, termasuk dikuarantin di wad hospital berkenaan kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

Bayi yang masing-masing seberat 2.1, 1.8 dan 1.7 kilogram itu adalah anak kepada pasangan Lee Foong Theng, 30, dan Chang Keng Long, 33, yang juga pengusaha restoran di Ipoh.


Foong Theng yang kini menetap di Bandar Seri Botani berkata, dia disahkan oleh doktor tidak boleh mengandung selepas mengalami masalah di bahagian tiub fallopio sebelum membuat keputusan untuk menemui Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi HRPB, Dr Tham Seong Wai.

Fong Theng berkata, dia tidak mempunyai tiub fallopio (saluran peranakan) selepas kedua-dua saluran itu yang tersumbat telah dipotong pada 2010 selepas mereka berkahwin selama lima tahun.

Katanya, dia dan suami sudah tujuh tahun berkahwin dan tidak dikurniakan anak sehingga dia mula menjalani rawatan berkenaan Mei tahun 2011 lalu, namun percubaan pertama gagal sebelum menggunakan proses pembekuan embrio.

“Saya menjangkakan hanya akan mendapat seorang anak, tetapi mendapat tiga sekali gus. Bagaimanapun, saya gembira kerana selepas sekian lama akhirnya saya dan suami mempunyai zuriat sendiri,” katanya.

Foong Theng berkata, dia mengakui mengalami alahan teruk selain sukar untuk tidur dan berjalan sepanjang mengandung kerana kandungan yang semakin membesar.


FONG THENG (kiri) dan Keng Long mendukung anak mereka yang dilahirkan menerusi kaedah IVF. 

Sementara itu, Dr Tham berkata dia tidak menyangka kaedah pembekuan embrio dilakukan terhadap Foong Theng berjaya berikutan kaedah berkenaan hanya mempunyai peluang kira-kira 15 peratus untuk hidup berbanding kaedah IVF biasa yang menggunakan embrio segar membabitkan peluang sekitar 30 peratus.

“Bagi kes Foong Theng, saya memindahkan tiga embrio dalam saluran peranakannya. Ketika menjalani proses imbasan pada bulan pertama, hanya dua janin dapat dikesan, namun proses imbasan kedua pada bulan berikutnya berjaya mengesan tiga janin,” katanya.

Katanya, selepas dilancarkan di HRPB sejak empat tahun lalu, kaedah rawatan IVF menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah menyaksikan peningkatan dari setahun ke setahun.

Teknik IVF membabitkan penetasan telur di luar tubuh manusia dan pemindahan telur yang ditetaskan atau embrio ke dalam rahim.

Sumber: BHarian dan Kosmo [2012/04/25]

1 comments:

ch000tz berkata...

remind my my ex boss, dia guna kaedah yang sama memula doc mgesahkan wife dia mgandung 7babies (pengsan) tapi masuk bulan2 yang terakhir gugur 1 per 1 dan akhirnya tinggal 3 ajer.....