Nuff Atas

13 April 2012

Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012



Undang-Undang Baharu Ganti ISA Dibentang.

Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang bertujuan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 10 April, 2012.

Rang undang-undang itu dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Beliau juga mencadangkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu dibuat pada persidangan ini. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, rang undang-undang itu akan dibacakan untuk kali kedua dan dibahas Isnin 16 April 2012.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 September lepas mengumumkan ISA akan dimansuh dan satu akta baharu akan diwujudkan bagi menggantikan akta itu.

Antara yang terkandung dalam rang undang-undang baharu itu ialah pada Bahagian 5 Fasal 12 yang mencadangkan supaya semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.


Pada Bahagian Dua rang undang-undang tersebut pula, ia menyatakan tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata kerana kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.

Bahagian yang sama turut memperuntukkan kuasa khas bagi kesalahan keselamatan iaitu seorang pegawai polis boleh, tanpa waran menangkap dan menahan ke atas orang yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.

Seseorang yang ditangkap pula, hendaklah dimaklumkan dengan seberapa segera alasan ditangkap dan orang yang ditangkap dan ditahan, boleh ditahan untuk tempoh selama 24 jam bagi tujuan penyiasatan.

[Sumber: Kosmo]

Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan Untuk Jamin Keselamatan Negara

Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 antara lain bertujuan menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam daripada ancaman keganasan, sabotaj dan pengintipan.

Rang Undang-undang yang mengandungi lapan bahagian itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Dewan Rakyat pada Selasa 10 April, 2012..

Antara yang terkandung dalam rang undang-undang berkenaan ialah pada Bahagian 5 Fasal 12 yang mencadangkan supaya semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada Bahagian Dua rang undang-undang tersebut, ia menyatakan tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata kerana kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.

Bahagian yang sama turut memperuntukkan kuasa khas bagi kesalahan keselamatan iaitu seorang pegawai polis boleh, tanpa waran menangkap dan menahan ke atas orang yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.

Seseorang yang ditangkap pula, hendaklah dimaklumkan dengan seberapa segera alasan ditangkap dan orang yang ditangkap dan ditahan, boleh ditahan untuk tempoh selama 24 jam bagi tujuan penyiasatan.

Seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih dari 28 hari, bagi tujuan penyiasatan.

Pada Bahagian Dua itu juga menyatakan, jika pegawai polis berpendapat bahawa tahanan lanjut tidak diperlukan, orang itu boleh dilepaskan tetapi suatu peranti pengawasan elektronik boleh dipasangkan, bagi tujuan penyiasatan.

Bagaimanapun, pegawai polis berkenaan hendaklah mengemukakan suatu laporan mengenai penyiasatan itu kepada Pendakwa Raya, yang kemudian akan membuat permohonan kepada mahkamah bagi membolehkan peranti pengawasan elektronik dipasang kepada orang berkenaan bagi tempoh yang ditentukan oleh mahkamah.

Bagi tatacara khas yang berhubungan dengan peranti pengawasan elektronik, orang berkenaan hendaklah mematuhi semua terma dan syarat peranti pengawasan elektronik dan hendaklah melaporkan diri di balai polis yang terdekat pada masa yang dinyatakan, yang jika tidak mematuhinya, jika disabitkan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.

Mana-mana orang yang mengganggu atau merosakkan peranti pengawasan elektronik adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan orang itu boleh dipertanggungkan untuk membayar apa-apa kerosakan kepada peranti pengawasan elektronik itu.

Pada Bahagian Dua Fasal 6 memperuntukkan kuasa untuk memintas komunikasi dengan kebenaran Pendakwa Raya dan jika memerlukan tindakan segera, Penguasa Polis boleh melakukan pemintasan tanpa kebenarannya (Pendakwa Raya).

Jika Pendakwa Raya berpendapat kemungkinan mengandungi apa-apa maklumat berkaitan sesuatu kesalahan keselamatan, ia boleh membenarkan mana-mana pegawai polis untuk memintas, menahan dan membuka apa-apa barang yang melalui pos; memintas apa-apa mesej yang dihantar atau diterima oleh mana-mana komunikasi; atau memintas atau mendengar apa-apa perbualan melalui mana-mana komunikasi.

Pendakwa Raya juga boleh mengkehendaki pemberi perkhidmatan komunikasi untuk memintas dan menyimpan perihalan yang diterima atau dihantar, atau yang akan diterima atau dihantar oleh pemberi perkhidmatan komunikasi itu.

Selain itu, Pendakwa Raya boleh membenarkan pegawai polis untuk memasuki mana-mana premis, memasang apa-apa peranti bagi pemintasan dan penyimpanan komunikasi tertentu untuk memindahkan dan menyimpan keterangan itu.

Seorang pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Penguasa Polis boleh memintas, menahan dan membuka apa-apa barang pos dalam masa penghantaran melalui pos, memintas apa-apa mesej yang dihantar atau diterima oleh mana-mana komunikasi atau memintas atau mendengar apa-apa perbualan melalui mana-mana komunikasi tanpa kebenaran Pendakwa Raya, jika memerlukan tindakan segera.

Pada Bahagian Dua Fasal 5 membenarkan tahanan untuk memberitahu warisnya dengan segera apabila ditangkap dan ditahan serta membenarkan untuk berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya.

Seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Penguasa Polis boleh membenarkan penangguhan tidak lebih dari 48 jam untuk rundingan dengan pengamal undang-undang, jika terdapat alasan yang munasabah.

Menurut rang undang-undang itu juga, jaminan tidak boleh diberikan kepada seseorang yang dipertuduh atas suatu kesalahan keselamatan.

Walau apapun, seorang yang berumur di bawah 18 tahun, seorang perempuan atau seorang yang sakit atau seorang yang uzur yang dipertuduh atas suatu kesalahan keselamatan, boleh dilepaskan dengan jaminan tertakluk kepada suatu permohonan oleh Pendakwa Raya supaya peranti pengawasan elektronik dipasangkan kepada orang itu mengikut Kanun Tatacara Jenayah.

[Sumber: BERNAMA] (10/04/2012)

Jamin tiada tangkapan politik

Kerajaan semalam membentangkan rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang memberi lebih perlindungan dan jaminan tiada seorang pun boleh ditangkap semata-mata atas fahaman dan kegiatan politiknya.

Berdasarkan rang undang-undang itu, empat kesalahan dikategorikan sebagai kesalahan keselamatan, iaitu menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong, memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta melakukan perubahan selain dengan cara yang sah.

Rang undang-undang yang mempunyai lapan bahagian itu mengandungi fasal berhubung kuasa khas bagi kesalahan keselamatan, tata cara khas peranti pengawasan elektronik, tatacara maklumat sensitif, perbicaraan, tatacara saksi yang dilindungi, keterangan dan pelbagai.

Mengenai tiada tangkapan atas dasar politik, rang undang-undang itu menjelaskan maksud pegangan politik atau kegiatan politik mestilah pembabitan dalam aktiviti yang sah mengikut undang-undang, pernyataan pendapat dan tindakan politik mengikut peraturan parti politik yang berdaftar serta pernyataan pendapat yang ditujukan kepada kerajaan dan pengambilan tindakan yang ditujukan kepada mana-mana kerajaan Persekutuan.

Selain dikehendaki dibicarakan di Mahkamah Tinggi, rang undang-undang itu memperuntukkan bahawa mereka yang disyaki melakukan kesalahan tidak boleh diikat jamin, kecuali yang berumur bawah 18 tahun, perempuan dan sakit atau uzur.

Bagaimanapun, tindakan melepaskan mereka tertakluk kepada permohonan oleh pendakwa raya supaya peranti pengawasan elektronik dipasangkan pada orang terbabit mengikut Kanun Acara Jenayah.

Ia juga memperuntukkan kuasa khas kepada pegawai polis untuk menahan orang yang dipercayai terbabit dalam kesalahan keselamatan tanpa waran, tetapi alasan penangkapan perlu dimaklumkan seberapa segera.

Undang-undang baru itu juga mencadangkan seseorang boleh ditahan selama 24 jam, tetapi penguasa polis atau lebih tinggi boleh melanjutkan tempoh tahanan selama 28 hari bagi maksud siasatan, berbanding tempoh 60 hari seperti yang diperuntukkan di bawah ISA.

Namun, jika pegawai polis berpendapat tahanan lanjut tidak diperlukan, mereka yang ditahan boleh dilepaskan tetapi suatu peranti pengawasan elektronik boleh dipasang tidak melebihi baki tempoh tahanan selepas mendapat perintah mahkamah. Selain itu, waris mereka yang ditahan perlu dimaklumkan segera dan tahanan dibenarkan segera untuk berunding dengan peguam.

Rang undang-undang itu juga memberi kebenaran kepada pendakwa raya membenarkan polis memintas sebarang komunikasi sama ada menerusi pos, mesej komunikasi dan mendengar perbualan komunikasi jika mengesyaki ada perlakuan kesalahan keselamatan.

[Sumber: BHarian] (11/04/2012)

1 comments:

Cikgu Bada berkata...

harap ianya akan lebih telus