22 Mei 2012

Bebaskan Diri Anda Daripada belitan Skrin

Berapa jam sehari anda peruntukkan masa anda untuk mengadap segala macam skrin (skrin komputer dan skrin TV)?


Kawal masa terluang anda. Kurangkan peruntukan masa anda di depan skrin. Lebihkan masa yang berharga itu bersama keluarga.

Cara hidup semakin berubah, tidak menolak kemungkinan ia daripada berlaku. Tetapi usah jadikan ia alasan untuk kita berterusan mengorbankan masa berkualiti bersama ahli keluarga semata-mata ralit depan skrin.

Kalau tiada urusan penting, tutup dan tumpukan masa kepada keluarga dan anak-anak dengan melakukan aktiviti berfaedah. Lantaran tabiat itu menyebabkan masalah suka menyendiri dan gaya hidup yang tidak banyak melakukan pergerakan fizikal.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan kempen Minggu Tanpa Skrin yang diadakan di seluruh negara, baru-baru ini. Program itu dianggap penting lantaran penggunaan peralatan termasuk komputer riba, komputer, televisyen, telefon bimbit, gajet tablet serta MP3 yang ibarat belitan yang banyak mengorbankan masa bersama-sama keluarga.


Usaha itu adalah sebahagian daripada Kempen Konsumer Kebangsaan, yang dianjurkan oleh FOMCA, yang bertemakan “Perubahan Bermula Dengan Saya.”

Kajian dilakukan di Malaysia menunjukkan bahawa kanak-kanak menghabiskan antara tiga hingga lima jam secara purata setiap sehari untuk menonton atau menggunakan peralatan berskrin termasuk televisyen, komputer dan telefon bimbit. Manakala di Amerika Syarikat, masa menonton televisyen saja adalah 4.57 jam sehari.



Golongan dewasa Malaysia menghabiskan 6.6 jam dalam sehari menggunakan media berskrin (internet, televisyen, permainan dalam talian, telefon bimbit). Kanak-kanak dan golongan remaja pula apabila ditanya mengenai aktiviti kegemaran mereka pada masa lapang, jawapan yang diberikan adalah:

1. Melayari internet - 84 peratus
2. Menonton televisyen 73 peratus
3. Bermain permainan video - 42 peratus
4. Menulis blog - 36 peratus

Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, daripada beberapa kajian itu, mendedahkan kanak-kanak dan remaja pada hari ini banyak menghabiskan masanya di hadapan skrin. Keadaan itu membawa kepada gaya hidup kurang baik termasuk termasuk aktiviti berbentuk fizikal dilakukan adalah terhad.

“Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006, menunjukkan 43.7 peratus rakyat Malaysia tidak menjalani hidup secara aktif. Kajian yang sama menunjukkan 45.6 peratus orang dewasa di kawasan bandar kurang aktif berbanding dengan orang dewasa di kawasan luar bandar. Kesan negatif akibat daripada gaya hidup ini menyebabkan masalah obesiti, hipertensi dan diabetes,” katanya pada Pelancaran Minggu Tanpa Skrin baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya kajian yang dilakukan pada tahun 2004, membabitkan 5,000 orang pelajar berumur 12 hingga 18 tahun, mendedahkan bahawa 20.3 peratus daripada pelajar lelaki mempunyai masalah berat berlebihan, manakala bagi pelajar perempuan pula adalah 17.7 peratus.

Bagi pelajar sekolah rendah pula, kanak-kanak yang menghadapi masalah berat berlebihan dan obesiti adalah sebanyak 10.5 peratus dan 6 peratus pada 2005, meningkat kepada 15.6 peratus dan 8.4 peratus, masing-masing pada 2008. Hakikatnya pada keseluruhannya, masalah obesiti dan berat berlebihan, hipertensi serta diabetes meningkat bagi semua rakyat Malaysia.

Justeru kata Mohd Yusof, sepanjang Minggu Tanpa Skrin, FOMCA berharap ibu bapa dapat mengurangkan tempoh menonton televisyen antara 0 hingga dua jam sehari saja.

“Apa yang lebih penting ialah merancang aktiviti pilihan bersama-sama dengan anak-anak mereka bagi menggantikan masa menonton televisyen iaitu aktiviti yang boleh dilakukan oleh anak-anak mereka sendiri termasuk bermain dengan haiwan peliharaan, mewarnakan lukisan atau mencantumkan gambar, atau aktiviti berkeluarga seperti melawat muzium atau zoo, bermain kad atau permainan dalam rumah yang lain, menyusun gambar keluarga dalam album dan sebagainya.

“FOMCA juga meminta agar semua pihak dapat mengurangkan tempoh menggunakan peralatan berskrin. Sebaliknya lebih banyak melakukan aktiviti membabitkan pergerakan tubuh badan. Sama ada bersendirian, bersama-sama rakan-rakan atau keluarga,” katanya yang menjelaskan sepanjang kempen, risalah diedarkan ke tadika-tadika, organisasi, syarikat-syarikat, pejabat kerajaan dan badan bukan kerajaan melalui pos dan e-mel ke seluruh negara.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Sumber: BHarian

2 comments:

Unknown berkata...

kena rest dari blogging la camtu :D

Cikgu Badar berkata...

betul tu..keluarga perlu diutamakan