26 Mei 2012

Tiada Jalan Pintas Untuk Kurus



"Anda hendak kelihatan langsing dalam tempoh singkat? Ingin kurus tanpa bersenam dan berlapar? Turunkan berat badan tanpa adanya kesan sampingan? Usah risau. Jenama xxx, produk pelangsingan no.1, dijamin selamat dan GERENTI kurus!".

Sangat menarik. Tidak cukup dengan itu, strategi pemujukan menerusi kaedah gambar turut digunakan. Dipaparkan gambar sebelum dan selepas menggunakan produk pelangsingan badan jenama xxx, di mana hasilnya sangat mengagumkan!

Bayangkan, daripada 90kg turun sehingga 54kg dalam masa singkat sudah tentu mampu menarik perhatian individu bersaiz besar untuk mencubanya.

Biarpun begitu, hampir kebanyakan produk pelangsingan badan menggunakan 'teknik serupa' dalam menambat hati pengguna. Justeru, timbul kekeliruan di kalangan pengguna akan manakah produk pelangsingan yang betul-betul berkesan.


Tambahan pula, terdapat ribuan lambakan produk pelangsingan badan yang boleh didapati di mana-mana sahaja ketika ini, sama ada pusat membeli-belah, pasar malam, farmasi, jualan langsung mahupun kedai jamu. Harganya dari paling murah, RM10, sehinggalah ribuan ringgit.

Senario ini bukan sahaja memperlihatkan kebanjiran produk pelangsingan badan malah produk kosmetik pelbagai jenama turut menjadikan perniagaan ini sebagai jalan mudah keuntungan dengan menyasarkan mereka yang obsesi kepada kecantikan.

Biarpun begitu, adakah benar ia berkesan dan persoalan paling penting, adakah ia selamat?

MASALAH MANUSIA

Semuanya hendak cepat. Dari semua segi, bekerja, menuju ke sesuatu destinasi semuanya ingin berlaku dengan pantas. Satu perspektif, sikap ini memang bagus dan patut disemai dalam sahsiah seseorang individu.

Bagaimanapun, harus diingat bukan semua perkara atau urusan itu boleh diselesaikan dalam tempoh singkat kerana ada yang memerlukan peringkat-peringkat tertentu.

Ini termasuklah dalam soal kecantikan dan pelangsingan badan.

Secara logiknya, kegemukan seseorang individu itu bukan diperoleh dalam masa singkat. Begitu juga dengan 'kurus'. Untuk kurus, ia mengambil masa dan tidak boleh bergantung kepada produk pelangsingan badan sahaja.

Jadi, jangan mudah percaya apabila didatangi jurujual mendakwa produknya boleh membantu melangsingkan badan dalam masa singkat tanpa perlu bersenam.

"Dalam era global di mana wanita sering kali menganggap kurus itu cantik, wanita zaman kini ingin mengambil jalan pintas untuk menguruskan badan melalui produk 'slimming body'.

"Ditambah pula dengan faktor kesuntukan masa, tiada masa bersenam, peningkatan kadar obesiti rakyat menyebabkan permintaan begitu tinggi sekali gus menjadi satu daripada faktor perlambakan produk 'slimming' di pasaran," kata Timbalan Pengarah Pusat Pendaftaran Produk, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, Siti Aida Abdullah.

ADAKAH IA SELAMAT?

Telah banyak pendedahan mengenai tindakan Kementerian Kesihatan menyenaraihitamkan, merampas produk pelangsingan badan, kosmetik yang disahkan mengandungi bahan kimia beracun, terlarang daripada pasaran kerana boleh memudaratkan nyawa pengguna.

Pendedahan dilakukan menerusi medium cetak, televisyen dan Internet itu turut memaparkan kisah mangsa tertipu dengan produk pelangsingan, kosmetik menjadikan badan atau rupa mereka lebih teruk daripada fizikal asal.

Biarpun sudah banyak pendedahan dan amaran terhadap bahaya pengambilan produk yang tidak diketahui status itu telah dicanangkan, namun masih ramai tidak mengendahkannya gara-gara untuk mendapatkan tubuh langsing serta menawan.

"Harus diingatkan bahawa pada masa ini bagi produk semulajadi berdaftar, keberkesanan produk ini sebagai produk pelangsingan badan hanya bersandarkan bukti kegunaan secara tradisional sahaja kerana produk kategori semulajadi di Malaysia hanya dinilai dari segi keselamatan dan kualitinya sahaja.

"Sama ada produk itu berkesan untuk mengurangkan berat badan tidak dapat dinilai kerana tiada bukti saintifik," katanya.

Adalah sewajarnya pengguna berhati-hati dengan produk yang didakwa boleh membantu menguruskan badan dalam tempoh masa singkat kerana berkemungkinan ia dicampurpalsu dengan bahan sintetik adalah tinggi terutama bagi produk yang dijual secara jualan terus (online) yang tidak berdaftar, di mana statusnya boleh diragui.

TIDAK BOLEH DIGUNAKAN LANGSUNG?

Bukan tidak boleh, tetapi pengguna sewajarnya tidak mudah terpedaya oleh permainan iklan. Sekiranya mereka masih mahu mendapatkan bantuan produk pelangsingan badan, pengguna sepatutnya memilih produk yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Menurut Siti Aida, semua produk yang dipasarkan di Malaysia perlu berdaftar dengan PBKD manakala produk kosmetik perlu menjalani prosedur notifikasi sebelum ianya boleh dikilang, diimport atau dijual.

Untuk mengetahui sama ada sesuatu produk itu sudah berdaftar dengan PBKD, pengguna harus memastikan produk itu mempunyai nombor pendaftaran bermula dengan 'MAL', yakni dijamin dari segi keselamatan dan kualiti.

Bagaimanapun, harus diingat itupun sekiranya ia digunakan seperti mana yang disaran dan diluluskan.

Bagi yang sedang mengambil produk pelangsingan badan, mereka disarankan memberitahu pengamal perubatan mereka berkaitan dengan pengambilannya, sekiranya ada mengambil ubat lain.

Selain itu, orang ramai digalakkan membuat aduan jika terdapat sebarang keraguan terhadap kualiti dan keselamatan produk tradisional dan kosmetik yang digunakan untuk tindakan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).

Aduan boleh dibuat di www.bpfk.gov.my.

HERBA DAN CAMPURAN BAHAN TERLARANG

Sudah pasti anda pernah mendengar iklan berbunyi, 'Tiada kesan sampingan, kerana kami menggunakan seratus peratus herba semulajadi'. Bagaimanapun, adakah ia benar?

Kita selalu merasakan kandungan herba semulajadi dalam sesuatu produk itu bererti ia dijamin selamat, namun tahukah anda terdapat juga herba beracun?

"Terdapat banyak herba beracun dan tidak dibenarkan penggunaannya dalam produk tradisional termasuklah produk bagi tujuan 'slimming'. Herba-herba ini, jika tidak dikawal penggunaannya akan memudaratkan kesihatan dan memberi kesan seperti kerosakan organ utama seperti hati dan ginjal, tekanan darah tinggi dan ketoksikan yang mengundang maut," katanya.

Setakat ini, PBKD telah mengenalpasti beberapa tumbuhan yang mempunyai risiko kesan advers seperti Magnolia Officinalis yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan Hydrastis Canadensis, menyebabkan gangguan sistem saraf.

Selain herba, isu paling banyak diperkatakan bagi produk pelangsingan badan kategori produk semulajadi ialah campurpalsu kandungan dengan bahan-bahan terlarang.

Dengan mengambil kesempatan di atas keghairahan pengguna, terdapat segelintir pengusaha memasukkan bahan-bahan kimia seperti phentermine, amphetamine, sibutramin dan fenfluramine untuk mengurangkan selera makan dan seterusnya mengawal berat badan.

Siti Aida menjelaskan, hanya tiga produk phentermine yang berdaftar di Malaysia dan hanya boleh dibekalkan melalui prekripsi pengamal perubatan bertauliah manakalah produk sibutramine telahpun dibatalkan pendaftarannya ekoran peningkatan risiko kesan advers kardiovaskular.

PEMANTAUAN

Tidak dinafikan, terdapat segelintir pengusaha secara sembunyi mencampurkan produk dengan bahan memudaratkan bagi memberi kesan segera kepada pengguna selepas mendapat kelulusan.

Justeru, aktiviti pemantauan dilakukan secara berkala selepas produk berdaftar, produk-produk disampel dari pasaran bagi memastikan ia sentiasa mematuhi piawaian yang ditetapkan.

"Tindakan punitif seperti pembatalan pendaftaran produk dan pembatalan notifikasi kosmetik akan dikenakan ke atas produk yang gagal mematuhi keperluan ditetapkan.

"Susulan pembatalan itu, syarikat pemegang pendaftaran produk dan notifikasi bertanggungjawab membuat tindakan panggil balik semua produk terlibat daripada pasaran dan melupuskannnya dalam tempoh ditetapkan," kata Siti Aida.

Maklumat mengenai pembatalan itu akan dimaklumkan menerusi akhbar ataupun laman web Bahagian Perkhidmatan Farmasi www.pharmacy.gov.my dan www.bpfk.gov.my.

DIET SEIMBANG TERBAIK

Tiada jalan pintas bagi mendapatkan bentuk tubuh langsing dan menarik. Jalan terbaik, bersenam dan mengambil diet seimbang adalah dua langkah paling baik, berkesan dan selamat.

Ia bukan sahaja membantu mendapatkan bentuk badan ideal malah mendapat kesihatan badan optimum. Disebabkan itu, PBKD telah mewajibkan kenyataan "Pengambilan diet seimbang dan senaman berterusan adalah perlu" pada label produk pelangsingan badan yang berdaftar dengan PBKD.

Tujuannya, adalah mengingatkan pengguna tentang kepentingannya dalam pengurusan kesihatan tubuh badan. Jadi, jangan tunggu lagi dan sinari kehidupan anda dengan senaman!

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA

0 comments: