Nuff Atas

25 Mei 2012

Doa Anak Lebih Bererti Untuk Hargai Jasa Ibu


IBU mengharapkan anak mendoakan kesejahteraannya setiap masa. - Gambar hiasan

SETIAP kali berhajat menggembirakan ibu, ada kalanya kita merancang untuk pulang bertemu dan menghabiskan masa, ada juga yang suka menjamu ibu dengan makanan lazat hasil tangan sendiri, tidak kurang membawa ibu melancong ke merata dunia. Apa pun caranya, setiap ibu pasti gembira apabila dihargai anak yang mengenang jasa.

Namun, semua itu tiada bermakna jika anak tidak mendoakan supaya kehidupan ibu lebih baik di akhirat kelak. Doa begitu sinonim dengan hajat untuk mendapatkan sesuatu yang diingini. Doa juga satu permohonan kepada Allah SWT supaya diberi perlindungan daripada malapetaka dan bencana.


Lazimnya manusia berdoa apabila sudah berusaha dan berikhtiar, ada juga yang berdoa tanpa melakukan apa-apa. Yang pasti, doa hanyalah kepada Allah yang satu, bukan selain-Nya.

Paling utama buat seorang ibu ialah doa daripada anak. Allah SWT telah memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa meminta dan memohon sesuatu daripada-Nya, pemilik segala perbendaharaan di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku memperkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Al-Mu’min, ayat 60)

Sebagai seorang anak, tentulah doa untuk ibu menjadi ulam bicaranya dengan Ilahi setiap waktu mengadap-Nya. Biarpun ibu tidak mengetahuinya, itu tidak pernah menjadi halangan untuk anak meminta yang terbaik daripada Allah SWT supaya ibu yang melahirkannya sentiasa bahagia, diberi keberkatan dan kerahmatan, juga digolongkan bersama mereka yang solihah di akhirat kelak.

Perlu diingat, tiada siapa yang paling bermakna doanya kepada ibu melainkan anak yang dilahirkannya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam wafat, putuslah amalnya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Setiap anak harus menyebut nama ibunya dalam doa, paling tidak mohonlah supaya dosa mereka diampunkan, sebagaimana terakam dalam surah Ibrahim, ayat 4 yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, ampunkanlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).”

Kepada yang sedari kecil dikasihi dan dilimpahkan dengan sepenuh kasih sayang, mohonlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (Surah Al-Israa, ayat 24)

Sesungguhnya doa ini membuktikan kita adalah makhluk yang hina dan lemah serta sentiasa mengharapkan pertolongan Allah SWT. Walaupun di dunia ini kita memiliki ibu yang sangat penyayang, mereka akan pergi juga meninggalkan kita apabila sampai waktunya. Kala itu, carilah pengganti di seluruh pelusuk dunia ini, mustahil kita akan temui orang yang sama.

Sebab itulah sebagai seorang hamba yang tidak mempunyai apa-apa, kita harus bermohon supaya diperkenankan permintaan kita untuk ibu. Pada masa sama, kita hendaklah taat dan patuh perintah Allah SWT kerana kita menginginkan sesuatu yang hanya ada padaNya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka: Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah Al-Baqarah, ayat 186)

Sebaik-baik doa untuk ibu adalah yang ditadahkan seorang anak yang dicintai Allah SWT, memelihara makan minum dan pakaiannya daripada sumber yang haram, tidak mengabaikan tanggungjawab menyeru amar makruf nahi mungkar sesama manusia, sentiasa bertaubat, positif dan bersangka baik serta bersungguh-sungguh dengan apa yang dipohon.

Walau apapun kebaikan yang kita lakukan kepada ibu, ia tidak lengkap tanpa doa supaya mereka dilindungi daripada seksa neraka di akhirat kelak, kerana doa anak yang baik tidak akan terputus walau jasad ibu terpisah dari rohnya.

Justeru, berdoalah untuk ibu, supaya mereka gembira menghabiskan usia masih bersisa, dilindungi Dia walau di mana berada dan sentiasa akur kepada perintah dan larangan-Nya, kerana tiada siapa yang diharapkannya untuk memohon melainkan cinta hatinya yang dilahirkan ke dunia.

Oleh Nik Salida Shuhaila
Sumber: BHarian

3 comments:

c'axoera ヅ berkata...

tiada yang lebih bermakna melainkan doa...

Puteri Kasih berkata...

doa sememangnya tidak ternilai :)

caliph shuriken berkata...

doakan yg terbaik utk family tercinta ^^