Nuff Atas

25 Mei 2012

WWW 1 Terima Bidaan Tertinggi RM520,000



Nombor pendaftaran WWW 1 mencipta rekod baru apabila bidaan tertinggi yang diterima bagi nombor siri tersebut bernilai RM520,000, mengatasi nombor pendaftaran MCA 1 yang dijual dengan harga RM300,100.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, siri WWW juga mencipta rekod tersendiri, iaitu sejumlah 13 bidaan yang telah berjaya, adalah bernilai melebihi RM100,000 dan tiga daripadanya bernilai melebihi RM300,000.

Katanya, bilangan pembida yang terbanyak adalah untuk nombor WWW 333 iaitu seramai 84 orang.


"Pada asasnya, semua nombor bernilai utama, nombor menarik dan nombor popular, termasuk nombor-nombor biasa lain yang mungkin mempunyai nilai sentimental atau maksud tertentu kepada pembida, telah habis dibida," katanya.

Katanya, 18,243 permohonan dengan nilai bidaan RM64,225,838.51 telah diterima sepanjang tempoh bidaan selama 15 hari dari 30 April lalu dan kutipan hasil daripada pembida yang berjaya dianggarkan sebanyak RM11.3 juta, iaitu 10 kali ganda daripada kutipan biasa dibuat untuk jualan nombor pendaftaran siri lain sebelum ini.

Kong berkata, sebanyak 4,908 nombor dalam siri WWW dibida manakala bakinya 5,091 akan menjadi nombor semasa apabila siri WWW dibuka untuk pendaftaran kelak.

Katanya, keputusan penuh bagi nombor pendaftaran siri WWW akan dikeluarkan melalui portal JPJ (www.jpj.gov.my) pada Isnin 28 Mei 2012, dan surat rasmi berhubung keputusan bidaan akan dikeluarkan mulai 6 Jun 2012.

Beliau berkata, nombor pendaftaran siri WWW dijangka boleh mula didaftarkan pada 15 Jun 2012 dan pembida boleh memilih untuk menerima surat keputusan secara pos atau datang sendiri ke pejabat JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wangsa Maju.

"Bagi pembida yang berjaya, bayaran baki bidaan perlu dijelaskan dalam tempoh sebulan dari tarikh surat keputusan dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan nombor pendaftaran tersebut ditarik balik.

"Manakala pembida yang tidak berjaya, akan dipulangkan bayaran deposit berdasarkan alamat yang diberikan dalam sampul surat yang disertakan bersama permohonan," katanya.

Sumber: BERNAMABHarian  [2012/05/24]

3 comments:

Puteri Kasih berkata...

mak aih tingginya bidaan

c'axoera ヅ berkata...

gilerrrr aaaaaaaa!!!

caliph shuriken berkata...

seronok laa bole bid, tp agak mbazir laa.. guna utk modal bisnes lagi elok, huh...