22 Jun 2012

Amalkan Kebersihan Dalam Kehidupan

Nikmat kesihatan, jiwa suci boleh diperoleh jika persekitaran dijaga rapi


Agama islam itu diasaskan di atas kebersihan

MENJAGA kebersihan adalah rutin harian setiap insan, walau di mana kita berada. Ia bukan sesuatu yang hanya dilakukan pada waktu tertentu, tetapi perlu dilandasi dalam setiap tindak tanduk sama ada zahir ataupun batin.

Peribadi bersih adalah lambang hati yang suci. Justeru, jika kita mampu membina sahsiah yang jauh daripada sifat mazmumah, sudah tentu kita mempunyai hati yang suci daripada bintik hitam mengotorkan.

Kepada setiap Muslim, kebersihan adalah tuntutan agama yang harus direalisasikan dalam setiap keadaan. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain hubung kait dengan kesihatan, kebersihan juga melambangkan tarikan kepada agama yang suci. Apabila kita mengatakan Islam agama yang suci, kita harus membuktikan cara hidup umat Islam berasaskan kepada kebersihan melalui perbuatan dan perkataan.


Ibnu Taymiyyah pernah menyatakan: “Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani.”

Dalam soal kesihatan, kebersihan menjauhkan wabak dan penyakit. Secara zahirnya, banyak penyakit berjangkit menular di negara kita disebabkan pengabaian terhadap langkah menjaga kebersihan.

Penjagaan kebersihan kawasan rumah dan sekitarnya adalah satu ‘kewajipan’ jika kita mahu mengamalkan cara hidup Islam sebenar. Tanpa nikmat kesihatan, kita tidak mampu beribadat kepada Allah SWT dan tuntutan ibadat terganggu disebabkan persekitaran yang kotor.

Berdasarkan pengalaman penulis di United Kingdom, warga bukan Muslim sangat menjaga kebersihan kerana mereka menghargai alam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kepayahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, ayat 6)

Tanpa mengetahui garis panduan agama yang menyeru kepada menjaga kebersihan, mereka tidak teragak-agak untuk bertegas dalam soal kebersihan, malah menyeru orang lain melakukan perkara serupa.

Apabila melewati penempatan majoriti bukan Muslim atau premis perniagaan mereka, penulis mendapati jurang perbezaan besar dalam soal kebersihan berbanding majoriti Muslim. Boleh dikatakan hampir setiap kawasan kediaman warga bukan Muslim terjaga rapi.

Malah, tiada sebarang sampah hatta ranting kayu yang menghalang perjalanan. Mereka tidak segan silu membantu membersihkan kawasan atau premis awam setiap awal pagi, semata-mata mahu melihat persekitaran yang cantik dan bersih.

Budaya gotong-royong membuang sampah sentiasa diamalkan sejak sekian lama di negara kita adalah satu contoh amalan baik yang perlu diteruskan dan dilakukan dengan konsisten. Walau bagaimanapun, lebih baik jika amalan itu diteruskan setiap hari.

Buat masa ini usaha itu dijadikan agenda komuniti ataupun program tertentu yang hanya dilakukan pada waktu sangat terbatas. Adalah lebih baik jika sifat mencegah kekotoran, menjaga kebersihan dan persekitaran menjadi tanggungjawab setiap warga negara.

Tambahan pula, kepada masyarakat bukan Muslim di luar negara, warga Muslim kurang menjaga kebersihan berbanding mereka. Apabila kita mengatakan Islam mengesyorkan kebersihan dan tiada kompromi mengenainya, kita haruslah membuktikan bukan bersikap sebaliknya.

Rumah ibadat kita wajib mencerminkan cara hidup Muslim yang sebenar seperti difirmankan dalam al-Quran. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat Muslim)

Antara budaya hidup yang memungkinkan sikap menjaga kebersihan dalam kalangan umat Islam dipertingkatkan ialah dengan memberi kesedaran dalam kalangan golongan dewasa dan ibu bapa pentingnya persekitaran yang bersih.

Mereka harus diyakinkan yang membezakan mereka dengan bukan Islam ialah sentiasa bersih dan mencegah sebarang kekotoran. Setiap ibu bapa perlu menunjukkan teladan kepada anak seawal anak mula tahu berkomunikasi dengan caranya yang tersendiri.

Pakaian bersih, makanan halal dan membuang sampah di tempat sepatutnya adalah antara pendidikan awal yang boleh diperkenalkan kepada anak kecil.

Mereka yang sentiasa terbimbing dalam cara hidup yang bersih dan bencikan kekotoran akan membesar sebagai seorang pembersih dan ini memungkinkan generasi Muslim terdidik dengan mengutamakan kebersihan, iaitu cara hidup setiap Muslim digariskan al-Quran.

Oleh Nik Salida Suhaila
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
Sumber: BHarian [2012/06/21]

4 comments:

Diari Si Froggie berkata...

Kebersihan bukan sahaja pada luaran tapi juga dalaman.. bila dalaman bersih, automatiknya pertuturannya pun bersih serta fizikal pun akan turut sama bersih.. indahnya jika seseorang mengamalkan kebersihan luar dan dalaman :) nice entry..

Tanpa Nama berkata...

Bersih dalam...bersih luar..bersih sana sini...bersih di mana2....

Karen Monica berkata...

kebersihan memang perlu diutamakan selalu :)

Unknown berkata...

Setuju dengan Aida Omar..kebersihan luar dan dalam itu yang penting, bersih aqal,hati maka akan bersihlah semuanya..

Ini bersih 4.0 ke? Sekadar gurauan