21 Jun 2012

Milik Siapakah Longgokan Sampah Itu?



Bau busuk sering kali menusuk deria bau orang ramai ketika melalui kawasan perumahan yang ramai penghuninya dan tapak perniagaan yang ramai pengunjung. Bila dicari di sekeliling punca bau kurang menyenangkan itu, timbunan sampah domestik kebiasaannya berada tidak jauh dari situ.

Selain timbunan sampah, ia juga berpunca daripada longkang yang tersumbat akibat sampah yang dibuang ke dalamnya. Masalah di taman perumahan ini sebenarnya membayangkan masalah yang lebih besar di seluruh negara berhubung pengurusan sisa buangan domestik.

PERLU BERTANGGUNGJAWAB

Sampah terhasil apabila isi rumah membuang apa yang mereka tidak perlukan. Apabila orang ramai gagal menguruskan sampah mereka dengan mengurangkan sisa buangan atau melupuskannya mengikut cara yang betul, dan apabila sistem kutipan sampah tidak sempurna, sampah mula bertimbun di tempat sendiri.


Sampah yang dibuang penghuni rumah kediaman dan peniagaan di Malaysia tidak semuanya diasingkan dari segi jenis, mahupun keadaan fizikalnya.

"Semasa saya bermastautin di Cape Town di Afrika Selatan selama beberapa tahun, sistem kutipan sampahnya berbeza daripada di Malaysia. Setiap penghuni kediaman mempunyai tong sampah beroda atau troli yang akan ditolak ke kawasan kutipan setiap seminggu sekali untuk dikutip. Sampahnya akan dibuang ke dalam beg sampah secara teliti, tidak ada yang tumpah dan baunya turut tidak menyesakkan udara sehinggakan mengganggu jiran tetangga," jelas Aminah Hitam yang kini bermastautin di negeri Selangor.

Penghuni turut boleh terus mengasingkan sampah mengikut warna beg kerana kemudahan mengitar semula dibolehkan serentak. Sistem di Cape Town dikatakan sangat teratur dan baik untuk penghuni setempat.

"Penghuni sekitar pun sangat peka dan berdisiplin. Sampah dikutip pada hari yang sama setiap minggu dan ia tetap dikutip walaupun pada hari cuti umum. Troli sampah itu ditolak sendiri dan penghuni mengambilnya semula pada sebelah petang hari yang sama setelah ia dikosongkan.

Untuk mereka yang tinggal di pangsapuri, mereka tidak memerlukan troli sampah sendiri tetapi perlu membuang sampah mereka di tempat yang telah ditentukan pihak pengurusan," jelas Aminah lagi.



TONG SAMPAH

Semasa penulis berusia 10 tahun dan baru berpindah ke Petaling Jaya pada tahun 1970an, pengalaman membuang sampah ke dalam tong sampah yang diletakkan di tempat awam di kawasan seksyen 14, Petaling Jaya menunjukkan ketiadaan tong sampah yang sempurna turut menyumbang kepada masalah itu.

Penulis teringat bila cuba membuang cawan kertas minuman ke dalam tong sampah kecil yang digantung di tepi jalan berhadapan beberapa buah kedai, ia terus jatuh ke lantai. Rupa-rupanya tong sampah yang diletakkan pihak majlis bandaran ketika itu, berlubang di bahagian dasarnya kerana telah berkarat.

Seorang penghuni di Kelana Jaya mengeluh bahawa penutup tong sampahnya yang menampung sisa buangan lima sekeluarga telah dilenyek lori yang mengutip sampah.

"Sekarang tong sampah kami tidak boleh ditutup rapat. Tudung tong penyek dan pada sebelah malam kucing memasuki tong sampah untuk mencari makanan di dalam sampah yang dibuang itu. Saya tertekan melihat keadaan pada keesokan paginya," jelas Tengku Elisa Tengku Bustaman, bila ditanya tentang pengalamannya.

Sewaktu tinggal di Dammam, Arab Saudi dulu, menurutnya, tong sampah pukal diletakkan secara fizikal di hadapan beberapa buah rumah di kawasan kediamannya dan ia dikutip setiap dua hari sekali.

"Sistem kutipan di tempat tinggal saya itu memang cekap tapi di luar kawasan kediaman kami di Dammam itu, entahlah saya tak tahu sistemnya," jelas Tengku Elisa.

Walaupun sistem kutipan sampah diatur dengan baik, penghuni masih perlu membuang sampah mereka dengan teratur dan bersesuaian dengan kandungan sampah itu, baik yang pejal mahupun cecair.

PENCEROBOHAN HAIWAN

Sesetengah penghuni di kawasan perumahan di negara ini masih belum mempunyai tong sampah. Senario sebegini masih dapat diperhatikan di sesetengah kawasan. Mereka hanya mengikat sampah dalam beg plastik dan meletakkannya di luar kawasan rumah mereka.

Keesokan harinya, beg plastik itu sudah terburai dan kandungannya bertaburan di jalan raya. Dan inilah yang mendatangkan bau busuk dan rasa tidak selesa serta kemarahan penghuni lain.

"Ada juga beg berisi sampah domestik ini dibawa oleh anjing-anjing liar yang tidak bertuan pada waktu malam," luah S.Chandravathani yang tinggal di Kajang dan pernah melihat sampahnya dilarikan haiwan jalanan.

Apabila sampah bertaburan di tengah jalan akibat perbuatan haiwan ini, ia mendatangkan masalah kepada pengguna dan penghuni kawasan perumahan.

Kereta-kereta yang melalui jalan itu akan melenyek sampah sarap yang bertaburan di atas jalan itu. Penulis pernah melihat jiran yang tidak sanggup melihat keadaan yang mencacatkan pemandangan itu, lalu membersihkan sendiri jalan raya di hadapan rumahnya.

Salahkah haiwan yang menceroboh sampah-sampah yang dibuang di luar tong sampah seperti ini?

Sebenarnya, mereka yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab sebegini yang patut disalahkan. Perbuatan meletakkan sampah di luar, menarik kedatangan haiwan dan angkara haiwan ini boleh dihindari jika sampah diikat rapi dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Selain itu, apabila sampah itu tidak dikutip selama beberapa hari ia mula bertimbun.


WARGA Malaysia membuang hampir 30,000 tan sampah sehari menjadi tapak pelupusan sampah di negara ini tinggi ditimbuni sampah.

DAPATKAN SATU

Setiap rumah teres atau berkembar dan banglo di kebanyakan kawasan perumahan dibina lengkap dengan sebuah ruang letak tong sampah di tembok pagar depan. Ruang itu lengkap berpintu dan mudah untuk digunakan.

Penulis telah membuat tinjauan di beberapa buah kedai dan mendapati jenis-jenis tong sampah untuk kegunaan di luar rumah, dijual pada harga dari RM16 sehingga RM84, bergantung kepada saiz, bahan buatannya sama ada daripada plastik, getah atau sebatian yang tidak mudah pecah.

Tong sampah plastik dan bertutup yang boleh memuatkan sampah hampir 38 liter didapati berharga RM24.90 manakala yang lebih baik dan besar saiznya pula, tidak melebih RM60 setiap satu.

"Tong sampah beroda yang besar untuk sampah seberat 120 liter dan berkualiti tinggi, harganya hampir RM380 setiap satu. Ini yang lebih praktikal digunakan," jelas penjual sebuah kedai perkakasan, HaDIY di Taipan Business Center, USJ10.

Tinjauan rambang merentasi lebih 120 buah rumah di kawasan sekitar USJ9, USJ11, USJ6 dan USJ2 menunjukkan hampir 25 peratus daripada rumah di situ tidak mempunyai ruang tetap untuk sampah atau tong sampah di dalam mahupun di luar kawasan rumah.

Hampir 30 buah rumah di dalam kategori ini meletakkan beg plastik sampah di luar rumah, di atas lantai saja atau di ruang yang mudah dicerobohi haiwan liar di jalanan. Banyak juga pokok-pokok yang menjadi mangsa longgokan sampah kerana beg plastik berisi sampah digantungkan pada dahannya.



MENYUSAHKAN

"Saya geram betul melihat timbunan sampah yang ditinggalkan di kawasan lapang di tepi pagar saya oleh jiran yang saya tidak tahu siapa. Walaupun ia di luar pagar rumah saya, tapi tetap menyusahkan kerana saya selalu menyapu di luar untuk membersihkan daun-daun kering yang gugur. Setiap kali saya memandu balik ke rumah, mata saya pasti melihat bahu jalan di tepi rumah. Ada longgokan buangan barukah?" cerita Siti Hawa Ismail, seorang penghuni rumah tepi di kawasan SS19, Subang Jaya.

Sampah yang terlonggok termasuk timbunan ranting pokok, beg berisi rumput yang telah dipotong dan juga bungkusan yang berisi sampah isi rumah. Kenapa agaknya penghuni kawasan perumahan hari ini lebih suka membuang di ruang terbuka yang terletak di depan atau tepi rumah orang lain?

"Agaknya, mereka tidak mahu mengotorkan kawasan rumah sendiri. Jadi kotorkan tempat orang lain. Ia menjadi beban bagi kita yang duduk berdekatan dengan sampah itu, perlu diadukan kepada pihak berkuasa tempatan. Ini yang membuatkan saya rasa marah dan tertekan," jelas Siti yang baru bersara, dan amat mengutamakan kecantikan sekitar rumahnya selain kebersihan kawasan sekeliling.

Penghuni perlu lebih bertanggungjawab dalam melupuskan sampah masing-masing supaya ia tidak menyusahkan orang lain, baik baunya mahupun kewujudan fizikalnya. Lupuskanlah sampah sebaik yang mungkin supaya ia tidak menyakitkan mata dan mengganggu emosi orang lain.

Oleh Hazlinda Hamzah
Sumber: BERNAMA [18/06/2012]
Ini ialah bahagian pertama daripada rencana tiga siri mengenai pengurusan sisi pepejal dan sikap masyarakat Malaysia terhadap amalan pembuangan sampah yang betul.

3 comments:

Unknown berkata...

sorry lama x singgah

Karen Monica berkata...

dah sampai masanya kita berubah sikap kan dan belajar untuk menyayangi alam sekitar

Tanpa Nama berkata...

Kebersihan itu sebahagian dari iman..
diri sendiri yg menentukan...