25 Jun 2012

Blue Marlin Angkut Kapal


KAPAL Blue Marlin menjadi penyelamat kepada usaha membawa pulang kapal perang USS Cole yang ditembak di Yemen.

KETIKA kapal perang Amerika Syarikat (AS), USS Cole diserang oleh tentera al-Qaeeda pada tahun 2000, pasukan tentera laut AS berdepan satu dilema. Mereka harus mencari jalan bagaimana untuk membawa pulang sebuah kapal sepanjang 150 meter (m) yang berlubang sebesar 12m pada sisinya dari Yemen ke Mississippi, AS dalam keadaan selamat.

Jawapannya adalah dengan mengangkut kapal perang yang boleh menembak tepat 100 sasaran dalam satu masa itu dengan sebuah kapal gergasi yang badannya separuh tenggelam. Kapal bersaiz mega itu yang dikenali sebagai Blue Marlin begitu berguna bukan sahaja untuk mengangkut kapal lain, bahkan pelantar minyak.

Begitu juga jika mahu mengangkut 22 buah tongkang yang setiap satu seberat 3 juta kilogram (kg) untuk mengelilingi dunia dalam masa serentak. Kapal tersebut merupakan antara kapal laut luar biasa yang pernah direka kerana ia boleh membawa muatan melebihi 75 juta kg dalam satu masa.


Setiausaha Korporat Dockwise (syarikat yang memiliki Blue Marlin), Fons van Lith menjelaskan, kapal itu tidak akan pernah berehat daripada mengangkut struktur mega. Bahkan pihaknya yang mengamalkan ciri-ciri keselamatan antarabangsa memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam usaha memunggah struktur-struktur itu ke seluruh dunia.



"Keselamatan membawa struktur lain adalah sebahagian daripada perniagaan kami. Jika sebuah syarikat petroleum boleh melabur AS$1.6 bilion (RM5 bilion) untuk sebuah peralatan yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, satu perkara penting yang harus diambil kira oleh mereka adalah bagaimana untuk membawa struktur tersebut ke satu bahagian lain di dunia," kata Lith.

Blue Marlin mempunyai bentuk yang istimewa. Kepalanya seakan-akan kapal biasa tetapi dek tengahnya direndahkan bagi memuatkan objek besar dan berat yang lain.

Ia berukuran 217m panjang dan 42m tinggi. Saiz deknya pula kira-kira seluas dua padang bola sepak. Biarpun mempunyai berat yang berganda, kapal yang dilengkapi enjin diesel dengan 17,000 kuasa kuda itu boleh bergerak sehingga 24 kilometer sejam (km/j).



Tenggelam

Bagaimanakah kapal sebegini boleh mengangkut tongkang atau objek lain yang begitu berat? Sebenarnya dek kapal tersebut boleh ditenggelamkan sehingga 13m ke dalam laut apabila tangkinya diisi dengan air.

Ketika keadaan separa tenggelam itulah usaha memuatkan tongkang atau pelantar minyak dilakukan. Apabila air dikeluarkan daripada badan kapal, ia akan timbul semula bersama-sama objek berat yang tidak mampu diangkat oleh kren biasa. Ia seolah-olah sebuah kapal selam yang mengangkat struktur lain di atas badannya.

Antara binaan terberat yang pernah dibawa Blue Marlin ialah pelantar minyak Thunder Horese milik syarikat BP. Pelantar minyak itu dibawa sejauh 27,500km dari Korea ke Mexico tahun 2011 lepas.  Pelantar yang bernilai kira-kira AS$1 bilion (RM3.2 bilion) itu dikatakan sebagai struktur laut terbesar di dunia yang memiliki berat kira-kira 60 juta kg.


BLUE MARLIN mampu memunggah empat buah feri penumpang dan 18 buah kapal dari sebuah pelabuhan di China secara serentak.

Pada tahun 2013 hadapan kapal mega itu bakal membawa sebuah pesawat udara milik Tentera Laut Australia dari Sepanyol ke Negara Kanggaru itu. Pesawat tersebut dikatakan bersaiz lebih besar berbanding dek kapal berkenaan.

Kapal Blue Marlin dilancarkan pada tahun 1999, menjadikannya sebagai kapal terbesar pernah dihasilkan. Bagaimanapun kehebatannya sedang ditandingi apabila beberapa buah kapal mega lain dalam pembinaan.

Apabila siap pada hujung tahun 2012 ini, kapal pengangkut yang sedang dihasilkan di Korea, Dockwise Vanguard dijangka boleh membawa muatan seberat 110 juta kg.

Kapal yang bernilai AS$377 juta (RM1.2 bilion) itu telah ditempah untuk melakukan kerja pertamanya iaitu membawa sebuah pelantar minyak dari Korea ke Laut Utara pada tahun 2013 hadapan.

Oleh SYALMIZI HAMID
Sumber: Kosmo

5 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

Tak mustahil satu hari nanti manusia akan membuat bandar atau benua terapong dan boleh bergerak keseluruh dunia..

Unknown berkata...

dasat tuh... kapal bawak kapal..


kiraya aku kecik je nak dibandigkan dgn kapal tuh.. :)

Unknown berkata...

hebat bangat !

Unknown berkata...

ok tahun 2000 ek... fuh... sbb klw tahun ni PPP nyer cousin kerja kat sana :/

Solehah Shamsuddin berkata...

err besarnye kapal.xsgka btl kapal tu leh agkt seberat tu.