10 Jun 2012

Tandas Awam Yang Bersih Cerminkan Sifat Masyarakat



Sepanjang musim cuti sekolah komplek membeli-belah dan hipermarket di ibukota seperti biasa dibanjiri pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat. Demikian juga halnya dengan peningkatan pengunjung di kawasan rehat sepanjang lebuh raya termasuk ketika musim cuti perayaan.

Pada musim beginilah kebersihan tandas awam menjadi 'tergugat' akibat digunakan oleh terlampau ramai pengunjung. Amat malang kerana terdapat segelintir anggota masyarakat yang bertindak secara tidak prihatin terhadap kepentingan orang lain ketika dan selepas menggunakan tandas.

Namun tanpa pekerja yang ditugas khas untuk membersih tandas, agak sukar bagi memastikan kebersihan tandas awam berada di tahap yang memuaskan sama ada di kompleks membeli-belah, premis perniagaan dan juga di kawasan rehat sepanjang lebuh raya.

Walaupun tandas sudah tersedia bersih, ia akan menjadi kotor hanya disebabkan tindakan segelintir pengguna yang tidak mementingkan kebersihan'.


TIKA PENGGUNAAN TANDAS

Rata-rata orang ramai mengatakan kebersihan tandas awam tidak mencapai tahap yang memuaskan, terutamanya pada musim cuti dan perayaan. Tidak seperti tandas yang disediakan di hotel mewah serta juga di hentian rehat lebuh raya selain beberapa hipermarket di ibukota.

Kenapa jadi begitu?

"Segelintir anggota masyarakat kita juga yang bersalah kerana mereka tidak beretika ketika menggunakan tandas awam," kata aktivis sosial Gurmukh Singh.

Katanya ada yang sengaja tidak mahu mengunakan pam tandas setelah menggunakannya dan ada juga yang 'mencangkung' di atas mangkuk tandas. Ini akan mengotorkan mangkuk tandas dan adakalanya mangkuk tandas akan pecah.

"Imej negara akan tercalar. Apa kata pelancong jika mereka terpaksa menggunakan tandas awam yang kotor," kata beliau.



TANDAS BERSIH

"Saya berpuas hati dengan tandas di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan di negara anda kerana ia bersih, tidak seperti yang terdapat di stesen-stesen minyak di beberapa bandar," kata Mike Brown seorang pelancong dari Kanada.

Kerajaan melancarkan Kempen Tandas Bersih pada tahun 1997 bagi menimbulkan kesedaran dalam masyarakat tentang perlunya tandas awam yang bersih.

Menurut data yang dikeluarkan Pertubuhan Tandas Dunia (WTO) pada puratanya seorang individu menggunakan tandas sebanyak 2,500 kali setahun atau sama dengan enam hingga lapan kali satu hari.

(Pertubuhan Tandas Dunia atau WTO ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan global yang komited terhadap memperbaiki kebersihan dan juga kemudahan tandas seluruh dunia).

Ini bermakna seseorang itu menggunakan tandas purata selama tiga tahun dalam hidupnya.

Menurut pertubuhan itu lagi, masalah kebersihan tandas merupakan satu isu di seluruh dunia disebabkan separuh daripada penduduk dunia tidak mempunyai sistem sanitasi yang baik.

Ada juga tandas yang tidak mempunyai struktur reka bentuk yang sesuai.

KEBERSIHAN TANDAS CERMINKAN SIFAT MASYARAKAT

Menurut Gurmukh Singh, kebersihan tandas awam adalah penting kerana ia mencerminkan sifat dan perangai masyarakat di sesebuah negara.

"Mahu atau tidak, masyarakat Malaysia perlu sedar bahawa kebanyakan tandas awam adalah di bawah tahap yang sepatutnya. Kita perlu lihat negara lain contohnya Cina dan Jepun yang telah menetapkan kebersihan sebagai satu keutamaan dan dengan mudahya masyarakat negara itu mengamal budaya kebersihan tandas," kata beliau.

Beliau memberikan contoh rakyat negara Jepun yang mengamalkan kebersihan tandas sejak lama dahulu.

"Bagi mereka, tidak kira berapa maju sesebuah negara atau betapa cantiknya bangunan atau premis, kalau tandas tetap kotor maka negara itu akan dianggap mundur. Begitulah sikap mereka terhadap kebersihan tandas," tambah beliau.

PENTING BAGI PERNIAGAAN

Bagi pemilik sebuah restoran di Kota Damansara dekat sini, yang mahu dikenali sebagai Mohan, kebersihan tandas penting bagi perniagaan beliau. Katanya kebersihan tandas membuatkan pelanggan selesa untuk singgah dan makan di restorannya.

"Tetapi saya perlu menyediakan pekerja khas yang bekerja sepenuh masa untuk menjaga kebersihan tandas. Tanpa kebersihan tandas yang dijaga sepenuh masa ia hanya memerlukan beberapa orang menggugat kebersihan itu," kata Mohan.

Katanya walaupun seseorang itu biasa dengan kebersihan, mereka juga akan membiarkan tandas awam itu kotor kalau kemudahan itu didapati sudah kotor bila mereka mahu menggunakannya.

Mungkin tanda 'Jaga Kebersihan Tandas' dapat membantu, kata beliau lagi.

Bagi Mohan, perlu diletakkan notis di tandas awam bagi menjaga kebersihan kemudahan itu.

"Saya juga meletakkan peringatan tentang tandas tidak akan bersih dengan sendiri tanpa mereka yang menggunakannya mengambil inisiatif membersihkan kemudahan itu," kata beliau lagi.

Menurut Mohan tandas yang bersih di restoran atau kedai makan akan menarik lebih ramai pelanggan dan ini baik untuk perniagaan kerana pelanggan akan puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.

PASTIKAN TANDAS SENTIASA BERSIH

"Saya cuci tandas ini bersih-bersih bila lepas orang guna," kata Ahmed Waheed dari Bangladesh, yang bertugas sebagai tukang cuci di sebuah hipermarket di Kota Damansara, beliau berasa bangga kerana berjaya memastikan tandas awam di premis itu sentiasa bersih ketika beliau bertugas.

"Gunalah tandas awam seperti anda guna tandas sendiri di rumah. Anda perlu ada etika ketika menggunakannya", kata Gurmukh Singh memberikan satu nasihat bagi pengguna tandas awam.

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA [27/06/2011]

6 comments:

Cikgu Badar berkata...

susah nk jumpa tandas awam yg betul² bersih

Unknown berkata...

betol sekali, kebersihan adalah tanggung jawab bersama, walaupun toilet umum sekalipun

ME CTCT berkata...

mmg trok..huhu...ngan busuknya..adoi

Dayang Deno berkata...

erk.. mmg susah nak jumpa tandas awam yg bersih! kalau namanya tandas "awam", slalunya mmg mcm tu.. kalau nak yg bersih kat KLCC nun mmg bersih! ^^

Cik Cinta berkata...

tandas kat rumah saya je yang bersih
huhuhu
selalunya gi tandas r&r atau awam ni tak berapa la.. tambah2 diorang siap tinggalkan bau2an yang kurang menyenangkan.. hancing.. adoiyai.. najis sendiri pun tak reti basuh.. dan yang paling malang sekali bila sumbat tisu kat lubang jamban.. maaf kata la ya.. saya memang tak selesa macam ni

Unknown berkata...

org kata kalau nak tau tmpt tu bersih ke tak..tgk tandas dia..bersih tandas bersih la semuanya..

sendiri 'melepas' takkan nak suruh org lain cebokkan..