Nuff Atas

06 Ogos 2012

Al-Quran, Sumber Saintifik, Petunjuk Bagi Sekalian Manusia



Peristiwa Nuzul al-Quran, turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang beribadat di Gua Hira.

Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW, maka ia memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutama yang serius memikirkan rahsia al-Quran. Firman Allah SWT: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah).” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Menurut Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia, membuat aturan kehidupan dan membina peradaban supaya menjadi umat yang dapat membezakan antara halal dan haram, kebenaran dan kebatilan.


Al-Quran dimanfaatkan sebagai sumber saintifik dengan mengajak manusia berfikir dan mengkaji alam semesta termasuk diri sendiri. Kajian demi kajian dilakukan manusia zaman moden membuktikan wujudnya pencipta kepada alam ini iaitu Allah SWT.

Antara contoh saintis yang mengkaji al-Quran secara terperinci dari perspektif sains moden ialah Dr Maurice Bucaille dari Perancis. Beliau menulis buku bertajuk Quran, Bible dan Sains menyatakan, “Sesungguhnya al-Quran terbukti keunggulannya dari sudut sains hanya di zaman sekarang setelah sains mencapai satu tahap yang agak tinggi.”

Satu lagi contoh kajian berkenaan kejadian manusia membuatkan ahli embriologi seperti Profesor Keith Moore berasa kagum dengan apa diutarakan al-Quran menepati apa yang baru ditemui di abad ini.

Begitu juga dengan geologis yang membuat kajian, mengatakan jejari bumi ini ialah lebih kurang 3,750 batu dan tanah bahagian kita berpijak ini amat nipis dalam lingkungan 30-35 kilometer.

Kebarangkalian bumi untuk bergegar dan bergerak-gerak itu amat tinggi.

Maka kejadian gunung ganang sebagai pasak, menetap teguhkan tanah ini dan memberi ia kestabilan. Al-Quran menyebut fenomena: “Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?” (Surah an-Naba, ayat 6-7)

Dalam buku bertajuk “Earth’, salah seorang penulisnya, Frank Press yang juga Presiden Academy of Science di Amerika Syarikat selama 12 tahun menunjukkan bagaimana gunung yang kita lihat itu hanya sebahagian kecil saja di bumi.

Bahagian bawah gunung ini tertanam dalam bumi seperti satu pasak. Menurut beliau lagi, gunung gunung memainkan peranan penting dalam menstabilkan bumi tempat kita berpijak.

Hakikat kajian saintifik ini telah diterangkan dalam firman Allah SWT: “Dan Kami jadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan di celah-celahnya jalan-jalan laluan, supaya mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Anbiya, ayat 31)

Justeru, umat Islam diseru menjaga alam ini dengan sebaiknya, janganlah terlalu rakus mengejar pembangunan dengan mengenepikan aspek keselamatan alam seperti bukit-bukau ditarah dan diruntuhkan, pembakaran terbuka berleluasa, pembalakan haram menjadi-jadi dan pembuangan sampah di mana-mana.

Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta akan tergugat. Sesungguhnya Maha Tinggi dan Agungnya kuasa Allah SWT yang telah memberi petunjuk dan al-Quran sebenar-benarnya dari Allah, tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Sumber: BHarian

4 comments:

khairul berkata...

Al Quran mmgbenar mukjizat Allah...bahagialh sapa yg dpt menghafal nya

yusuflaili(Goku) berkata...

rugilah siapa yang mengabaikannya.

Aishah Jahirah berkata...

al-Quran sumber rujukan yg lengkap..

caliph shuriken berkata...

sumber rujukan yg relevan utk semua zaman ^^