Susu tepung bayi memang diketahui umum sangat mahal harganya. Susu tepung yang paling murah pun berharga mencecah RM50.00 pagi pek dalam tin 1.8 Kg. Bagaimanapun bagi susu tepung berjenama mahal, pek yang beratnya tidak sampai 1 Kg dijual dengan harga mencecah RM50.00.
Dengan pek yang kecil serta harga yang sangat mahal, maka tidak hairan jika timbul idea-idea kreatif pihak tertentu untuk memperolehi rezeki haram dengan cara mencuri dan menjualkannya semua.
Berdasarkan pemerhatian, sesetengah kedai menyimpan susu-susu berjenama mahal ini di dalam almari kaca. Hanya pembantu kedai sahaja yang boleh mengambil dan menyerahkan kepada pelanggan yang ingin membelinya. Tentulah tujuannya adalah untuk mengelakkan susu-susu ini daripada 'hanyut'.
Rakaman video menunjukkan ahli Geng Susu Kangkang mencuri produk susu dari rak sebuah kedai serbaneka di Cheras. Kumpulan ini mencuri produk bayi menggunakan jubah yang diubah suai.
Kajang: Polis menumpaskan ‘Geng Susu Kangkang’ yang disyaki mencuri pelbagai jenama susu tepung bayi di pasar raya dengan berpakaian jubah ala wanita Arab yang diubah suai.
Modus operandi kumpulan dianggotai lelaki dan wanita itu ialah memasuki premis memakai jubah diubah suai yang dijahit poket besar bagi memudahkan mereka menyeludup keluar susu tepung yang dicuri. Siasatan mendapati wanita memakai jubah itu memasuki premis, manakala pasangan lelaki menunggu di luar kedai.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata setakat ini polis menahan lapan anggota geng itu, termasuk tiga wanita serta mencari tujuh yang lain.
Ab Rashid Ab Wahab menunjukkan susu tepung bayi yang dirampas pada sidang media di Kajang, pada 22 Ogos 2012.
Beliau berkata, hasil soal siasat, polis menyerbu kedai ubat di Jalan Kuchai Lama di sini, dipercayai membeli barang curi daripada kumpulan itu pada harga murah.
Katanya, hasil soal siasat polis juga mendapati kumpulan itu terbabit dalam sekurang-kurangnya 17 kes di daerah Kajang sejak awal tahun ini.
Dalam kejadian terbaru pada 16 Ogos lalu, polis mendapat maklumat mengenai tiga wanita dan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berlegar di bahagian produk susu di sebuah kedai serbaneka di Batu 9, Cheras.
“Bertindak atas maklumat pekerja, kita menahan lima suspek di dalam kedai serta tiga lagi yang menunggu di dalam kereta di luar premis itu.
“Ketika ditahan ketiga-tiga wanita itu didapati memakai jubah dan hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui beberapa pek susu bayi di dalam kereta suspek,” katanya.
“Suspek dipercayai beberapa kali keluar masuk premis menyeludup pek susu dan meletakkannya di dalam kereta sebelum kembali mengulangi perbuatan mereka,” katanya.
Ab Rashid berkata, hanya tiga wanita itu memasuki premis, manakala dua lelaki bertindak sebagai pengawal bagi memastikan rakan mereka tidak ditangkap.
Sumber: BHarian
1 comments:
macam-macam taktik pencuri-pencuri ni kan...hurmm
Catat Ulasan