23 Ogos 2012
Utamakan Ikatan Persaudaraan Berbanding Duit Raya
HARI Raya Aidil Fitri bermaksud perayaan fitrah disambut oleh umat Islam yang genap berpuasa dan juga yang tidak berpuasa sebulan.
Hari istimewa sebagai merai kemenangan di negara ini bukan sahaja disambut oleh umat Islam malah pelbagai kaum turut tersenyum pada awal Ramadan apabila perayaan ini menjengah mukanya. Tauke kedai perabot, kedai kain, kedai pakaian, kedai emas, kedai permaidani semuanya teruja apabila hari besar umat Nabi Muhammad SAW itu datang lagi. Kalau empat kali setahun amat mereka alu-alukan.
Sempena sambutan Aidilfitri juga, hartawan, jutawan, dermawan dan segenap lapisan masyarakat yang berkemampuan akan meraikannya dengan bersedekah kepada anak-anak mahupun cucu-cicit atas nama duit raya walaupun duit sedia ada habis 'disedekah' kepada tauke-tauke untuk menjadikan rumah yang suram berkilau-kilauan.
Namun budaya orang kaya yang memberi wang kepada kanak-kanak berhari raya turut menjangkiti golongan pertengahan yang turut memberi duit raya ala kadar bagi menambah pahala. Senario kanak-kanak mengharapkan duit raya menyebabkan budaya semangat kunjung-mengunjung semakin mati dalam kalangan masyarakat.
Pada zaman dahulu pada tahun 1960-an mengikut pengalaman ibu bapa, cuma orang yang betul-betul kaya sahaja menghulurkan duit. Jika dapat 20 sen pun sudah dikira 'masyuk' dengan banyak. Namun hari ini 20 sen hendak bayar tempat meletak kereta pun tidak lepas.
Hari ini jika tuan rumah tidak menghulur duit raya maka sunyilah rumah tersebut, kerana tiada kanak-kanak yang mahu singgah berkunjung. Apa yang lebih menyedihkan ada segerombolan kanak-kanak yang datang beraya bertanya kepada tuan rumah, sama ada ada 'masyuk' duit raya atau tidak di rumah tersebut.
Adakalanya tuan rumah dalam kalangan orang tua 'terasa' dengan sikap anak-anak bawah umur yang terlalu kebendaan dan sudah hilang semangat kunjung-mengunjung sambil mencium tangan mereka memohon ampun dan maaf.
Sepatutnya budaya kunjung-mengunjung diteruskan, bagi menggalakkan ikatan ukhuwah sesama umat Islam dan bukannya budaya memberi duit yang menjadi amalan.
Kadang kala, ada kanak-kanak yang sudah masuk dan duduk di kerusi tuan rumah hanya minum dan menunggu sehingga tuan rumah menghulurkan duit raya baru mereka mengangkat punggung. Apabila dihulur lima puluh sen, masing-masing mencebik bibir kerana tidak puas hati dengan pemberian tersebut.
Sebaiknya budaya memberi duit raya kepada anak-anak mahupun cucu cicit berpada-pada, takut nanti diberi sedikit dikatakan kedekut diberi banyak pula dianggap satu kewajipan. Apabila tahun depan diberi kurang anak-anak kecil ini akan menuntut jumlah yang sama. Inilah bahana mengutamakan duit raya berbanding kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara.
Budaya melawat saudara-mara pada Hari Raya Aidilfitri perlu diamalkan oleh ibu bapa, agar anak-anak kita dapat kenal-mengenal antara satu sama lain dan meneruskan persaudaraan yang ada. Hari ini, terdapat kelompok yang mengumpul saudara-mara dan kaum kerabat satu keturunan untuk memanjangkan persaudaraan sebangsa seketurunan atas nama kembali kepada fitrah. bagaimanapun, biarlah kunjung-mengunjung Aidilfitri dilakukan dengan ikhlas untuk agama Islam.
Kepada ibu bapa, didiklah anak-anak untuk mengunjungi orang tua, kerana itulah waris kita. Budaya menghormati orang tua di hari raya akan mewujudkan masyarakat yang bersatu-padu kerana perpaduan dari akar begitu kukuh dan ini menjadikan ia ibarat batang pokok dan dahan sukar direbahkan.
Jika anak muda kita dibiar menjadi kera sumbang di rumah dan hanya beraya untuk mencari duit, maka pada masa akan datang orang tua tidak lagi dihormati dan Rumah Orang-Orang Tua meriah dengan ibubapa yang 'derhaka' kerana mereka tidak mendidik anak-anak mereka untuk menghormati orang tua seawal umur 10 tahun.
Justeru, perkukuhkan budaya kunjung-mengunjung di hari raya yang mana lebih molek ibu bapa membawa anak-anak melawat saudara-mara tidak kira yang 'masyuk' atau tidak. Kita tidak mahu anak-anak yang memberi fokus kepada mendapat duit raya apabila besar nanti akan mengharapkan perkara yang sama dari klien masing-masing.
Kita tidak mahu lama-kelamaan keikhlasan dalam hubungan sesama insan semakin terhakis dengan nilai kebendaan lebih dari semangat kekitaan. Duit bukan boleh membeli segala-galanya. Kunungan tanda ingatan itu lebih penting.
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan