12 Ogos 2012

Kewajipan Zakat Fitrah


Kadar Zakat Fitrah Bagi Tahun 2012

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi kita akan keluar daripada madrasah Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Madrasah Ramadan ini diharapkan menjadi medan tarbiah kepada diri kita semua untuk menyucikan jiwa dan membersihkan hati (tazkiyatun nafs) daripada segala sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah SWT.

Biasanya, apabila kita menyebutkan bulan Ramadan, lantas akan mengingatkan kita tentang kefarduan puasa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT bagi sesiapa yang sempat berada di bulan ini. Objektif tertinggi daripada ibadah puasa ini ialah melahirkan manusia yang bertakwa kepada Allah. (rujuk al-Baqarah: 184)

Namun, berapa ramai yang hampir terlupa tentang kewajipan yang turut ditetapkan pada bulan istimewa ini iaitu membayar zakat fitrah. Secara umumnya, zakat dari sudut bahasa bermaksud kesuburan (al-numuww ataual-nama'), keberkatan (al-barakah) dan pertambahan baik (ziyadah al-khayr).


Memahami maksud zakat fitrah atau dikenali juga sebagai zakat badan dimaksudkan sebagai "satu nama bagi apa yang dikeluarkan sebanyak satu sa' daripada tamar atau satu sa' daripada bijirin (sya'ir) di bulan Ramadan ke atas setiap manusia yang merdeka ataupun hamba, sama ada lelaki atau perempuan daripada orang Islam." (lihat al-iqna' fi hall al-fadz Abi Syuja', Muhammad al-Syarbini).

Takrifan ini sebenarnya adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar yang bermaksud: Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum. (riwayat Muslim)


Zakat fitrah mempunyai syarat yang amat mudah yang kebiasaannya dapat dipenuhi oleh semua umat Islam. - Gambar hiasan

Buku panduan zakat yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memberikan panduan bahawa satu sa' ialah bersamaan dengan satu gantang Baghdad. Satu gantang Baghdad pula bersamaan dengan 2.7 kilogram (kg). Ia perlu dikira berdasarkan makanan ruji di sesuatu tempat.

Contohnya, pada zaman Rasulullah SAW, makanan ruji di tempat dan zaman tersebut adalah kurma dan gandum. Manakala makanan ruji di Malaysia ialah beras. Maka kadar zakat fitrah bagi masyarakat Islam di Malaysia ialah mengikut harga beras semasa didarabkan dengan 2.7kg.

Kewajipan zakat fitrah adalah berlainan dengan zakat harta. Zakat harta diwajibkan apabila harta tersebut telah mencapai kadar nisab yang mengikut harga emas semasa dan apabila telah mencukupi satu haul. Apabila telah sempurna syarat-syarat tersebut, maka hendaklah dikeluarkan sebanyak 2.5 peratus daripada harta yang diwajibkan zakat itu.

Manakala zakat fitrah pula diwajibkan kepada mereka yang mempunyai makanan yang cukup dari malam hari raya sehinggalah pagi hari raya mengikut kadar makanan yang menjadi kebiasaan kepada masyarakat setempat.

Sekiranya dihayati, zakat fitrah mempunyai syarat yang amat mudah yang kebiasaannya dapat dipenuhi oleh umat Islam. Ini menyebabkan hampir semua individu Muslim menepati kewajipan membayar zakat fitrah.

Ia juga memberikan ruang kepada golongan miskin untuk turut membayar zakat bagi membantu golongan yang lebih tidak berkemampuan daripada mereka. Dalam konteks ini, Islam telah menaikkan martabat golongan miskin kerana dapat memberikan sumbangan melalui zakat fitrah.

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN
Sumber: Utusan

3 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

Bergitulah bertapa indahnya Islam..kalau dihayati dengan sedalam2nya..

Icah Banjarmasin berkata...

Memang zakat fitrah diwajibkan kepada kita ummat Islam,semoga saja Allah SWT memberikan ampunan kepada kita semua amien..salam ukhuwah.

syiela berkata...

Alhamdulillah... En.hb dah tunaikan :)